HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 November 2021

Hari mengundi bermula, masih belum jelas siapa bakal terajui Melaka

Para pengundi di Telok Mas beratur untuk membuang undi.

AYER KEROH: Selepas kegiatan berkempen berlangsung sengit selama 12 hari, pertarungan undi di Melaka dilihat sebagai “perlumbaan dua kuda” yang masih terlalu awal untuk dikatakan siapa pemenangnya.

Keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikatakan menjadi tamparan buat Barisan Nasional (BN) – dan merugikan Pakatan Harapan (PH) – tetapi kehadiran PN yang lemah di Melaka mungkin mengehadkan kesannya terhadap pilihan raya negeri (PRN).

Walaupun penampilan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam jejak kempen menarik minat, nampaknya persona bekas Perdana Menteri itu menjadi satu-satunya harapan gabungan pimpinan Bersatu itu untuk meraih sokongan.

Sepanduk PN yang dipasang di Melaka kebanyakannya dicetak muka Muhyiddin, dengan calon sebenar hanya dipaparkan dalam segelintir poster.

Satu lagi faktor yang boleh menjejaskan PN – walaupun ia didakwa sebagai langkah strategik – adalah keputusannya menamakan Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), sebagai calon Ketua Menteri dua hari sebelum hari mengundi.

Sebaliknya, BN dan PH mengesahkan calon Ketua Menteri mereka pada 10 Nov, semasa minggu pertama berkempen – Sulaiman Md Ali bagi BN dan Adly Zahari bagi PH, kedua-duanya bekas Ketua Menteri.

Berbanding BN, PH sangat bergantung kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi untuk menang, dan ini boleh berakhir dengan kekecewaan memandangkan wabak sedang melanda.

PH menang di Melaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) disebabkan momentum yang dicetuskan oleh isu 1MDB, tetapi gabungan itu tidak mempunyai topik utama untuk diperjuangkan kali ini, selain kehilangan Bersatu kepada PN.

Ini bermakna gabungan berkenaan berdepan cabaran lebih besar, terutamanya dalam meraih undi masyarakat Melayu.

Kegiatan berkempen tidak begitu giat dijalankan, dengan parti teragak-agak untuk berkongsi dengan media rancangan calon untuk hari itu kerana takut didenda oleh pihak berkuasa.

Satu isu utama yang mendapat perhatian, disebabkan PRN, adalah projek mega Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (MWEZ), yang akan dijalankan atas tanah tambakan seluas 6,070ha.

Walaupun penduduk pesisir pantai telah menentang MWEZ selama lebih setengah tahun tanpa hasil, perhatian lebih besar yang diberikan kepada projek itu sejak dua minggu lalu mendorong Sulaiman dan Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh mempertahankannya.

Selain daripada projek itu, tidak banyak isu penting yang dibangkitkan ketika kempen.

Ahli-ahli politik berulang kali, dalam pelbagai cara, berikrar untuk melindungi kesihatan dan kebajikan rakyat, serta menggiatkan ekonomi dan pelancongan di Melaka.

Parti-parti lebih lazim “menyerang” antara satu sama lain sama ada mengenai isu “katak” atau dakwaan ketiadaan ketelusan dan integriti.

Tiada ulasan: