MENANDATANGANI akuan bersumpah (SD) sahaja tidak memadai untuk menghalang wakil rakyat lompat parti.
Itu kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berhubung keputusan Barisan Nasional (BN) mewajibkan kesemua calonnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menandatangani SD untuk mengelakkan daripada lompat parti.
Menurut Anthony Loke, hanya Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan boleh dikuatkuasakan.
Beliau malah mengatakan, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat sendiri pernah menerima ‘katak politik’ semasa penggal pertama menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
Kata beliau, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau yang menang atas tiket DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) pada tahun 2004 telah lompat ke BN pada tahun 2007.
“Tok Mat, SD itu tak boleh pakai untuk menghalang wakil rakyat lompat parti.
“Yang hanya boleh dikuatkuasakan ialah Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Selepas ini, saya harap semua parti sama-sama menyokong penggubalan Akta Anti Lompat Parti di Parlimen. Biarlah politik ini ada maruah sikit,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam, Tok Mat memaklumkan kesemua 28 calon yang dipilih BN bagi menghadapi PRN Melaka akan menandatangani surat SD bagi mengelakkan tindakan lompat parti selepas memenangi kerusi atas tiket parti tersebut.
Pendirian itu sekali lagi diulangi Mohamad dalam sidang akhbar pengumuman calon hari ini dengan mengatakan tindakan undang-undang yang sesuai akan dikenakan terhadap sesiapa melakukan sedemikian.
“Sesuai dengan tema, buat pertama kali dan hasil komitmen BN untuk pastikan kestabilan politik dicapai supaya kesejahteraan rakyat tidak diperjudikan oleh mainan politik tidak bermaruah.
“Saya berharap komitmen ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat
untuk memilih sebuah parti yang benar-benar komited memastikan
kestabilan dapat dicapai demi kemakmuran Melaka dan kesejahteraan
Malaysia,” jelas beliau.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan