
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata majlis itu menyerahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan penggunaan lambang pada PRN Melaka.
Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS Pusat hari ini tidak membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan lambang parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, sebagaimana yang diwajibkan UMNO jika mahu bekerjasama.
Parti itu juga belum membuat keputusan sama ada menerima pelawaan kerjasama daripada UMNO sebagaimana diputuskan Majlis Tertinggi (MT) parti itu Khamis lalu, atau menolaknya kerana dipaksa menggunakan lambang sendiri untuk bertanding pada PRN Melaka, bukannya lambang Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan lambang yang akan digunakan oleh parti itu pada PRN Melaka bergantung kepada keputusan MSU yang akan bersidang Ahad ini.
Mengenai keputusan mesyuarat MSU hari ini, Setiausahanya Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, majlis itu menyerahkan kepada Jawatankuas Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan penggunaan mana-mana lambang berdasarkan strategi kebolehmenangan selaras peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS.
Menurutnya, MSU telah mengadakan perbincangan mengenai penggunaan lambang parti pada PRN Melaka dari sudut Siyaasah Syar’iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH).
“MSU melihat aspek ini dalam kerangka perkara-perkara mutaghyyirat (boleh berubah) dan bukannya perkara thawabit (yang tetap). Ia perlu disesuaikan dengan tektikal dan strategi parti.
“Justeru, Majlis Syura Ulamak menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 84,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Khamis lalu, mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghulurkan kerjasama kepada PAS, tetapi dengan mengenakan syarat parti itu tidak boleh menggunakan lambang PN sebaliknya mesti menggunakan logo PAS.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata asas kerjasama itu berpandukan kepada prinsip PAS menggunakan lambang partinya sendiri, selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.
“Ini untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MT itu.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata MSU juga telah meluluskan kelayakan untuk calon-calon PRN Melaka bagi tindakan selanjutnya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 26(9)(f).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan