HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 November 2021

PRK Bugaya tunggu perintah darurat ditarik balik

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KADZIM M. YAHYA

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya akan diadakan selepas pengisytiharan darurat ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya berkata, beliau juga menantikan pemakluman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh pelaksanaan PRK tersebut.

Walau bagaimanapun, darurat yang diisytiharkan di kawasan DUN Bugaya belum lagi ditarik balik. Jika dilihat di Sarawak, pengisytiharan darurat sudah ditarik balik.

“Perkara itu di bawah bidang kuasa Agong dan bukan bidang kuasa kita untuk memberitahu Agong apa yang perlu dilakukan.

“Berkemungkinan kena tunggu sehingga proses pilihan raya di negeri lain selesai kerana ketika ini SPR masih sibuk dengan PRN Melaka dan disusuli PRN Sarawak,” katanya ketika mengulas mengenai pelaksanaan PRK DUN Bugaya dalam sidang akhbar hari ini.

Pelaksanaan PRK Bugaya yang dijadualkan pada 16 Januari lalu ditangguh susulan pengisytiharan proklamasi darurat pada 16 Disember 2020 sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19 pada masa itu.

Kerusi DUN Bugaya diisytiharkan kosong setelah penyandangnya, Manis Muka Mohd. Darah meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada 17 November 2020.

Dalam perkembangan lain, Kadzim berkata, cadangan mengenai undang-undang anti lompat parti hanya boleh dilaksanakan sekiranya pindaan dilakukan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan.

Katanya, cadangan undang-undang anti lompat parti yang dikemukakan ketika ini bercanggah dengan Perkara 10 kerana individu yang melompat parti dikehendaki mengosongkan kerusi yang dimenangi dan tidak dibenarkan bertanding untuk tempoh lima tahun.

Mengulas lanjut katanya, wakil rakyat yang meninggalkan parti boleh mengosongkan kerusi secara mandatori namun, mereka harus dibenarkan bertanding semula. Biar rakyat yang menentukan kedudukan mereka selepas meninggalkan parti.

Jika ini dibenarkan maka, tiada pelanggaran terhadap Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Wajibkan wakil rakyat mengosongkan kerusi jika mereka bertukar parti namun, benarkan mereka untuk bertanding semula untuk lihat dia popular mahupun tidak.

“Sebenarnya tiada isu mengkhianati kepercayaan rakyat kerana rakyat sebenarnya mengundi calon berdasarkan parti, mungkin 10 peratus sahaja yang mengundi berdasarkan calon,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: