HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 November 2021

‘Pas kembalilah ke pangkal ummah’

Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN 
 
  PUAD ZARKASHI

PETALING JAYA: Pas perlu kembali ke pangkal ummah selepas parti itu tewas dalam kesemua kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun bertanding di bawah lambang Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya itu, namun ia tidak membuatkan gabungannya angkuh.

Bagaimanapun, katanya, Pas perlu bersabar dan mencari sahabat politik serta bukannya rakan kongsi yang hanya memikirkan keuntungan, namun meninggalkan mereka sekiranya berdepan kerugian. 

“BN mesti bersyukur. Insya-Allah, BN tidak akan angkuh dengan kemenangan itu. Pas pula kena banyak bersabar. 

“Carilah sahabat politik bukan rakan kongsi politik. Rakan kongsi hanya fikirkan untung. Bila rugi, dia akan lari tinggalkan rakan kongsi. Sepatutnya UMNO-Pas bersahabat. 

“Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (Bersatu) masih untung kerana menang dua. Itu sindir Pas ke yang dapat 0? Pas, kembalilah ke pangkal Ummah (Muafakat Nasional),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz daripada Pas yang dipercayai mengajak parti itu untuk bermuhasabah dan beristiqamah selepas tewas di PRN Melaka, semalam. 

Pas tewas di semua lapan kerusi ditandingi dalam pilihan raya itu sekali gus mengulangi kekalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). –  UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: