HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 November 2021

Korek pasir, Sulaiman salahkan Idris dan kerajaan PH pula


Isu korek pasir yang dimainkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya dijadikan modal politik bertujuan untuk memburukkan imej kerajaan negeri yang dipimpinnya sebelum ini, kata Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Bekas Ketua Menteri (KM) Melaka yang dijatuhkan oleh pemimpin UMNO sendiri itu berkata tidak wajar isu korek pasir ditunding jari kepadanya semata-mata walhal ia sudah berlaku sejak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU14) Ke-14, malah Pakatan Harapan (PH) semasa memerintah kerajaan negeri selama 22 bulan juga gagal menguruskan isu kontroversi tersebut.

“Kes ini sudah lama. Saya baru sahaja jadi Ketua Menteri selama 18 bulan, malah projek ini lebih awal lagi iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya hari ini dalam satu sidang media.

Sulaiman sebaliknya menyalahkan bekas KM terdahulu, Datuk Seri Idris Haron yang mengetuai kerajaan negeri Melaka sebelum PRU14 dan juga kerajaan PH semasa pemerintahan 22 bulan sebagai punca kepada kemelut isu pengorekan pasir dan tidak sepatutnya kerajaan beliau pula dipersalahkan.

“Ada cakap-cakap mengatakan projek ini menyebabkan banjir, mengapa dahulu tidak ambil tindakan. Yang pegang lima tahun dan 22 bulan mengapa tidak buat? Mengapa hari ini baru hendak timbulkan? Ini semua politik.

“Saya selama 18 bulan sudah pun melaksanakan, ada juga saya batalkan kalau Jabatan Perhutanan tidak membenarkan. Mereka lebih arif dalam soal ini,” katanya lagi.

Malah, Sulaiman juga berkata beliau sendiri pernah menolak kerja-kerja pengorekan pasir sepanjang 18 bulan menjadi KM Melaka.

Terdahulu, Idris dalam mempertahankan keputusannya menarik sokongan terhadap Sulaiman berkata langkah tersebut diambil kerana kerana tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan royalti pasir.

Pada 8 Oktober, Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bertemu dengan Idris bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan berlaku pembolotan projek ekonomi dan penipuan terhadap kerajaan persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.

Idris sebelum ini menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman bersama tiga orang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang lain – Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Tiada ulasan: