MALAYSIA POST
PAS mengakui sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan telah berjaya menangani dengan baik beberapa langkah kerajaan Pusat yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketegasan PAS telah memberi banyak manfaat kepada umat Islam dan patut dipertahankan kedudukan parti itu di dalam kerajaan.
“Kita juga menyaksikan beberapa tindakan kerajaan Pusat yang pada awalnya menyentuh sensitiviti umat Islam telah ditangani dengan baik disebabkan pegangan serta ketegasan PAS sebagai sebahagian daripada komponen parti yang memerintah.
“Ini membuktikan besarnya manfaat PAS berada dalam pemerintahan Persekutuan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat terbanyak.
“Justeru, kemenangan yang kita sedang uruskan sekarang ini wajib dipertahan dan diisi sebaik-baiknya supaya adil di sisi Allah dan rakyat keseluruhannya,” katanya ketika berucap dalam Muktamar PAS ke-67 di Kuala Terengganu, hari ini.
Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli tidak menyebut isu-isu sensitif yang diperkatakannya itu.
Namun, baru-baru ini, isu arak jenama Timah mengundang kontroversi berhubung nama dan labelnya yang didakwa menghina Islam.
Takiyuddin menambah, keberadaan PAS dalam kerajaan Persekutuan juga memastikan negeri-negeri ditadbir parti itu, yang menurutnya sebelum ini terpinggir kerana perbezaan politik, mula menikmati kemajuan berskala besar.
“Kerajaan Persekutuan yang bertunjangkan kekuatan Melayu-Islam ini telah membuka ruang kepada PAS mengisinya dengan agenda yang selama ini hanya terhad diutarakan melalui usrah, ceramah, kuliah dan program-program dalaman parti,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan