MELAKA: Pakatan Harapan (PH) tidak akan memberi kelulusan membabitkan sebarang aktiviti penjualan pasir sekiranya diberi kepercayaan kembali mentadbir Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata tindakan itu sudah pun dibuat sepanjang tempoh 22 bulan PH mentadbir selepas PRU-14.
Selain itu, beliau berkata, perhatian khusus akan diberikan juga kepada aktiviti tambak laut dalam memastikan ia dilaksanakan dengan berhemah.
"Sebenarnya penjualan pasir keluar dari Melaka tidak wajar dibuat, ia bagi kegunaan Melaka sendiri sebab itu kawalan harus dibuat dan pastikan sumber (pasir) adalah untuk reklamasi.
"Ketika memerintah selama 22 bulan, kita sudah menghentikan semua tambakan di Selatan Melaka kerana bagi kita kawasan di situ lebih terbabit dengan perikanan, penternakan kupang dan dilihat sebagai kawasan perikanan," katanya.
Adly yang juga bekas Ketua Menteri berkata, PH juga akan menilai semula kesesuaian projek Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez) kerana membabitkan kawasan tambakan laut yang luas.
"M-Wez sebenarnya harus dinilai semula secara keseluruhan kerana kita tahu bahawa kita mempunyai pesisir pantai yang cukup strategik.
"Secara dasar ia harus dinilai semula secara keseluruhan dan perlu memberikan impak positif kepada negeri, tetapi tidak boleh beri kesan kepada alam sekitar yang terlalu besar," katanya.
Selain itu, pemasalahan banjir juga diberi perhatian khusus dan diselesaikan segera.
"Antara yang diselesaikan banjir di Kampung Chetti dengan melakukan naik taraf rumah pam, meningkatkan infrastruktur saliran, begitu juga di kawasan Bukit Baru yang terputus hubungan setiap kali banjir.
"Contoh banjir yang cukup 'popular' di Cheng dapat diselesaikan dengan praktikal. Sebenarnya boleh diselesaikan dalam tempoh singkat dengan mengambil beberapa perkara (tindakan kerajaan) iaitu membuat saliran baharu dan menaik taraf jalan sedia ada," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan