HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 November 2021

PRN Melaka: PN terbukti jaga kebajikan rakyat, kata Hadi Awang


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata pengundi Melaka wajar menjadikan kepemimpinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) peringkat Persekutuan sebelum ini sebagai rujukan betapa gabungan itu prihatin kepada kebajikan rakyat.

Menurutnya sepanjang pemerintahan Kerajaan PN telah banyak usaha positif, termasuk menyalurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat, terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.

“Sepanjang Perikatan Nasional diberikan amanah bagi memimpin negara, banyak usaha serta tindakan positif yang diambil bagi kebaikan rakyat.

“Rakyat Malaysia yang dilanda teruk wabak Covid-19 diberikan bantuan dengan sebaik-baiknya di bawah pemerintahan Perikatan Nasional.

“Ini menunjukkan keprihatinan Perikatan Nasional terhadap keperluan dan kebajikan rakyat sepanjang Malaysia berhadapan dengan krisis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Abdul Hadi berkata untuk PRN Melaka, PN mengetengahkan calon-calon yang berintegriti, prihatin rakyat dan berkebajikan.

“Rakyat Melaka mesti memilih PN bagi membawa perubahan di negeri itu,” katanya.

Rakyat Melaka akan memilih kerajaan baharu melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan esok, setelah dua kerajaan yang memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) – tumbang setelah lebih setahun.

Kerajaan PH pimpinan Adli Zahari memerintah selama 22 bulan sebelum tumbang apabila beberapa wakil rakyat, termasuk daripada DAP, mengisytiharkan keluar parti, menyusul kejatuhan kerajaan PH peringkat Persekutuan dan terbentuknya Kerajaan PN, pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan BN Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali daripada UMNO pula bertahan kira-kira 17 bulan, sebelum dua wakil rakyat UMNO, dan masing-masing seorang dari Bersatu dan Bebas, menarik sokongan terhadapnya, susulan krisis perebutan jawatan Ketua Menteri serta projek bernilai jutaan ringgit.

Kerajaan PN peringkat Persekutuan pula tumbang setelah dikhianati 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menarik balik sokongan diberikan kepada Muhyiddin dan PN.

Keprihatinan Muhyiddin bersama rakan komponen di dalam PN – PAS, STAR, SAPP dan Gerakan – untuk tidak menyusahkan rakyat menghadapi PRU15 tatkala pandemik Covid-19 berleluasa, meleraikan kemelut apabila memberi sokongan kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi Perdana Menteri.

Namun, sepanjang pentadbirannya, terutama dalam berdepan pandemik Covid-19 yang tidak pernah ditangani oleh mana-mana kerajaan Malaysia sebelum ini, PN mengetengahkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, walaupun UMNO dan pembangkang berusaha memburuk-burukkan kepemimpinan Muhyiddin dan PN.

Tiada ulasan: