HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 November 2021

Kenapa serang Presiden parti sahabat? bekas Naib Ketua AMK soal Rafizi

MALAYSIA POST

Kenapa serang Presiden parti sahabat? bekas Naib Ketua AMK soal Rafizi

BEKAS Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman mempersoalkan motif pihak tertentu menyerang Presiden Amanah, Mohamad Sabu ketika Pakatan Harapan (PH) sedia berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mempersoal bagaimana Mohamad dan Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari perlu meyakinkan dengan bergabung bersama ‘katak-katak politik’ boleh memberi kemenangan buat PH dalam PRN Melaka.

“Apa motif presiden parti sahabat kita diserang tatkala kita sedang bina keutuhan di bumi Melaka,” kata Syed Badli Shah menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu hari ini Rafizi berkata Mohamad dan Adly perlu meyakinkan pendokong PH seperti dihujahkan dalam mesyuarat PH berhubung penerimaan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk bersama PH dalam PRN Melaka.

“Ini hujah kuat berdegar-degar dalam mesyuarat PH, tapi tidak cukup kuat berdegar-degar di luar.

“Kalau saya, kena sekali cukuplah. Sampai mati saya takkan lupa pengajaran itu sebab kalau kena dua tiga kali atas kesilapan sama, namanya ‘kurang cerdik’,” katanya.

Rafizi turut mengimbas, ketika permohonan Bersatu masuk PH pada 2016, beliau dan pemimpin PKR menegaskan menerima parti itu sebagai sekutu pilihan raya sahaja.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu pemimpin Amanah dan DAP berkeras mahukan Bersatu sebagai anggota PH dengan alasan PKR tidak kuat dan berpecah.

Sekarang ini katanya, alasan sama digunakan pimpinan Amanah, kononnya Datuk Seri Idris Harin dan dua lagi Adun akan bawa lonjakan kepada PH di Melaka.

Semalam, PH memaklumkan masih terbuka untuk bekerjasama dengan tiga Adun iaitu Idris, Datuk Nor Azman Hassan dan Datuk Noor Effandi Ahmad pada PRN Melaka akan datang.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketiga-tiga mereka tidak terlibat dengan ‘Langkah Sheraton’ yang bertujuan menumbangkan kerajaan PH tahun lalu.

Sebaliknya, Anwar berkata, mereka kini mahu mengembalikan mandat yang diberikan pengundi kepada PH. – Malaysiapost

Tiada ulasan: