MASJID TANAH: Barisan Nasional (BN) dicadang memilih 40 peratus calon muka baharu dan 60 peratus calon lama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman, berkata cadangan itu perlu diberi perhatian oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam membuat pemilihan calon BN bagi menghadapi pilihan raya terbabit.
Katanya, sebanyak 40 peratus calon itu harus dalam kalangan orang muda, profesional dan berwibawa, selain yang diyakini mampu menang bagi memikul tanggungjawab memajukan kawasan masing-masing.
"Bagaimanapun, muka lama janganlah dibuang semua kerana tanpa mereka siapa yang hendak mempertahankan kerajaan negeri daripada cabaran pembangkang dan membuat kerja memajukan negeri?.
"Calon muda boleh menimba pengalaman daripada orang lama dan orang lama pula harus mencurahkan pengalaman membantu memajukan negeri ini kepada yang baharu," katanya selepas menyampaikan sumbangan kit makanan kepada nelayan di Jeti Nelayan Kampung Telok Gong, di sini, hari ini.
Beliau yang juga EXCO Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, bagaimanapun bukan bermakna muka lama ingin kekal selama-lamanya, sebaliknya harus diberikan peluang untuk terus berkhidmat kepada rakyat berasaskan pengalaman yang ada pada mereka.
Katanya, sekiranya calon muka baharu menang mereka perlu membuktikan mampu menggalas tanggungjawab sebagai penghubung atau jambatan antara kerajaan dengan rakyat.
"Muka lama pula perlu memperkukuh usaha memajukan ekonomi, politik dan sosial anggota komuniti walaupun ada pihak tertentu dalam masyarakat yang mendakwa mereka sudah kehabisan modal untuk membantu membawa kemajuan.
"Saya sendiri senang saja, kalau diberi amanah untuk bertanding (PRN), saya akur dan kalau sebaliknya serahkan kepada muka baharu dan saya akan tetap membantu kejayaan calon BN," katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, calon BN pada PRN Melaka perlu mempunyai ciri 'WALI', iaitu 'winnable' (boleh menang), 'acceptable' (boleh diterima) dan 'likeable' (disukai).
Katanya, walaupun BN akan terus menjadi pilihan pengundi, faktor calon adalah penentu kemenangan dan muka lama tidak harus berkecil hati kerana parti mempunyai tempat untuk mereka, manakala muka baharu pula menghormati yang lama.
Ismail adalah ADUN tiga penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi sejak 2008, selepas menewaskan Julasapiyah Kassim daripada PAS dengan undi majoriti 1,977.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Ismail memperoleh undi majoriti 1,372 selepas menewaskan Hasmorni Tamby (PKR) dan Azmi Sambul (PAS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan