Pengundi Melaka akan pastinya memilihnya kekal menjadi Ketua Menteri (KM) sekali lagi, kata Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga calon KM bagi Barisan Nasional (BN) penuh yakin.
Sulaiman percaya rakyat Melaka pasti akan memilih BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung esok memandangkan penerimaan orang ramai terhadap pencalonan dirinya sebagai KM diterima dengan baik ditambah pula dengan sokongan Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Jentera BN juga sudah menjalankan tugas sebaik mungkin dalam mendekati pengundi di semua kerusi ditandingi.
“Alhamdulillah penerimaan pengundi baik sejak hari pertama kempen dan diharap dapat diterjemahkan pada hari pengundian esok,” katanya pada sidang media di Seri Bendahara, hari ini.
Sulaiman berkata, rakyat Melaka juga diingatkan supaya membuat pilihan bijak kerana kerajaan negeri yang dipilih kelak bukan untuk tempoh setahun atau dua tahun.
Katanya, kerajaan dipilih akan diberi mandat untuk lima tahun dan seharusnya parti yang mempunyai rekod perkhidmatan yang terbaik menjadi pilihan.
“Rakyat diharap memilih BN yang mempunyai ‘track record’ yang baik dalam memperjuangkan agenda rakyat lebih 60 tahun.
“Parti yang stabil dan berpengalaman memudahkan dasar kerajaan yang tertangguh sebelum ini diteruskan semula,” katanya.
Untuk rekod, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron sebelum ini membidas Sulaiman sebagai budak suruhan kepada Rauf.
Malah, punca Idris menarik sokongan sehingga kerajaan pimpinan Sulaiman jatuh juga berpunca disebabkan tidak berpuas hati kerana Sulaiman mengikut telunjuk Rauf sebelum ini.
Esok penentu landskap politik dan pentadbiran kerajaan Melaka untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pada PRN kali ini, seramai 476,037 pengundi daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar akan menjalankan tanggungjawab esok.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 11,557 adalah pengundi awal dan 7,601 mengundi secara pos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan