Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, dilihat kehabisan modal untuk meraih sokongan pengundi Melaka tiga hari menjelang pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) dilangsungkan 20 November ini.
Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini yang menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dilihat hanya mahu meraih sokongan akar umbi parti Islam itu serta pengundi atas pagar yang lebih ramai sekarang ini.
Umum mengetahui bahawa kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan beberapa pemimpin UMNO sebelum ini, termasuk Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, lebih kepada memberi isyarat bahawa parti itu tidak memerlukan PAS.
Walaupun, wujudkan persefahaman kedua-dua parti itu menerusi Muafakat Nasional (MN) namun ia bukan satu gabungan parti politik berdaftar, sebaliknya PAS adalah komponen Perikatan Nasional (PN) yang didaftarkan secara sah.
Beberapa syarat yang dikenakan terhadap PAS, khususnya menggunakan lambang sendiri dalam PRN Melaka jika mahukan kerjasama, hanya dilihat sebagai usaha UMNO untuk memecahkan perpaduan dalam PN.
Namun, hakikatnya PAS telah lama menyedari permainan politik UMNO ketika bersama-sama menjadi kerajaan Perikatan, sebelum dijenamakan sebagai BN.
Sebab itu, PAS kekal bersama PN bagi menghadapi PRN Melaka bersama komponennya Bersatu dan Gerakan.
Memetik kenyataannya kepada FMT hari ini, Mohamad yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat Hasan’ berpendapat walaupun dalam PRN Melaka, UMNO dan PAS akan bertembung di tujuh kerusi, tidak bermakna ia adalah pengakhiran kepada MN.
Dalam kenyataan itu, Tok Mat dilihat menjadikan alasan perpaduan sesama orang Melayu Islam untuk meraih undi penyokong PAS dan pengundi atas pagar.
“Agenda menyatukan Melayu dan Islam akan tetap kami teruskan. Keadaan politik dinamik sentiasa berubah-ubah dan dua parti itu mungkin boleh bekerjasama dalam PRU15.
“Mungkin dalam PRU15 Umno dan PAS boleh jumpa formula yang sesuai untuk kerjasama. Kenapa tidak?,” katanya.
Untuk rekod, Bersatu juga sentiasa fokus untuk menyatupadukan orang Melayu Islam di negara ini, namun UMNO menolak kerjasama ke arah perpaduan dengan memberi pelbagai alasan kerana ianya tidak memberi keuntungan peribadi kepada pemimpinnya.
Kenyataan Mat Hasan itu dibuat setelah mendapati pengundi Melaka kini lebih memihak kepada calon-calon PN, setelah kecewa tindakan kerajaan UMNO Melaka sebelum ini yang bercakaran sesama sendiri hingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, dan rakyat terpaksa melalui PRN dalam keadaan pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
Semalam, Melaka merekodkan 116 jangkitan baharu menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 68,148 kes, berbanding 65,233 kes sembuh, dan 917 kematian.
Negeri itu juga sehingga kini merekodkan 2,150 kes aktif dengan 1,598 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 370 ditempatkan di PKRC; 163 dimasukkan ke hospital; dan 19 pesakit dirawat di unit rawatan rapi.
Sebelum ini, Zahid dengan angkuh berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun PAS pada PRN Melaka.
Dalam sebuah program bual bicara pada Oktober lalu, Zahid berkata oleh kerana MN tidak pernah didaftarkan maka beliau tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil (PRK) yang pernah diadakan.
“Biarlah Umno bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan Insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” katanya.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan terhadap Ketua Menteri UMNO, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan