Poster berbentuk provokasi mendesak peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mula digantung di beberapa lokasi sekitar Melaka sejak malam tadi, ia dipercayai selepas akar umbi tidak berpuas hati dengan Presiden UMNO tersebut.
Poster yang digantung menyalahkan Zahid sebagai punca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini diadakan apabila gagal menyelesaikan perbalahan sesama pemimpin UMNO di negeri itu yang berebut projek pasir sehingga terjatuhnya kerajaan negeri Melaka.
Dalam poster itu, tertera ayat ‘Akar umbi UMNO negeri Melaka kecewa kerana masalah pasir Presiden UMNO gagal menghalang PRN Melaka’.
Dalam poster itu juga turut mamaparkan logo UMNO, Barisan Nasional (BN) dan wajah presiden parti itu sendiri.
Berdasarkan tinjauan, poster-poster itu digantung di beberapa kawasan berhampiran tempat lokasi poster parti bertanding dipasang, antaranya di Sungai Udang dan Alor Gajah.
Sebelum ini, media melaporkan, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mendakwa, terdapat pemimpin UMNO di Melaka terbabit dalam penyelewengan royalti pasir menyebabkan beliau bersama tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tiga ADUN lain yang terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Idris difahamkan tidak berpuas hati dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dilihat sebagai budak Zahid di Melaka kerana tindakan rakusnya membolot projek pasir di Melaka selain masuk campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Untuk rekod, Rauf juga merupakan salah seorang calon KM Melaka selain Sulaiman yang diumumkan BN baru-baru ini.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mustahil calon Ketua Menteri BN, Datuk Seri Sulaiman Md Ali terbabit dalam skandal pasir di Melaka kerana beliau baru sahaja menjadi Ketua Menteri tahun lalu.
“Cerita pasir ni dah lama sejak saya jadi Menteri Besar penggal pertama di Negeri Sembilan. Saya bantah, kerana nak tambak sebelah sempadan Negeri Sembilan, saya tak setuju.
“(Isu pasir) bukan zaman dia (Sulaiman), dah lama dah… Sampai saya buat bantahan dalam Majlis Fizikal Negara pada ketika itu kerana saya buat Taman Laut di Teluk Kemang, 200 ekar kita gazetkan untuk batu karang, zaman tu lagi dah buat (tambak laut).
“Apa cerita sekarang baru bising? Sebab tak dapat jadi Ketua Menteri? Cuba baca buka buku balik…,” katanya dalam program bual bicara secara maya sempena kempen PRN Melaka malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan