DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan kononnya Datuk Seri Sulaiman Md Ali hanya akan menjadi Ketua Menteri Melaka sementara sekiranya gabungan parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Dalam catatan di Facebook, Presiden UMNO itu meminta pengundi agar tidak termakan dan terpengaruh dengan fitnah yang dilontarkan pihak tertentu.
“Kepada pengundi dan rakyat Melaka, jangan dengar! Jangan termakan dengan fitnah.
“Mana ada ketua menteri sementara sementara, ini bukan cerita main-main! Ini bukan cerita ketua kampung setengah penggal,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Dalam hantaran itu, Ahmad Zahid memuat naik klip rakaman video timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengulas dakwaan tersebut.
Kata Mohamad, semua itu adalah fitnah yang direka bagi melemahkan BN.
Sulaiman dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya BN diberi mandat untuk membentuk kerajaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN ketika mengumumkan perkara itu berkata, Sulaiman dilihat sebagai pemimpin yang disenangi rakyat Melaka selain bebas daripada sebarang isu.
Pakatan Harapan (PH) pula menamakan Adly Zahari yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil manakala Perikatan Nasional (PN) belum menamakan sesiapa bagi jawatan berkenaan.
Sulaiman, yang juga penyandang di kerusi DUN Lendu ditentang Mejar
(B) Abdullah Mahadi daripada (PN) dan Mohamad Asri Ibrahim (PH).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan