HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 November 2021

PRN Sarawak: Beberapa lagi penyandang kerusi DUN PBB tawar diri berundur

Setiausaha Agung PBB Alexander Nanta Linggi bagaimanapun enggan menyatakan
jumlah sebenar penyandang menawarkan diri untuk berundur.

KUCHING: Beberapa lagi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menawarkan diri untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Setiausaha Agung PBB Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu disuarakan semasa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti yang berlangsung di ibu pejabatnya di sini malam tadi dengan dipengerusikan oleh Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

“Ya. Ada yang menawarkan, sukarela (dan) presiden parti telah merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang sukarela, dengan rela mengundurkan diri untuk memberi peluang kepada muka baharu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah sebenar penyandang yang menawarkan diri untuk berundur.

Sebelum ini, tiga penyandang kerusi DUN daripada PBB telah menyatakan secara umum keputusan mereka untuk tidak bertanding iaitu Abdul Wahab Aziz (Kalaka), Naroden Majais (Gedong) dan Ambrose Blikau Enturan (Katibas).

Nanta juga berkata berikutan keputusan itu, PBB akan memperkenal muka baharu sebagai usaha bagi pembaharuan parti itu dalam meneruskan legasi kecemerlangannya sebagai tulang belakang pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya tidak akan beritahu secara spesifik (berapa ramai muka baharu yang akan bertanding) sebab (mereka) masih di peringkat pemerhatian dan sebagainya… (masih dalam) pertimbangan,” katanya.

Tiada ulasan: