HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 November 2021

PRN Melaka: Lebih malu PH terima ‘katak berprinsip’ kalah banyak kerusi


Kekalahan Perikatan Nasional (PN) tidaklah lebih memalukan seperti dialami Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan mempertaruhkan calon ‘katak berprinsip’.

Jika dibandingkan, kekalahan PH yang berpunca kerana terlalu percayakan strategi bodoh Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sangat memalukan sehingga gagal mempertahankan kerusi yang mereka menangi sebelum ini, malahan DAP yang dikatakan kuat dikalangan pengundi kaum Cina juga sudah menerima tempiasnya.

Sekiranya tiada pertembungan tiga penjuru, berkemungkinan PH dan PN akan lebih berjaya memenangi lebih banyak kerusi di Melaka, bagaimanapun kerana Anwar yang terlalu angkuh dan bongkak mahu bertanding semua kerusi mengakibatkan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti lebih banyak.

Kesilapan utama Anwar adalah kerana meletakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan sehingga menyebabkan kerajaan negeri jatuh sebelum ini.

DAP sememangnya tidak senang dengan keputusan Anwar tersebut, namun kerana sudah berjanji dan terlibat bersama dalam komplot menumbangkan kerajaan Melaka, Anwar terpaksa menunaikan janjinya.

Hasilnya, PH tersungkur dengan teruk di Melaka apabila hilang kerusi yang mereka menangi sebelum ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Berbeza dengan PN, walaupun tidak dapat membentuk kerajaan tetapi sekurang-kurangnya masih mempertahankan kemenangan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mengulangi pencapaian pada PRU-14 lalu.

Namun, PN sebagai sebuah parti yang baharu bertanding secara solo boleh dikatakan keputusan di Melaka masih boleh dibanggakan, malah perbezaan majoriti kekalahan PN dengan BN tidak terlalu jauh jika dibandingkan dengan kekalahan PH yang lebih jauh ketinggalan di kebanyakkan kerusi yang ditandinginya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat kekalahan tersebut sebagai satu petanda yang masih baik dan membuktikan mampu menjadi pencabar utama kepada BN.

Pengerusi PN itu berkata, sebahagian besar calon mereka berjaya mendapatkan jumlah undi yang agak besar berbanding calon-calon lain.

“Ini menunjukkan PN sudah membuat ‘inroad’ di Melaka. Ada angin perubahan tapi ternyata belum cukup kuat untuk membentuk kerajaan,” katanya semalam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada BN dan berharap agar gabungan itu mampu menunaikan janji-janji pilihan raya.

PN menerusi Bersatu berjaya memenangi dua kerusi DUN, mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi semasa PRU-14.

Dua kerusi yang dimenangi Bersatu kali ini ialah di Bemban dan Sungai Udang.

Sementara itu, Muhyiddin berkata blok itu akan membuat kajian mendalam terhadap keputusan PRN Melaka ini bagi menentukan punca kekalahan.

“Sama ada berkaitan jumlah pengundi keluar, jentera atau masalah lain.

“Ini tentunya beri banyak pengajaran,” tambah beliau.

Menurut Muhyiddin, PN bersedia menghadapi kemungkinan PRU-15 sekiranya ia diadakan lebih awal.

“Kita sudah berada di sini, dan akan terus beristiqamah untuk jadi pencabar utama kepada BN,” katanya.

Tiada ulasan: