MELAKA: Perikatan Nasional (PN) mengarahkan jentera pilihan raya di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat laporan polis berhubung penggunaan bahan kempen yang memaparkan wajah Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Penyelaras Gerak Kerja Penerangan Kempen PN, Badrul Hisham Shaharin berkata, Sulaiman merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Lendu dan beliau bukan presiden parti di peringkat pusat atau negeri.
Justeru katanya, perbuatan itu adalah salah di bawah akta pilihan raya kerana wajah Sulaiman berada di mana-mana di seluruh Melaka dan di luar kawasan kempen beliau.
“Kita telah berbincang dengan pihak perundangan semalam selepas ada rungutan dan aduan yang dibuat berkenaan poster Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memenuhi seluruh pelusuk Melaka. Isu ini perlu dijelaskan bahawa Muhyiddin adalah Presiden PN. Sebab itu gambar beliau ada di mana-mana.
“Kami tidak pernah berselindung dan bangga dengan pencapaian beliau. Sebab itu kita hendak beritahu rakyat bahawa ini bukan janji tetapi suatu usaha yang telah dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar PN di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Tambah Badrul Hisham, wajah Muhyiddin lebih menyerlah kerana parti-parti lain tidak terlalu menonjolkan wajah presiden mereka.
Dakwanya, UMNO dan BN malu untuk menggunakan wajah presiden sendiri kerana terpalit kontroversi dan salah laku selain berdepan perbicaraan di mahkamah.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak popular di kawasan majoriti melayu dan bimbang ia akan mempengaruhi undi jika menggunakan wajah beliau.
“Jadi mereka malu hendak gunakan ketua sendiri. Jangan salahkan kami jika poster Muhyiddin banyak di Melaka kerana beliau ketua kami,” katanya.
Dalam pada itu, PN turut mendedahkan banyak berlaku aktiviti kacau ganggu terhadap barang kempen parti itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan