HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 November 2021

PRN Melaka bukti rakyat tolak ‘katak politik’

 MalaysiaPost

PRN Melaka bukti rakyat tolak ‘katak politik’

TIRAI Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditutup semalam. Pastinya ia mencatat kenangan manis buat Barisan Nasional (BN) apabila merekodkan kemenangan penuh bergaya malam tadi.

BN yang bertanding solo, memenangi 21 daripada 28 keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Daripada 21 kerusi dimenangi BN, 18 adalah daripada Umno, MCA dua kerusi manakala MIC memenangi kerusi tunggal mereka di DUN Gadek.

Menariknya, calon MCA dan MIC yang diramalkan banyak pihak kecundang atau ‘ditapau’ dalam PRN Melaka ini, membuktikan sebaliknya.

Kemenangan selesa itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Pastinya PRN Melaka mencorak satu momentum yang sudah lama diimpikan BN selepas menerima tamparan hebat ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Kemenangan besar ini, termasuk merampas kerusi yang tewas pada PRU14 lalu membuktikan BN kini sudah ‘dimaafkan’ rakyat Melaka.

Justeru, berbekalkan ‘semangat’ PRN Melaka ini, BN iaitu gabungan Umno, MCA dan MIC umpama mendapat rentak dan lebih bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Sementara itu, PRN Melaka juga menyaksikan lima kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) manakala dua lagi diperoleh Perikatan Nasional (PN).

Namun, cerita sebaliknya buat PKR apabila menerima tamparan hebat selepas tewas semua kerusi ditandinginya.

Lebih memeritkan, PKR sebelum ini menjadi sandaran Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon paling ramai berbanding sekutunya dalam gabungan terbabit.

PKR bertanding 11 kerusi, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Machap Jaya, Rembia, Kelebang, Paya Rumput, Asahan, Rim, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

Sembilan lagi kerusi ditandingi Amanah, manakala DAP diberikan kerusi paling sedikit iaitu lapan, sama dengan jumlah diperuntukkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) 2018.

Bagaimanapun, DAP memenangi empat kerusi (Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir) manakala Amanah berjaya memperolehi satu kerusi di DUN Bukit Katil menerusi Calon Ketua Menteri PH, Adly Zahari.

Sementara itu, bagi gabungan Perikatan Nasional (PN) hanya memperolehi dua kerusi DUN iaitu Sungai Udang dan Bemban.

Calon Ketua Menteri dari PN yang bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Emerianty Shamsudin tewas ditangan calon BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusof dengan memperolehi 3,559 undian dengan majoriti 364 undian.

Sementara itu, semua calon ‘lompat’ yang menjadi punca PRN Melaka terpaksa diadakan, tersungkur di kerusi DUN yang mereka tandingi.

Ia sekali gus memberi interpretasi bahawa rakyat Melaka menolak ‘katak politik’ pada PRN kali ini.

Datuk Seri Idris Haron yang mengetuai ’empat sahabat’ menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali Oktober lalu, kalah di DUN Asahan.

Beliau yang bertanding atas tiket PH kalah kepada calon BN yang juga Ketua Pemuda Umno Melaka Fairul Nizam Roslan yang memperolehi 5,659 undi berbanding 2,666 undi.

Manakala bekas calon BN yang kini mewakili PH Datuk Nor Azman Hassan gagal mempertahankan DUN Pantai Kundor yang dimenanginya pada PRU14 lalu.

Sementara itu Datuk Norhizam Hassan Baktee yang bertanding atas tiket Bebas seperti harimau hilang taring, tewas di DUN Pengkalan Batu.

Beliau gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak dua penggal yang lalu.

Bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka hanya memperolehi 1,198 undi di kedudukan keempat dalam saingan lima penjuru.

Dalam PRN Melaka semalam juga, calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan calon Bebas pula tidak memenangi sebarang kerusi yang ditandingi.

Inilah warna-warni PRN Melaka yang diterjemahkan rakyat dan perlu diambil kira oleh parti politik yang bertanding.

Apa yang pasti ‘post-mortem’ perlu dilakukan, selain PRN ini menzahirkan pendirian rakyat yang jelas menolak ‘katak politik’, peratusan keluar mengundi yang rendah juga perlu diambil perhatian.

Satu lagi jangan dilupa, keputusan PRN Melaka sudah tentu akan menjadi penentu kepada sebarang bentuk kerjasama di antara PN dan BN.

Selain itu, tumpuan juga terarah kepada status Muafakat Nasional (MN), susulan pendirian PAS yang sebelum ini menolak untuk bersama BN dan memilih PN dalam PRN Melaka.

Ini antara perkara yang dijangka bakal berbangkit dalam pasca PRN Melaka.

Kepada BN, jangan terlalu lama meraikan kejayaan kerana ujian yang lebih besar menanti. Selain PRN Sarawak, PRU15 juga semakin hampir. Selamat bekerja! – Malaysiapost

Tiada ulasan: