HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 November 2021

PRU awal, UMNO akan minta PM segerakan: Mat Maslan

 AGENDA DAILY

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Isu berhubung pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) perlu diawalkan akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO memberi bayangan akan mendesak supaya ia diadakan dengan kadar segera.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata UMNO sudah menyatakan pendirian PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum Barisan Nasional (BN) yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Momentum sangat baik ketika ini, kalau lambat takut orang lupa. Kemenangan dua pertiga yang diperoleh BN ketika PRN Melaka pada Sabtu lalu memberi gambaran sokongan padu diterima parti.

“Berhubung PRU-15, ia akan dibincangkan selanjutnya dengan pucuk pimpinan parti sebelum disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai hasrat UMNO,” katanya dipetik laporan BH.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibincangkan dahulu bersama pucuk pimpinan parti sebelum ia disampaikan kepada Perdana Menteri.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN.

Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO dilaporkan sudah menyuarakan pandangan itu kepada Ismail Sabri Sabtu lalu, selepas BN memenangi PRN Melaka.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kemenangan BN pada PRN Melaka disebabkan kombinasi pelbagai faktor.

Beliau berkata, antaranya jentera parti, calon muka baharu, selain faktor bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membantu kempen UMNO dan BN.

“Pada mulanya kita ramalkan dapat menang 18 ke 20 kerusi, tetapi lebih manis capai kemenangan dua pertiga. Ini menunjukkan angin perubahan rakyat dan pengundi yang mahukan kerajaan BN di Melaka.

“Kombinasi pelbagai faktor jadi resipi kemenangan BN. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang jalani rawatan di Jerman turut beberapa kali menghubungi pemimpin, jentera dan calon melalui sidang video, bagi membantu BN,” katanya.

Tiada ulasan: