HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 November 2021

PRN Melaka: 3 bekas ADUN kecuali Norhizam berpeluang jadi calon PH


Tiga daripada empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meruntuhkan kerajaan UMNO Melaka masih berpeluang menjadi calon mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), November ini.

Ketiga-tiga mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan PH boleh menerima ketiga-tiga bekas ADUN itu kerana beliau menyifatkan mereka bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, kerana mahu mengembalikan mandat kepada pakatan itu.

“Pimpinan PH Melaka bincang dengan mereka. Minta kerjasama mereka. Dan mereka mengambil keputusan menyokong PH dan memulih mandat kepada PH yang dirampas atau dikhianati sebelumnya.

Jadi sekarang kita ada masalah untuk menolak begitu sahaja sepertimana yang diharapkan sesetengah pihak dalam media sosial. Itu tidak tepat sebab dia (tiga bekas ADUN) sokong untuk kembalikan mandat kita (PH),” katanya selepas menyampaikan bakul Deepavali di Dewan Undangan Negeri Chuah, Negeri Sembilan, hari ini.

Malah Anwar dilihat membela ketiga-tiga bekas ADUN itu apabila menyatakan mereka sudah mengetahui akan dipecat daripada parti apabila membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan UMNO Melaka.

“(Mereka) ambil keputusan (tarik sokongan) dia dah jangka, dia akan dipecat oleh partinya… UMNO ataupun Bersatu. Jadi oleh yang demikian, kita nak ketepikan begitu saja, tidak boleh.

“Jadi saya terpaksa bincang dengan pimpinan di Melaka kemudian pimpinan PH untuk mengambil kira hal-hal ini sebelum kita buat keputusan. Dia nak kembalikan amanah kepada Pakatan Harapan. Jadi itu pertimbangan,” katanya.

Pada masa sama Anwar berkata pembahagian kerusi dalam kalangan parti PH sudah selesai di mana PKR akan bertanding di 11 kerusi, Amanah (sembilan) dan DAP (lapan).

Sebelum ini, Majlis Presiden PH membuat keputusan menolak bekas ADUN Bebas Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hasan Baktee sebagai calon mereka pada PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 8 November sebagai tarikh penamaan calon, pengundian awal (16 November); dan pengundian biasa (20 November).

Tiada ulasan: