HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 November 2021

PRN Melaka: Mas Ermieyati terbuka terima kekalahan, tugas diteruskan


Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan kalah atau menang adalah adat sesuatu pertandingan yang harus diterima dengan hati terbuka.

Mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Tanjung Bidara yang ditandinginya beliau berkata, amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat perlu diteruskan dan dilaksanakan.

“Apapun takdir yang telah tertulis buat saya. Saya terima dengan hati yang terbuka. Allah sebaik-baik pengatur dan Allah sebaik-baik perancang. Bersangka baik denganNya.

“Kalah menang adat pertandingan. Khidmat kepada masyarakat tetap diteruskan. Amanah yang ada tetap perlu dilaksanakan,” katanya yang berterima kasih kepada pengundi yang mengundi beliau.

Pada masa sama beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) berterima kasih kepada semua pihak termasuk petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan dan semua yang menjayakan PRN Melaka pada kali ini secara langsung atau tidak langsung.

Mas Ermieyati yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRN itu tewas dengan majoriti 364 undi kepada calon Barisan Nasional (BN) yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Majoriti undi diperoleh Ab Rauf bagaimanapun merosot teruk berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Ab Rauf memperoleh 3,559 undi, manakala Mas Ermieyati mendapat 3,195 undi, sementara seorang lagi calon, Zainal Hassan daripada PKR hanya memperoleh 364 undi.

Pada PRU14 lalu, DUN Tanjung Bidara dimenangi calon BN, Md Rawi Mahmud dengan majoriti 2,864 undi dalam saingan tiga penjuru, yang menyaksikan dua lagi pencabarnya Halim Bachik (PKR) memperoleh 2,001 undi dan calon PAS, Ustaz Imran mendapat 1,501 undi.

DUN N02 Tanjung Bidara mempunyai 10,133 pengundi berdaftar.

Tiada ulasan: