Segala usaha dan kerja keras sudah dilakukan sepanjang tempoh berkempen sejak 8 November lalu bermula, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyerahkan kepada ketentuan yang Esa bagi menentukan keputusan bakal diperoleh hari ini.
Mas Ermieyati yang juga menjadi calon wanita pertama dinamakan sebagai Ketua Menteri Melaka oleh Perikatan Nasional (PN) mendoakan kepada Allah agar segala urusan pada hari mengundi berjalan dengan lancar dan bertawakal agar mendapat keputusan yang positif nanti.
“Saya dah berusaha, kita sudah cuba… Selebihnya kita serah kepada Allah dan bertawakal,” katanya kepada media selepas menjalankan pengundian di pusat mengundi SK Ramuan China Besar pagi ini.
Mas Ermieyati mengundi dalam kawasan DUN Ayer Limau.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan proses pengundian berjalan dengan lancar, disamping memuji semangat para pengundi yang keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Saya terharu melihat pengundi khususnya daripada saluran satu yang terdiri mereka golongan warga emas dan berusia yang keluar awal untuk menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya lagi.
Mas Ermieyati diumumkan sebagai calon Ketua Menteri bagi PN jika berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengumuman pencalonan tersebut diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dengan mengesahkan calon bagi kerusi DUN Tanjung Bidara itu akan dilantik sebagai pemimpin nombor satu negeri Melaka.
Pengumuman tersebut juga mendekatkan beliau untuk menjadi Ketua Menteri wanita pertama di Malaysia.
Mas Ermieyati yang berdepan dengan pertembungan tiga penjuru melawan Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mewakili Barisan Nasional (BN) dan Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Tanjung Bidara.
Untuk rekod, Mas Ermieyati juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah wanita pertama dari Melaka.
Beliau pada ketika ini merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
PN bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka pada PRN kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan