HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 November 2021

PN punya cara tersendiri dekati pengundi Melaka, kata Azmin

 BERNAMA

Menurut Azmin, gabungan PN tidak perlu terikut-ikut dengan cara parti-parti lain.

Perikatan Nasional (PN) mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendekati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan tidak perlu terikut-ikut dengan kaedah parti-parti lain, kata Pengarah Pilihan Raya PN Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata PN tidak mahu terbawa-bawa dengan pendekatan parti lain yang lebih cenderung mengumumkan calon ketua menteri masing-masing apabila berjaya membentuk kerajaan.

“Kita kena mencari pendekatan-pendekatan baru untuk mendekati mereka (pengundi), menerangkan manifesto, dan kita juga memaklumkan tentang kejayaan PN dalam tempoh dua tahun ini untuk menjaga kesihatan dan memulihkan ekonomi, ini keutamaan kita,” katanya kepada pemberita hari ini.

Azmin, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata rakyat ketika ini ingin tahu mengenai dasar dan inisiatif yang akan dilakukan PN jika diberi mandat oleh rakyat untuk mengetuai kerajaan negeri selepas ini.

Hari ini berlangsungnya proses pengundian awal PRN Melaka bermula 8 pagi tadi, yang menyaksikan 11,557 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Proses pengundian berlangsung di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA) di seluruh negeri sehingga 5.30 petang ini.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada 20 November ini.

Tiada ulasan: