HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 November 2021

Pengeluaran i-Citra: ‘Siapa kata saya senyap?’ – Asyraf Wajdi

MALAYSIA POST

Pengeluaran i-Citra: ‘Siapa kata saya senyap?’ – Asyraf Wajdi

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak pihak yang menuduh beliau ‘senyap’ daripada memperjuangkan tuntutan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, malah Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak juga telah membangkitkan perkara itu dalam perbahasan Bajet di Parlimen, baru-baru ini.

“Kami sama-sama tuntut Menteri Kewangan @tengkuzafrul agar dapat menjawab dalam pergulungannya nanti.

“Siapa kata saya senyap memperjuangkan tuntutan rakyat khususnya pengeluaran kali terakhir KWSP i-Citra?,” soalnya.

Beliau berkata demikian menerusi ruangan komen di Facebooknya bagi menjawab persoalan netizen berhubung perkembangan terkini tuntutan pengeluaran RM10,000 i-Citra KWSP yang diperjuangkan Pemuda Umno.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya menyedari bahawa hujah 46 peratus pencarum mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM10k ada kebenarannya.

“Namun, hujah saya dan Datuk Seri Najib, pilihan harus diberikan kepada 54% lagi yang punya simpanan yang melebihi RM10k.

“(Pengeluaran itu) bagi mereka memulakan kehidupan pasca pandemik terutamanya selepas ramai yang hilang punca pendapatan, dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji sejak PKP3.0 awal tahun ini.

“Malah, pelbagai cadangan juga dikemukakan kepada KWSP, kerajaan bahkan di Parlimen pendekatan yang boleh dibuat untuk menampung kembali kekurangan dalam KWSP akibat pengeluaran yang terdesak semasa keadaan kecemasan dan luar biasa pandemik,” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi meminta pihak yang membuat tuduhan supaya membaca status Facebooknya sepanjang melaksanakan perjuangan untuk rakyat.

“Tahun lepas waktu kami kemukakan cadangan seperti inipun, pelbagai kecaman, perlian dihamburkan.

“Tapi apabila akhirnya kerajaan akur juga dengan menawarkan i-sinar dan i-lestari ramai pula yang claim credit,” katanya.

Jelas Asyraf Wajdi, beliau tidak mempunyai masalah terhadap individu yang mahu menjadi ‘hero’ kerana apa yang penting rakyat dapat manfaatnya.

“Inilah perjuangan kami yang akan terus bersuara dan menuntut bagi pihak rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Umno agresif memperjuangkan tuntutan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 yang disifatkan sebagai keperluan mendesak untuk rakyat memulakan hidup ketika pasca pandemik.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022, tidak memasukkan pengeluaran simpanan KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 secara one-off dalam belanjawan berkenaan. – Malaysiapost

Tiada ulasan: