TEKA-teki mengenai siapa calon Ketua Menteri Melaka sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan terjawab esok.
Pengumuman calon itu hanya dua hari sebelum hari pengundian bagi PRN Melaka, Sabtu ini.
Perkara berkenaan dimaklumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menjelaskan isu tersebut akan dibincangkan bersama parti komponen PN.
Hamzah berkata, PN akan memilih calon yang dapat diterima masyarakat di Melaka dan boleh membantu menarik sokongan pengundi atas pagar.
Pada masa sama, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan bahawa PN mungkin akan menampilkan calon wanita bagi jawatan Ketua Menteri Melaka.
“Kalau pun datang (calon) seorang wanita, pernah satu ketika Melaka membawa sebuah cerita Tun Teja yang turut berperanan membangunkan negeri Melaka.
“Jadi apa salahnya kalau kita meletakkan seorang wanita. Kita akan bincangkan isu ini bersama parti komponen lain.
“Saya sendiri telah bertemu Presiden (Tan Sri Muhyiddin yassin) dan memberikan pandangan bahawa kita perlu memilih seorang calon yang dapat diterima masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas makan tengah hari bersama calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Zamzuri Arifin.
Hamzah menjelaskan, PN mempunyai ramai calon yang boleh diketengahkan sebagai Ketua Menteri Melaka.
“Kalau bukan seorang wanita, kita juga ada calon lain contohnya di Rembia ini, calon kita (Zamzuri) pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah.
“Tadi saya tanya pegawai Majlis Perbandaran Alor Gajah, mereka rindukan kepemimpinan pernah dibawa calon kita, itu menunjukkan kita ada calon lain.
“Begitu juga Datuk Mohd. Rafiq (Naizamohideen), pernah jadi exco kerajaan negeri. Kita juga ada beberapa doktor profesional dan jurutera. Ini akan kita bincangkan dan umumkan esok,” jelas beliau.
Selain Mohd. Rafiq, antara nama yang disebut-sebut bagi mengisi jawatan Ketua Menteri sekiranya PN membentuk kerajaan adalah calonnya di DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan