MELAKA: Seorang ahli perniagaan meluahkan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN), 20 November ini.
Azmar Ab Hamid@Shaaim, 49, berkata hasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan itu kerana mahu memastikan visi dan misinya membela rakyat dapat diterjemahkan pada PRN walaupun terpaksa berdepan calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, pemilihan DUN Asahan sebagai lokasi untuk khidmatnya kepada rakyat adalah kerana beliau anak jati kawasan itu selepas bosan melihat pergolakan politik yang melanda negeri Melaka.
"Hasrat untuk bertanding juga selepas mendapati situasi politik tidak akan reda selepas PRN kerana ada pihak pasti tidak akan berpuas hati dan berkemungkinan berlaku lompat parti seperti sebelum ini.
"Berdasarkan isu itu, saya mahu memastikan tiada lagi situasi berkenaan (lompat parti) dan pada masa sama memfokuskan kepada pembangunan rakyat," katanya yang akan menggunakan logo payung untuk bertanding atas tiket Bebas.
Mengenai penggunaan logo payung, Azmar berkata, ia adalah kerana konsepnya ingin memayungi rakyat dan rakyat bersama-sama berpayung membina negeri.

"Namun, jika tidak dibenarkan saya bercadang menggunakan lambang kunci, tetapi semuanya terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan lambang sebagai pilihan untuk saya walaupun mempunyai cadangan lambang sendiri," katanya.
Beliau berkata, walaupun belum terdapat rekod menunjukkan kemenangan buat calon Bebas di DUN berkenaan, beliau yakin mampu menarik pengundi berdasarkan perkembangan situasi semasa.
Kerusi DUN Asahan terletak dalam kawasan Parlimen Alor Gajah membabitkan 16,011 pengundi berdaftar berdasarkan data Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pada PRU-14, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (BN) mempertahankan kerusi itu selepas meraih 5,942 undi dengan majoriti 275 undi menewaskan Zamzuri Arifin (BERSATU) dan Azlan Maddin (PAS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan