HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 November 2021

Mat Hasan yakin menang besar, dapat tambah lagi 5 ADUN lantikan


Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yakin kemenangan besar akan dicapai gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini dan dapat membentuk kerajaan majoriti selesa.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata sekurang-kurangnya 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan kekal milik BN dan ia akan memudahkan usaha mereka untuk menambah lima lagi ADUN lantikan seperti yang diumumkan dalam manifesto sebelum ini.

“Kalau boleh kita nak menang 20 kerusi… kita cuba untuk kekalkan yang 13 kerusi (dimenangi pada PRU14) dan kita punya sasaran adalah kepada tumpuan lima lagi kerusi, (menjadikan keseluruhan) 18 kerusi.

“Tetapi jika kita dapat lepasi jumlah 15 kerusi (majoriti mudah untuk membentuk kerajaan), pun dah syukur Alhamdulillah, kita boleh tubuhkan kerajaan kita sendiri,” katanya penuh yakin dalam wawancara Bernama hari ini.

Jelasnya, kemenangan besar BN itu akan memudahkan satu penubuhan kerajaan yang stabil apabila ADUN lantikan dibawa masuk ke dalam kerajaan negeri yang dipimpin UMNO nanti.

“Jadi untuk mendapatkan satu kerajaan yang stabil, kita mesti tubuh kerajaan atas kekuatan kita sendiri.

“Jadi kita tak akan terus setiap hari diancam, diugut nak tarik diri. Kalau selagi perkara itu berlaku, kerajaan tak akan stabil,” katanya lagi.

Pada PRN Melaka kali ini, BN bertanding semua 28 kerusi DUN; UMNO bertanding di 20 kerusi, tujuh MCA dan satu MIC.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, UMNO menang di kerusi DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat bekas ADUN kerajaan diketuai Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini (20 Nov).

Tiada ulasan: