MALAYSIA POST
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak menjadi DAP sebagai alasan dalam setiap tindakan politik beliau.
Mohd Puad berkata, ada pihak yang dilihat mahu ‘menegakkan benang yang basah’ dengan mendakwa Langkah Sheraton yang dilakukan Muhyiddin bukan berniat jahat, tetapi demi menyelamatkan negara daripada DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Habis bersekongkol dengan DAP dan Anwar jatuhkan kerajaan BN (Barisan Nasional) di PRU 14 bukan jahat? Bila masa Muhyiddin jadi suci bersih dari DAP.
“Bahkan di saat kehilangan jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin cuba menawarkan pakej kerjasama dengan DAP dan PKR. Berlaku rundingan pintu belakang bersama Tony Pua dan Ong Kian Ming,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Puad berkata, mungkin pihak berkenaan lupa keputusan MKT Umno memecat Muhyiddin adalah disebabkan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang ‘sepentas’ dengan DAP untuk menghentam parti.
“Bukan kerana isu 1MDB. Kalau 1MDB, sudah lama Muhyiddin dipecat.
“Jangan jadikan DAP alasan. Umno ada track record kalahkan DAP di Cameron Highland. Masa itu Muhyiddin masih sebantal dengan DAP. Bila kalah teruk di Tanjung Piai, baru nak sedar diri?,” soalnya.
Terdahulu, hubungan Muhyiddin dengan beberapa pemimpin Umno menjadi semakin tegang selepas bekas Perdana Menteri itu menganggap cabaran Tan Sri Shahrir Samad untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, bukan sahaja berniat jahat namun tidak berakal.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak akan bertindak bodoh seperti segelintir pemimpin Umno yang menarik sokongan terhadap kerajaan sendiri, dan akhirnya menyebabkan rakyat Melaka terpaksa menanggung risiko Covid-19 akibat PRN.
Katanya lagi, sekiranya beliau selaku Presiden Bersatu mengarahkan dua ADUN parti itu di Johor untuk menjatuhkan kerajaan, ia adalah satu kerja yang akan membahayakan rakyat. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan