MELAKA: Parti kerajaan lebih bersikap terbuka dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, dengan memberi ruang sama rata kepada semua parti termasuk pihak lawan dalam berkempen.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata pendekatan kempen parti yang bertanding juga banyak bergantung pada kreativiti masing-masing.
"Kali ini, parti kerajaan juga cukup berdisiplin kerana tidak membabitkan jentera kerajaan, malah program rasmi kerajaan tidak diadakan.
"Ini memberi ruang sama rata antara (calon parti) kerajaan, pembangkang dan bebas," katanya dalam siaran langsung 'Santai FB Live bersama TSAM' dikongsikan melalui Facebook rasmi beliau, malam tadi.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh berkempen itu, turut dilaksanakan secara adil kepada semua pihak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai tarikh mengundi untuk PRN kali ini, selepas Dewan Undangan Negara (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan