MALAYSIA POST
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas keputusan kerajaan melantik ramai individu sebagai Duta Khas bertaraf bertaraf Menteri yang didakwa hanya menyebabkan pembaziran wang rakyat.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu, berkata ketika ini sudah lima jawatan berkenaan diwujudkan dan kemungkinan akan ada lagi lantikan duta bertaraf menteri keenam.
“Ini Duta Khas bertaraf Menteri yang kelima dilantik. Dengar cerita kemungkinan ada yang keenam lepas ini.
“Makin lama makin besar macam Kabinet Menteri. Makin lama makin banyak duit rakyat dibazirkan,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, pelantikan itu dibuat tanpa mengetahui apakah fungsi sebenar jawatan berkenaan diwujudkan.
“Lantik banyak-banyak Duta Khas tapi tak tahu apa fungsi dia. Mungkin mereka lebih berpengalaman daripada Duta Rasmi Kementerian Luar Negeri.
“Makin hari makin tambah Duta Khas. Mungkin Kerajaan nak buat satu Kabinet Duta Khas yang sama banyak macam Kabinet Menteri,” sindirnya.
Kenyataan Syed Saddiq itu merujuk laporan sebuah portal berita berhubung pelantikan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran sebagai Duta Khas Malaysia ke Asia Selatan.
Sebelum ini, bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu turut pernah dilantik sebagai Duta Khas Malaysia ke Asia Selatan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2011, bagaimanapun pun jawatan itu dimansuhkan ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 2018. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan