MASJID TANAH: Calon Ketua Menteri Melaka daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mahu memastikan rakyat negeri itu ada sumber ekonomi yang mencukupi, terutama ketika pandemik COVID-19 masih belum berakhir.
Untuk tujuan itu, katanya, beliau meletakkan sasaran memajukan pelbagai sektor ekonomi terutama perindustrian dengan menarik pelaburan tempatan dan asing.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, beliau tidak akan mengetepikan sumbangan belia dalam memajukan ekonomi negeri kerana mereka adalah penggerak utama pembangunan ekonomi terutama dalam sektor industri perkilangan.
"Saya seorang ibu yang dapat melihat bagaimana pandemik menghimpit ekonomi keluarga sedangkan yang paling penting ketika pandemik ialah kita ingin melihat makanan di atas meja.
"Jika saya menjadi Ketua Menteri, saya akan majukan ekonomi dalam pelbagai sektor, termasuk pelancongan," katanya pada sidang media bersama Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan di Bilik Gerakan PN Tanjung Bidara di Kampung Padang Kemunting di sini malam ini.
Beliau berkata, pencalonannya sebagai Ketua Menteri memberikan kelebihan kepadanya untuk berhadapan dengan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.
Ditanya mengenai hubungannya dengan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Mas Ermieyati berkata, beliau akan berjumpa dengan pemimpin itu.
"Datuk Rafiq adalah pemimpin yang bertanggunghawab menjadikan PN seperti yang ada pada hari ini dan tanpa beliau, PN tidak akan mencapai tahap yang membanggakan seperti sekarang," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, daripada keseluruhan 10,133 pengundi di Tanjung Bidara, 52 peratus terdiri wanita dan berharap mendapat sokongan padu daripada golongan itu sambil tidak mengabaikan 48 peratus pengundi lelaki.
"Saya juga berharap jentera pilihan raya PN supaya melipatgandakan usaha bagi memastikan segala perancangan parti untuk melicinkan proses pengundian Sabtu ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan