HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 April 2008

Speaker ikut telunjuk eksekutif di parlimen?
Izwan Abdul Halim


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Insiden 'gamat' di Parlimen sepanjang pagi tadi merupakan isyarat jelas bahawa institusi parlimen yang diterajui oleh Speaker harus mempunyai satu kefahaman bahawa parlimen itu diurus tadbir mengikut peraturan-peraturan yang khusus.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata kefahaman yang terang dari kepimpinan parlimen yakni Speaker dan seluruh pentadbirannya terhadap peraturan-peraturan tetap ini sangat penting dalam menentukan kesempurnaan perjalanan persidangan.

"Apa yang ditimbulkan pagi ini adalah menjurus kepada antaranya kegagalan memenuhi syarat notis 14 hari, hingga satu usul dikemukakan," ujarnya yang ditemui di lobi Parlimen semasa waktu rehat persidangan.

Komen beliau itu merujuk kepada tindakan Speaker mengabaikan peraturan-peraturan mesyuarat yang telah ditetapkan dan dibantah oleh Lim Kit Siang (Ipoh Timur).

Saifuddin turut meragui ketelusan pentadbiran parlimen ekoran tindakan yang dilakukan oleh Speaker.

"Usul asal yang dikemukakan Razali Ibrahim dari Muar memenuhi syarat. Tetapi oleh kerana perubahan itu dibuat oleh cabang eksekutif di mana Yang DiPertua Dewan telah menyebut bahawa dia menerima surat daripada Menteri.

"Jadi itu yang saya timbulkan kebebasan institusi parlimen yang jika dipelihara, Speaker boleh sahaja memaklumkan kepada menteri berkenaan yang menghantar surat pada 18 haribulan berhubung pindaan Pulai, yakni Ong Ka Ting yang akan membahaskannya, itu boleh sahaja diselesaikan dengan mudah.

"Tetapi oleh kerana dia menunjukkan dengan terang dan memaklumkan secara terbuka surat dari menteri, jadi itu jelas merupakan satu pelanggaran terhadap kebebasan institusi parlimen dan itulah yang timbul sebenarnya polemik sepanjang pagi," jelasnya.

Menurutnya, pihak pembangkang melalui Ahli Parlimen Ipoh Timur telah memberi jalan keluar terhadap kemelut tersebut dengan cadangan untuk menggantung terlebih dahulu peraturan tersebut.

Terangnya, Speaker juga boleh mengakui kesilapan itu serta mendapatkan persetujuan seluruh anggota persidangan bahawa semasa 'standing order' tersebut digantung, seluruh ahli persidangan boleh untuk tidak terikat dengan mana-mana peraturan tersebut.

"Maknanya seluruh ahli-ahli YB boleh bersetuju dengan peraturan 14 hari itu dikecualikan, itu sahaja," tegasnya.

Tetapi apa yang terjadi menurutnya ialah keengganan yang ditunjukkan oleh Speaker.

Jelasnya lagi, kunci penyelesaian kepada masalah tersebut ialah mengakui satu kelalaian atau ketidakfahaman walaupun tindakan tersebut mungkin sesuatu yang berat pada tafsiran persidangan.

"Tetapi 'point' saya ialah jika institusi yang didokong dan diterajui oleh Speaker memahami susur galur perjalanan dan kedudukan 'standing order' itu, hal ini tidak akan berlaku.

"Tapi kalau ada campurtangan eksekutif dalam perjalanan atau susun atur, itu merupakan masalah. Jadi itulah yang ditentang oleh ahli-ahli YB tadi," ujarnya mengakhiri penjelasan. - mks.
Timb. Speaker: Ini penjelasan Karpal
Oleh Bernama


Kuala Lumpur : Kekeliruan mengenai kertas undi mungkin menyebabkan 17 Anggota Parlimen pembangkang memilih calon Barisan Nasional untuk jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat semalam, kata Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini.

Katanya kertas undi menetapkan mereka mengundi dua calon tetapi sesetengah daripada wakil rakyat tidak sedar bahawa Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan mereka memilih seorang calon saja.

Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) mendapat 157 undi untuk jawatan Timbalan Speaker, mengalahkan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang mendapat 140 undi dan Dr Tan Seng Giar (DAP-Kepong) yang menerima 81 undi.

Dewan Rakyat mempunyai 140 wakil daripada BN dan 82 daripada pembangkang.

Karpal Singh berkata kekeliruan itu juga mungkin disebabkan sesetengah Anggota Parlimen adalah muka baru dan mereka ini kurang faham mengenai proses memilih Timbalan Speaker.

Mengenai identiti satu-satunya wakil rakyat pembangkang yang tidak memilih Dr Tan, beliau berkata pakatan pembangkang mengesyaki seseorang tetapi beliau enggan menamakannya.

Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, yang mengisytihar dirinya seorang Bebas walaupun beliau bertanding atas tiket PAS dalam pilihan raya 8 Mac lepas, berkata satu daripada undi beliau adalah untuk Wan Junaidi.

"Yang satu lagi saya tak dapat nak sahkan," katanya.
"Belum ada MP Pakatan Rakyat yang sedia kosongkan kerusi untuk saya" Anwar
Oleh Bernama


Kuala Lumpur : Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana anggota Pakatan Rakyat yang mahu melepaskan kerusi bagi membolehkannya bertanding dalam pilihan raya kecil.

Beliau bagaimanapun mengaku bahawa secara lisan, beliau ada menerima tawaran beberapa anggota Parlimen dari Pakatan Rakyat yang sudi melepaskan kerusi mereka untuk memberi ruang kepada beliau bertanding sebagai calon PKR.

Katanya tawaran yang diterima lebih kepada cakap mulut dan belum ada perbincangan secara serius diputuskan mengenai perkara itu.

"Saya mahu bertanding, tapi buat masa ni kita tunggu dululah," katanya yang ditemui pada Majlis Makan Malam Anggota Parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Serbaguna Parlimen di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan berkata sebarang keputusan mengenainya akan dimaklumkan kepada pihak media.

Anwar, 57, yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah pada 2004, dilarang bertanding selama empat tahun mengikut undang-undang pilihan raya, dan tempoh larangan itu berakhir pada 14 April lepas.
Setiausaha Politik MB Kedah fail petisyen Dun Belantik
Bashir Ishak


ALOR STAR (Hrkh) - Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohd. Sanusi Md. Nor hari ini memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-12 yang lalu bagi Dun N.23 Belantik.

Petisyen tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Star melalui firma Taulan Rasul & Co. jam 10.30 pagi tadi.

Pada PRU ke-12 pada 8 Mac yang lalu, Mohd. Sanusi sebagai calon PAS tewas kepada calon BN, Mohd. Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.

Tiga nama disenaraikan sebagai defendan dalam petisyen tersebut iaitu Mohd. Tajudin, Suruhanjaya Pilihan raya dan Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Sik.

Mohd Sanusi yang dihubungi menjelaskan terdapat 13 tuntutan yang dikemukakan di dalam petisyen tersebut dan antaranya ialah berkaitan kemasukan 1,031 pengundi pos di Daerah Mengundi Kota Aur yang tidak mengikut peraturan.

Menurutnya, seramai 1,031 pengundi pos tersebut tidak tercatat ketika nama bagi Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku ke 3 tahun 2007 dibuka untuk pameran dan bantahan. Bagaimanapun nama-nama tersebut diwartakan dalam DPT 3 sebagai pengundi pos dan sekaligus digunapakai dalam PRU ke 12.

Peguam Darshan Singh mengetuai pasukan 12 orang peguam yang bakal menghadapi perbicaraan kes ini yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

Hari ini adalah hari terakhir bagi mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan PRU yang lalu untuk memfailkan petisyen. Petisyen dibuat dalam masa 21 hari selepas keputusan PRU diwartakan. Keputusan PRU ke-12 diwartakan pada 8 April lalu. - mks.
Jom Heboh di Perlis, Mufti hantar surat bantahan
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Mufti Perlis, Dato' Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis.

Kata Dr Asri, surat tersebut telah dihantar seminggu yang lalu menyarankan supaya kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut.

"Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan," katanya yang berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut.

"Tetapi jika ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Dalam pada itu beliau menjelaskan bantahan tersebut bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan seperti konsert yang ada antaranya mengajak masyarakat berhibur secara matang dan bukannya menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat.

"Kita suka hiburan yang matang dan bukan bermakna kita 'banned' semua hiburan atau hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata.

"Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang," katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang.

Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja.

Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap agar kerajaan baru ini dapat menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama.

"Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini dan beri peluang untuk mereka menanganinya," katanya.

Sebelum ini Dr Asri turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri bagi melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun.

Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi.

Penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan menyebabkan pesta Songkran sering dianggap sebagai 'Pesta Air' lebih-lebih lagi anak muda akan menggunakan peluang pada hari tersebut untuk menyimbah air kepada rakan-rakan untuk berseronok. - mks.
Sidang Dewan Rakyat panas
Oleh Utusan


Kuala Lumpur: Menepati ramalan, hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini berlangsung dalam suasana panas apabila masing-masing Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang saling teruja untuk bangkit bersuara mengemukakan pelbagai isu sehinggakan sesi soal jawab yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi hanya dimulakan setengah jam kemudian.

Awal-awal lagi anggota veteran pembangkang, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) membangkitkan soal Ahli Parlimen tidak mengangkat tangan kanan semasa upacara angkat sumpah Isnin lalu, sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengeluarkan keputusan mengesahkan pelantikan semua anggota Dewan itu.

Tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat jelas cukup menguji Pandikar apabila beliau terpaksa menghadapi satu demi satu Aturan Mesyuarat (Point of Order) daripada Ahli-ahli Parlimen pembangkang terutamanya yang tidak berpuas hati dengan keputusan beliau untuk tidak membenarkan soalan tambahan kepada soalan pertama daripada Razali Ibrahim (BN-Muar) kepada Perdana Menteri.

``Pada persidangan kali ini saya tidak boleh memberikan soalan tambahan,'' kata Pandikar, sambil memberi alasan masa sudah terlalu lama dihabiskan dengan melayan Aturan Mesyuarat sedangkan yang lebih penting ialah mengemukakan soalan-soalan untuk kepentingan rakyat.

Keputusan Pandikar itu menyebabkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang melenting dan menyifatkannya tidak masuk akal.

``Ini `ridiculous'...Perdana Menteri sudah datang sini. Kalau tidak... tak payah datang pun tak apa,'' katanya.

Ketika ini lebih ramai Ahli-ahli Parlimen bangkit membantah dan ada juga yang menegur Kit Siang sehinggakan timbul kekecohan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kemudian bangun meminta izin Yang Dipertua untuk mendengar satu atau dua soalan tambahan.

Pandikar kemudian membenarkannya menyebabkan ramai yang bangun sebelum beliau memanggil Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan soalan tambahan.
Akaun Balkis tidak diaudit sebelum RM9.9 juta dipindahkan
Oleh NST, The Star


Shah Alam : Juruaudit luar Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) menafikan firma itu pernah dirujuk sebelum pemindahan wang RM9.9 juta seperti dilaporkan.

Akauntan bertauliah syarikat Yee Choon Kong & Co dalam satu kenyataannya berkata, Yang Dipertua Balkis, Datin Seri Zahrah Kechik, dan suaminya, yang juga mantan menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, atau sebarang ahli Balkis tidak pernah merujuk firma itu seperti didakwa dalam laporan The Star kelmarin.

Menurut Yee, firma itu beberapa kali menghubungi bendahari Balkis, Datin Suraimi Sapuan, agar beliau menyerahkan rekod-rekod kewangan seperti penyata bank, buku resit rasmi dan baucar pembayaran untuk membolehkannya mengaudit kewangan tahunan Balkis bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007.

Bagaimanapun, permintaan itu tidak diendahkan oleh Balkis.

Ini bermakna sehingga kini, penyata kewangan Balkis masih kekal tanpa audit dan Yee menegaskan beliau tidak pernah mengesahkan akaun tersebut sebelum dana RM9.9 juta itu dipindahkan.

Zaharah sebelum ini dilaporkan cuba membubarkan badan itu pada 11 Mac.

Balkis juga dilaporkan memindahkan wang RM9.9 juta kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) selepas akaunnya ditutup sehari selepas mesyuarat tergemparnya itu.

Khamis lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri - kini ditadbir Pakatan Rakyat - menghalang badan itu dibubarkan dan notisnya telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Syed Ali letak jawatan dalam BN
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA


KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Cheras berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Syed Ali tidak melepaskan jawatan sebagai Ketua UMNO bahagian itu.

Peletakan jawatan tersebut diumumkan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri semua pemimpin kanan bahagian itu.

Syed Ali, 46, memegang jawatan tersebut selama 10 tahun. Beliau tidak hadir pada sidang akhbar itu.

Mahadi menjelaskan, tindakan Syed Ali itu dilakukan atas rasa tanggungjawabnya terhadap kekalahan teruk di Parlimen Cheras pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

"Peletakan jawatan Syed Ali mendapat persetujuan UMNO Cheras termasuk peringkat akar umbi.

"UMNO Cheras sentiasa memberikan pandangan dan pendapat terhadap perkara-perkara yang perlu dikaji oleh peringkat atasan," katanya.

Menurut Mahadi, peletakan jawatan itu akan dimaklumkan kepada Pengerusi BN Cheras, Tan Sri Yee Hock Seng menerusi sepucuk surat, esok.

"Sehubungan itu, saya cabar 10 daripada 13 Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan untuk bertindak seperti UMNO Cheras bagi menyatakan pandangan mereka terhadap kami.

"Saya juga cabar Pengerusi BN Wilayah Persekutuan untuk bertindak seperti Syed Ali yang melepaskan jawatan kerana atas rasa tanggungjawab terhadap parti," katanya.

Ahad lalu, Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) UMNO Bahagian Cheras mendesak Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique melepaskan jawatan Ketua Perhubungan UMNO dan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan.

UMNO bahagian itu turut mahukan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya memegang kedua-dua jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Zulhasnan dalam reaksinya mengenai perkara itu berkata, beliau tidak memandang serius gesaan itu kerana hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang berhak membuat keputusan mengenai jawatan itu dan bukannya pihak lain.

Mahadi berkata, gesaan meminta Zulhasnan untuk meletakkan jawatan dibuat kerana UMNO Cheras kecewa dengan sikap beliau yang tidak serius memantau kerja-kerja parti dalam Parlimen Cheras.

Beliau menjelaskan, tindakan UMNO Cheras itu bukan kerana ingin melawan arus tetapi berharap pemimpin dapat mengambil tindakan daripada apa yang terjadi selepas pilihan raya baru-baru ini.

"Ahli UMNO yang lain tidak perlu bimbang sekiranya Zulhasnan meletakkan jawatan kerana ia pasti digantikan dengan yang baru hasil pemilihan peringkat atasan," ujarnya.
Perlembagaan Umno benarkan EGM, kata Ku Li


KUALA LUMPUR: Perlembagaan Umno membenarkan bahagian-bahagian parti mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

"Perlembagaan parti membenarkannya. Saya bukan kata ia bertentangan dengan semangat (parti) tetapi jika mahu mengadakan mesyuarat agung, tiada yang dapat menghalangnya. Ia dibenarkan oleh perlembagaan.

"Tetapi sama ada mereka boleh mendapatkan sebanyak mana (bahagian) untuk mengadakan mesyuarat serupa supaya mereka dapat mengadakan perhimpunan agung luar biasa, itu merupakan perkara berbeza," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian sidang pertama Parlimen ke-12 di sini hari ini.

Tengku Razaleigh, yang juga anggota Parlimen Gua Musang, mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam supaya semua bahagian parti berhenti mengadakan EGM untuk membincangkan masalah parti dan menggesa pemimpin meletak jawatan.

Tengku Razaleigh berkata ini akan hanya menggalakkan akar umbi menyuarakan pendapat mereka secara tidak mengikut undang-undang. "Pemimpin menggesa anggota parti berjumpa mereka. Kenapa mereka tidak menggalakkan mereka mengadakan mesyuarat mengikut prosedur yang ditetapkan perlembagaan parti," katanya.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Abdullah berkata daripada mengadakan mesyuarat bagi mendesak peralihan kuasa sebelum pemilihan parti Disember ini, anggota Umno sepatutnya menumpukan kepada perkara berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Lagipun, beliau berkata pucuk pimpinan sudah menerima dan memahami kehendak akar umbi.

Tengku Razaleigh berkata kurangnya mesyuarat dan perundingan akan hanya melemahkan parti.

"Perasaan rakyat tidak dapat dikawal. Jika mahu menjadi stereotaip, dengan itu hanya perlu menulis semuanya dalam sekeping kertas untuk mereka ikuti, ulangi apa yang kita mahu mereka katakan. Tetapi ini sebuah negara merdeka dan semua orang berhak menyuarakan apa yang mereka mahu katakan. Sama ada apa yang mereka katakan itu betul atau tidak, biar rakyat menentukannya," katanya.

Ditanya sama ada banyak bahagian merancang untuk mengadakan EGM, Tengku Razaleigh berkata terdapat mereka yang telah bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat itu.

Bekas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad memberitahu Bernama bahawa mengadakan EGM pada masa ini hanya membazirkan masa kerana perhimpunan agung parti akan diadakan pada Disember.

"Tidak banyak masa yang ada untuk mengadakannya (EGM). Jika mereka mahu lakukan, misalnya, mencadangkan usul untuk memansuhkan sistem kuota, mereka perlukan separuh daripada jumlah bahagian untuk mengadakan EGM. Hanya selepas itu baru boleh mengadakan mesyuarat agung luar biasa.

"Tetapi mesyuarat peringkat cawangan akan bermula tidak lama lagi, pada Julai, jadi tidak ada cukup masa untuk mengadakannya, walaupun ia dibenarkan oleh perlembagaan," katanya.

Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir juga tidak bersetuju dengan gesaan Presiden Umno supaya bahagian parti tidak lagi mengadakan EGM kerana ia merupakan hak anggota parti.

"Saya ingat tidak sesuai untuk Presiden menyatakan EGM tidak diperlukan kerana ini hak ahli di peringkat bahagian untuk memutuskan sama ada EGM itu diperlukan atau tidak," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Mukhriz berkata, jika ada bahagian yang mahu terus mengadakan EGM, mereka tidak patut dihalang.

Katanya beliau berharap ketua-ketua cawangan Umno diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing melalui sesi soal jawab pada perjumpaan dengan presiden parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kalau mereka datang dari seluruh negara berjumpa dengan presiden tetapi jika tidak diberi peluang untuk bercakap, maka saya ingat itu tidak bermakna. Biarlah mereka menyampaikan maklumat dan isi hati mereka secara langsung kepada presiden," katanya. BERNAMA
Gapena diingatkan jangan jadi kuda tunggangan Umno
Sabri Said


BUKIT MERTAJAM (Hrkh) - Novelis terkenal tanah air, Haji Azizi Haji Abdullah mengingatkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) agar jangan jadi 'kuda tunggangan' Umno kononya untuk memaufakatkan orang melayu dalam satu saf bagi menyaingi kaum lain di Malaysia.

Katanya, kenapa isu ini tiba-tiba menjadi satu kewajaran setelah Umno tewas teruk dalam pilihan raya umum lepas.

Ia dilihat tidak lain semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan Umno yang kini terumbang ambing setelah ditolak rakyat termasuk masyarakat Islam sendiri kerana tidak tahan dengan tekanan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Gapena tidak seharusnya menjadi mainan politik Umno untuk tujuan membaik pulih sokongan terhadap parti itu yang telah hilang sokongan rakyat. Tetapi, ia boleh mengerakan kemaufakatan Melayu tanpa melibatkan Umno sebagai tunjang atau peneraju utama," ujarnya ketika ucapan kritikan terhadap program Pra Kongres Permaufakatan Melayu Zon Utara yang diadakan di Hotel Summit, Bukit Mertajam pagi tadi.

Gapena katanya, boleh memainkan peranan lebih luas tanpa mengaitkan Umno kerana parti itu jelas merosakkan amanah orang Melayu sendiri apabila berkuasa dulunya.

Kini, bila keputusan pilihan raya tidak menyebelahi parti itu, seolah ada usaha digerakan oleh kepimpinan negara yang dulunya terlibat dengan rasuah, penyelewengan wang rakyat dan sebagainya untuk memastikan Umno dipulihkan kembali, katanya.

"Dalam erti kata lain, usaha yang dilakukan Gapena seolah-olah membantu Umno yang kini terpinggir ekoran keangkuhan kepimpinan mereka sendiri," terangnya.

Jika hendak merealisasikan juga Kongres Permaufakatan Melayu jangan sekali-kali libatkan kepimpinan Umno yang mempunyai latar belakang yang kotor sebaliknya pilih antara mereka yang bersikap jujur dan amanah dalam perjuangan, katanya lagi.

Seandainya, Gapena gagal untuk mendapatkan mereka yang tidak pentingkan diri sepanjang penglibatan dalam Umno lebih baik usah mencari beban untuk menguruskan permasalahan yang ditimbulkan oleh pemerintah sendiri, sambungnya.

"Kita jangan cari reba (masalah) dalam hal ini untuk bersama golongan yang nyata lupa diri bila berkuasa," ujar beliau lagi.

Sekarang ini sambung Azizi, Umno bagaikan cacing kepanasan bila sering menuding jari sesama sendiri dan menyalahkan berbagai pihak kerana tidak menerangkan dasar kerajaan secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.

Umno di Pulau Pinang contohnya, selalu menang tetapi di manakah hasilnya, katanya.

Kemenangan itu katanya merugikan orang Melayu apabila ia tidak menyelamatkan kedudukan tanah Melayu apabila seluas hampir lima juta hektar pada tahun 1995 kini susut kepada satu juta lebih sahaja.

Di mana matlamat perjuangan Umno untuk membela orang Melayu yang semakin terhimpit di Malaysia, katanya.

"Sekarang ini sapa pun tak mahu angkat tahi sebaliknya dok tanya sapa yang berak atau anak sapa yang melepas di tengah jalan," katanya yang juga penerima Anugerah SEA Write Award.

Program Pra Kongres Permaufakatan Melayu yang diselenggarakan oleh Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (PNP) itu turut memberi peluang berbagai pertubuhan, persatuan atau individu menyampaikan pandangan atau kritikan demi membaiki kedudukan Melayu yang semakin terhakis.

Antara pembentang kertas kerja yang dijemput khas ialah Barisan Badan Perpaduan Melayu, Ustaz Osman Bakar, Presiden TERAS, Haji Azmi Hamid dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Dato' Seri Haji Mohd Yusoff Latiff. - mns
Balkis: Kera dihutan disusukan...
Ahmad Tajdid


Apa sebenarnya yang mendorong Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) dibubarkan jika bukan kerana dendam politik.

Dan jika mentaliti rendah ini sukar difahami, lihat sahaja kes rampasan royalti petroleum Terengganu ketika pentadbiran negeri itu diambil-alih oleh PAS selepas pilihan raya umum 1999.

Tindakan Kerajaan Pusat BN merampas hak royalti petroleum negeri Terengganu berpunca daripada hasutan pemimpin-pemimpin Umno negeri yang mahu melempiaskan dendam politik mereka ekoran tumbangnya pemerintahan BN Terengganu pada 1999.

Ia tidak langsung dibuat atas kepentingan rakyat malah dilakukan dengan tujuan menyukarkan pentadbiran kerajaan baru PAS. Tanpa sumber kewangan yang cukup, Umno Terengganu yakin kerajaan negeri pimpinan PAS tidak akan kekal lama kerana menghadapi masalah kewangan yang serius.

Bagaimanapun, seperti dijelaskan bekas Exco Kerajaan Negeri, Tun Salleh Abbas, langkah berjimat cermat kerajaan negeri pimpinan PAS membolehkannya merentasi halangan tersebut. Malah, kerajaan negeri pimpinan BN yang berjaya merampas kembali Terengganu daripada PAS pada PRU 2004 telah mewarisi lebih RM200 juta wang royalti petroleum yang disimpan kerajaan negeri pimpinan PAS!

Berbalik kepada insiden pembubaran Balkis, kita tidak dapat membayangkan mengapakan sebuah badan kebajikan isteri-isteri wakil rakyat yang bernaung di bawah kerajaan negeri boleh dibubarkan secara senyap-senyap.

Lebih menimbulkan tanda-tanya, wang tabungan Balkis berjumlah RM9 juta dipindahkan pula ke akaun Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri (Bakti) Kerajaan Pusat.

Apakah hak isteri bekas Menteri Besar, Datin Seri Zaharah Kechik untuk berbuat demikian walaupun mendakwa tindakan itu dilaksanakan atas persetujuan dua pertiga ahlinya dalam mesyuarat agung pada 11 Mac lalu.

Pentadbiran kerajaan negeri bertukar tangan pada 9 Mac 2008. Sehubungan itu, usaha Zahrah menggerakkan mesyuarat agung Balkis tiga hari selepas PRU 12 membuktikan bagaimana gundah gulananya Zahrah dan isteri-isteri wakil rakyat BN berhadapan realiti bahawa mereka kini bukan lagi isteri-isteri kepada peneraju kerajaan negeri.

Sebagai isteri-isteri wakil rakyat parti pembangkang, Zahrah dan rakan-rakannya pasti maklum tentang objektif penubuhan Balkis yang diasaskan sejak 20 tahun lalu.

Jika Zahrah dan rakan-rakannya masih dipagari kewarasan, tentu beliau lebih bersedia untuk menyerahkan tampuk jawatannya kepada isteri Menteri Besar yang baru.

Zaharah juga dilapor mempertahankan tindakan mempengerusikan mesyuarat agung Balkis pada 11 Mac lalu kerana ketika itu beliau "masih Yang Dipertua dan masih belum meletakkan jawatan".

Sedangkan dalam kenyataan yang sama beliau menyebut bahawa "sebelum isteri seorang Menteri Besar dilantik menjadi Yang Dipertua Balkis," ia hendaklah disahkan dahulu dalam satu mesyuarat agung serta mendapat persetujuan daripada isteri Menteri Besar itu sendiri iaitu selaras dengan peruntukan Fasal 9.3 (a) Perlembagaan Balkis.

"Saya menegaskan di sini pada tarikh 11 Mac lalu, Menteri Besar Selangor yang baru masih belum dilantik. Oleh itu isterinya juga masih belum boleh dilantik menjadi Yang Dipertua Balkis.

"Ini bermakna saya masih Yang Dipertua Balkis ketika itu kerana saya juga belum meletakkan jawatan. Jadi tidak timbul soal saya tidak mempunyai kuasa mempengerusikan mesyuarat agung untuk membubarkan Balkis ketika itu," kata Zahrah.

Persoalannya, walaupun Zahrah mengetahui bahawa beliau bukan lagi isteri kepada Menteri Besar dan peluangnya untuk menjadi isteri ketua pembangkang Dun Selangor lebih cerah; mengapakah beliau masih mahu memanggil satu mesyuarat agung ketika status dirinya sebagai Yang Dipertua Balkis tidak jelas di sisi perlembagaan badan itu?

Dan sebagaimana amalan biasa dalam sebuah badan berciri demokrasi, Zaharah sepatutnya bertindak sebagai 'caretaker' (penjaga) kepada badan tersebut memandangkan statusnya yang kurang jelas sebagai Yang Dipertua.

Dan sebagai sifat seoang 'caretaker', adalah amat ganjil untuk beliau bertindak memanggil mesyuarat agung, membubarkan badan itu dan seterusnya membuat keputusan mendermakan jutaan ringgit wang persatuan kepada sebuah badan yang tiada kena mengena langsung dengan negeri Selangor dan rakyat Selangor!

Seperti komen Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pembubaran Balkis sememangnya tidak dapat diterima dan difahami terutama oleh penderma-penderma kerana ia tidak mengambil kira tata susila pertubuhan itu.

Zahrah juga dilaporkan berkata bahawa tindakan memindahkan baki wang Balkis berjumlah RM9.9 juta kepada Bakti adalah selaras dengan peruntukan Fasal 15 (2) Perlembagaan Balkis iaitu segala baki wang yang ada akan didermakan kepada kerajaan atau tabung lain yang serupa yang diluluskan oleh Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Soalnya, tidak adakah badan-badan kebajikan lain di Selangor yang boleh disalurkan sumbangan itu memandangkan Bakti pastinya lebih kukuh kewangannya berbanding badan kebajikan negeri kerana dianggotai isteri-isteri Menteri Kabinet Kerajaan Pusat.

Mengapakah sikap 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan' diamalkan Balkis jika bukan kerana dendam politik.

Dan adakah tindakan menyalurkan wang ke akaun Bakti itu telah diluluskan Pengarah Hasil Dalam Negeri?

Tindakan Balkis pimpinan Zahrah ini secara jelas mengetepikan kepentingan negeri dan rakyat Selangor dan dibuat tanpa sebarang kewarasan dan rasional akal.

Sehubungan itu, rakyat Selangor khususnya pasti menyokong kenyataan Abdul Khalid untuk menyeret Zahrah ke muka pengadilan atas dakwaan pecah amanah.

Abdul Khalid juga memberi kata dua kepada Zaharah sama ada menarik balik pembubaran Balkis atau menghadapi tindakan undang-undang kerana beliau telah dimaklumkan oleh Majlis Peguam bahawa pembubaran dan pemindahan dana Balkis boleh dikaitkan dengan tindakan pecah amanah.

Kita mahu kerajaan negeri bertegas dalam isu ini memandangkan pasti wujud tangan-tangan ghaib yang mendorong Zahrah dan rakan-rakannya untuk bertindak sedemikian.

Insiden ini juga menggambarkan bagaimana keegoan, ketamakan kuasa dan dendam politik sudah semakin membarah dalam Umno sehingga menghinggapi isteri-isteri pemimpin parti itu.

Saranan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo supaya kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan isu ini merujuk kepada peguam pertubuhan itu tidak wajar dilayan.

Penyeleweng dan pelaku pecah amanah perlu diajar dan dibawa ke muka pengadilan. Tidak kiralah sama ada ia isteri atau teman hidup mana-mana bekas Menteri Besar.
Pusat perlu akui silap sekat peruntukan pembangunan ke Kelantan – MB
Md Hakimi


KOTA BHARU (Hrkh) - Sesuai dengan keghairahan pemimpin-pemimpin Umno memohon maaf di atas kesilapan lampau, maka perkara serupa perlu juga dilakukan terhadap kerajaan Kelantan.

Malah mereka perlu mengakui kesilapan menyekatkan hak Kelantan mendapat peruntukan terutamanya berkaitan pembangunan yang berlaku sejak 18 tahun lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dilihat kepada ghairahnya pemimpin Umno memohon maaf, maka perkara yang serupa juga wajar dilakukan terhadap negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

“Sekarang masa paling sesuai bagi mengembalikan semangat demokrasi berparlimen memandangkan sejak kebelakangan ini ramai pemimpin BN memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan-kesilapan dan penyelewengan yang pernah dilakukan mereka.

“Begitu juga dalam kes pemecatan hakim-hakim kanan yang berlaku lebih 20 tahun lalu.
Sebagai tanda bersalah kerajaan pusat membayar sejumlah pempasan kewangan kepada hakim yang dipecat ketika itu.

“Sangat wajar sekiranya permohonan maaf turut dibuat kerajaan pusat terhadap kerajaan dan rakyat Kelantan kerana sejak sekian lama peruntukan pembangunan dinafikan.

“Saya selaku Menteri Besar akan mengutuskan surat rasmi kepada Perdana Menteri supaya mengembalikan semula peruntukan pembangunan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri,” katanya selepas majlis angkat sumpah Adun di Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini.

Ekoran kemerosotan teruk prestasi pada pilihan raya umum lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mahu kerajaan BN memohon maaf di atas kesilapan memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan mencampuri urusan badan kehakiman.

Menurut senator tersebut tindakan pemecatan itu memalukan negara apabila dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia.

Manakala dalam kes lain Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon maaf secara terbuka dalam isu keris Panca Warisan yang sering dijulang setiap kali perhimpunan agung Umno diadakan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, kalau kerajaan pusat boleh membayar kepada hakim-hakim dan mengaku kesilapan besar memecat mereka, maka perkara yang serupa perlu dilakukan terhadap Kelantan.

“Kalau hakim dibayar pampasan, kerajaan Terengganu juga menuntut kembali royalti petroleum maka kerajaan Kelantan juga mempunyai hak serupa,” kata beliau.

Malah tegas beliau kerajaan pusat sepatutnya menyalur kembali peruntukan dan bantuan yang menjadi hak kerajaan negeri, sesuai dengan semangat kerjasama antara negeri dengan Persekutuan sebagaimana dijamin perlembagaan.

Menurutnya kerajaan negeri di bawah BN menerima terus peruntukan pembangunan termasuk pembinaan perumahan awam kos rendah, namun ia tidak berlaku di Kelantan sejak lebih 18 tahun lalu semata-mata kerana diperintah PAS.

“Sedangkan Kelantan juga sebahagian daripada Malaysia dan kerajaan negeri yang ada sekarang sebuah kerajaan sah dipilih rakyat melalui sistem demokrasi yang sama-sama kita dokongi,” ujarnya.

Selain itu kata beliau kerajaan Pusat pimpinan Umno perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam terutamanya di Malaysia kerana melakukan kesilapan besar sepanjang tempoh 50 tahun lalu apabila tidak menjadikan Islam sebagai dasar dalam pemerintahan negara.

Menteri Besar juga melahirkan rasa syukur dan gembira di atas perubahan minda rakyat sehingga membawa kepada kemenangan besar parti-parti Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum, baru-baru ini.

“Kemenangan pembangkang dalam pilihan raya umum baru-baru ini sebenarnya melibatkan perubahan pemikiran rakyat yang yakin terhadap kemampuan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP.

“Perubahan jelas berlaku di kalangan rakyat bukan Islam di mana mereka boleh menerima dan yakin dengan kepemimpinan PAS,” kata beliau. - mj

Selasa, 29 April 2008

P'bangkang diketepi sesi soalan Parlimen
Jimadie Shah Othman

PKR tidak berpuas hati sesi soalan Dewan Rakyat yang membelakangkan ahli-ahli parlimen pembangkang, kata naib presidennya Mohd Azmin Ali.

"Saya sangat sedih apabila saya melihat senarai soalan yang ditetapkan oleh parlimen. Sangat sedikit soalan yang dihantar oleh (wakil-wakil) Pakatan Rakyat diberi keutamaan dalam urutan soalan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

"Jika anda melihat pada jumlah (perwakilan), kita (Pakatan) ada 82 ahli parlimen berbanding BN hanya ada 77 (ahli parlimen penyokong kerajaan).

"Melihatkan kepada nisbah ini, kita patut ada 52 peratus. Dan BN hanya 48 peratus. Jadi kalau mereka boleh uruskan sepuluh soalan, maksudnya kita patut dapat sekurang-kurangnya enam (soalan), berbanding mereka empat."

Mohd Azmin, yang juga ahli parlimen Gombak, berkata wakil-wakil rakyat Pakatan diberikan sedikit sahaja peluang bertanyakan soalan.

"Sekarang saya melihat, daripada 10 soalan, kami hanya diberi dua. Ini tidak adil," katanya Jumaat lalu.

"Kedua, mereka patut beri keutamaan pada ketua pembangkang. Soalan pertama pada hari itu patut diberikan kepada ketua pembangkang dan ini tidak dilakukan. Saya rasa pada, soalan daripada Dr Wan Azizah (Wan Azizah) (berada di) nombor ketiga. Jadi ini tidak adil."

Beliau mendakwa wakil-wakil pembangkang "tiada kebebasan" menentukan susun atur soalan dalam prosiding dewan kali ini.

"Saya tidak tahu apa peranan (Datuk Seri) Nazri (Aziz) dalam memutuskan urutan soalan. Tetapi saya rasa speaker Dewan Rakyat patut memmainkan lebih peranan untuk memastikan kita melindungi kebebasan parlimen," katanya.

Ditanya fokus dan isu yang akan dibangkitkannya sebagai anggota baru di Dewan Rakyat, Mohd Azmin berkata beliau ingin memperjuangkan kemandirian parlimen seperti masyarakat kebelakangan ini mendesak kebebasan badan kehakiman atau Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

"Saya harap saya ingin lihat sesi kali ini lebih hidup. (Dengan 82 wakil pembangkang), orang ramai dan rakyat ingin melihat debat positif. Tiada orang bercakap tentang kebebasan parlimen.

"Keutamaan saya sekarang adalah untuk memastikan sesi akan datang ini, kita mahu institusi ini menjadi institusi yang bebas.

"Jadi saya tidak rasa (perdana menteri Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) patut terus melantik menteri mengendalikan hal-ehwal parlimen di bawah Datuk Nazri kerana menteri tidak patut terlibat mencampuri pengurusan institusi ini supaya ia kekal bebas," katanya.

Beliau berharap wakil-wakil rakyat BN akan menyokong usahanya dalam kempen kebebasan badan penggubal undang-undang itu.

"Kalau mereka percaya pada demokrasi, pada kebebasan parlimen, mereka patut sokong langkah kita. Kita lihat (nanti)," katanya.

"Saya berharap mereka ada keberanian membangkitkan (isu ini) dan memulihkan keseluruhan sistem. Mereka patut mengambil pelajaran daripada kekalahan mereka dalam pilihan raya umum yang lepas. Dan persidangan kali ini, semua orang melihat dengan dekat perkembangan debat di parlimen."

Untuk mencapai langkah menguatkan usaha-usaha ini dan juga PKR, Mohd Azmin berkata parti itu telah menubuhkan urusetia parti itu, termasuk membeli sebuah bangunan baru 10 tingkat di Tropicana, Damansara.

"Kita akan berpindah dalam masa dua minggu lagi. Sebuah bangunan yang sudah siap, boleh menampung keperluan kita. Ini akan menjadi ibu pejabat parti, Angkatan Muda dan Wanita. Semua (pentadbiran) akan berpusat di sini," jelasnya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan harga bangunan itu dan sumber dana yang diperolehi PKR untuk membeli aset tersebut.

Mengulas sumber dana PKR untuk membiayai wang cagaran dan perbelanjaan kempen semua calonnya, beliau berkata semua wang diperolehi daripada sumbangan dalam negeri dan derma orang ramai.

"Kami bukan parti kaya seperti Umno dan BN tetapi kami ada sumber yang cukup. Mereka datang, mereka menyumbang, bukan hanya menjadi aktivis dan pekerja parti tetapi juga datang menyokong secara kewangan tetapi bukan duit untuk individu tertentu tetapi mereka menyokong kos (pilihanraya) kerana mereka mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti meneruskan agenda reformasi," katanya.

Beliau juga menafikan PKR membiayai kempen calon-calonnya walaupun mengakui menyedikan wang cagaran kepada mereka.
Menara kecemasan TNB tumbang, seorang maut dan empat cedera


KUALA LUMPUR: Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) meninggal dunia dan empat lagi cedera apabila menara kecemasan sementara (ERS) yang terletak antara Kayu Madang dan Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu tumbang, pagi tadi.

TNB dalam kenyataannya hari ini, berkata kemalangan itu berlaku pada pukul 10.30 pagi ketika semua pekerja terbabit sedang menjalankan ujian di menara itu setelah menamatkan pemasangan talian penghantaran 132kV yang baru dibaiki.

"Ketika ujian sedang dijalankan, salah satu kabel penyokong telah tercabut dan menyebabkan menara ERS menjadi tidak stabil sebelum tiga lagi kabel penyokong turut tercabut.

"Ini menyebabkan ERS tumbang dan kemalangan berlaku. Tiga daripada yang cedera kini dirawat di Hospital Likas, Kota Kinabalu dan seorang lagi yang dalam keadaan kritikal dirawat di Hospital Queen Elizabeth juga di Kota Kinabalu," katanya.

Menurut kenyataan itu seramai 30 pekerja daripada pasukan tindakan kecemasan TNB telah berada di tapak berkenaan sejak Rabu lalu untuk membaiki menara talian penghantaran yang tumbang pada 21 April lepas. BERNAMA
Pengarah JAIP diarah bertukar oleh Menteri Besar


SITIAWAN: Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury hari ini diarah bertukar dalam tempoh 24 jam oleh kerajaan campuran negeri Perak kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dikatakan telah diminta keluar dari pejabatnya oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pagi tadi.

Seorang anggota Dewan Undangan Negeri yang mengesahkan perkara itu berkata Jamry telah dihubungi menerusi telefon oleh Mohammad Nizar untuk berbuat demikian tanpa diberi peluang menjelaskan apaapa bagi membela dirinya.

Tidak pula diberitahu ke pejabat mana Jamry ditukarkan.

Sementara itu, Jamry ketika dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut dan memaklumkan bahawa beliau akan mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah petang ini di Istana Kinta di Ipoh.

"Setakat ini saya diminta supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara itu. Kemungkinan saya akan mengeluarkan kenyataan mengenainya selepas mengadap Sultan petang ini," katanya. BERNAMA
Jangan salahkan MIC, kata MIC kepada Khir


PUTRAJAYA: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu meminta bekas Mentetri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berhenti membuat tuduhan tidak berasas berhubung kekalahan Barisan nasional di negeri itu dalam pilihan raya umum lepas.

"Beliau berkata saya telah memberi persetujuan agar kuil (di Kampung Rimba Jaya dekat Shah Alam) dirobohkan pada 15 Nov. Saya ingin jelaskan bahawa kuil itu telah pun dirobohkan pada pertengahan Oktober.

"Kenapa beliau tidak sebut sayalah orangnya yang merayu kepada beliau dan Perdana Menteri supaya menghentikan rancangan asal untuk merobohkan kuil itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam satu temubual dengan Malaysiakini, satu laman web berita dalam internet, Dr Khir mendakwa kononnya Samy Vellu mengarahkan beliau untuk merobohkan kuil itu kerana ia digunakan sebagai tempat perhimpunan penyokong Hindraf.

Menurut laman web itu, Dr Khir berkata Samy Vellu menelefonnya pada malam 15 Nov dan memberitahunya bahawa penyokong Hindraf telah menyusup masuk ke kuil itu dan ia perlu dirobohkan malam itu juga.

"Tetapi kuil itu telahpun dirobohkan dan patung-patungnya dipindahkan pada akhir Oktober. Apa lagi nak dirobohkan, dan kenapa pula saya harus minta supaya sebuah kuil yang sudah dirobohkan, dirobohkan lagi," kata Samy Vellu.

Beliau berharap Dr Khir akan berhenti mencari alasan bagi kekalahan BN di Selangor.

"Permintaan saya kepada beliau ialah supaya berhenti bercakap mengenai semua ini. Marilah kita kukuhkan kembali BN," katanya. BERNAMA
Majlis angkat sumpah Dun Perak dicemari perang mulut
Ekmal Yusof


IPOH (Hrkh) - Majlis angkat sumpah serta menandatangani surat sumpah jawatan oleh 59 orang Adun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dekat sini semalam dicemari perang mulut di antara Adun Pakatan Rakyat dengan Adun Barisan Nasional (BN).

Perang mulut berlaku selama kira-kira satu jam itu hampir mengeruhkan istiadat angkat sumpah tersebut, namun ia berjaya diatasi dengan penuh sopan santun serta bijaksana oleh Setiausaha Dewan Negeri, Abdullah Bin Antong Sabri.

Insiden bermula apabila BN mencadangkan Dato' Junus Wahid sebagai Yang Dipertua Dewan, tetapi ia telah dibantah oleh Pakatan Rakyat kerana ketika usul itu dibuat bekas Yang Dipertua Dewan itu tidak ada di dalam Dewan.

Kejadian bertikam lidah tersebut berterusan hampir satu jam. Setelah itu timbul kekecohan mengenai cara pengundian hendak dibuat, sama ada ada cara angkat tangan cara terbuka atau undi sulit.

Atas cadangan Setiausaha Dewan Negeri akhirnya Dewan sebulat suara bersetuju menggunakan cara undi sulit dan dikira kemudianya oleh Setiausaha Dewan Negeri di hadapan semua Adun bagi memilih Yang Dipertua Dewan Negeri.

Setelah pengiraan dibuat, Adun Tronoh (DAP) V Sivakumar a/l Varatharaju dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan, sementara Adun Jelapang (DAP) Hee Yit Foong (DAP) dipilih menjadi timbalannya.

Lantikan Yang Dipertua daripada kaum India itu adalah sejarah pertama di Dun Perak dan pelantikan timbalannya pula merupakan julong kali dari kalangan wanita.

Setelah kedua mereka menjalankan istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah tersebut, Setiausaha Dewan Negeri telah mengumumkan giliran Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melakukan angkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan.

Kemudian ia diikuti barisan seramai Adun Pakatan Rakyat serta disempurnakan seterusnya oleh Adun BN yang diketuai bekas Menteri Besar, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali.

Majlis istiadat tersebut yang mencatat penuh sejarah itu berlangsung selama tiga jam dan tamat pada jam 6 petang semalam. - mns
Pulau Pinang mahu terus bincang projek RMK9 dengan kerajaan pusat


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu terus berbincang dengan kerajaan pusat berhubung pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), termasuk projek monorel.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata setakat ini beliau tidak pasti berhubung status projek di bawah RMK9 di negeri itu sama ada diteruskan atau dilewatkan.

Beliau akan mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada kerajaan pusat, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

"Itulah sebab lebih baik kita bersemuka dan berjumpa (kerajaan negeri dengan kerajaan pusat). Saya rasa lebih baik ada interaksi secara langsung, (berikutan) adanya laporan yang tidak berapa tepat dalam media," katanya ketika ditanya mengenai projek di bawah RMK9 yang melibatkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Lim juga berkata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah memaklumkan kepada beliau hari ini bahawa laporan media tempatan minggu lepas yang menyatakan cadangan projek Sistem Light Monorail Transit di negeri Pulau Pinang telah ditangguhkan adalah tidak benar

"Saya difahamkan oleh beliau (Nor Mohamed), itu bukanlah seperti yang dilaporkan oleh media kerana ada dua akhbar, ada dua laporan yang berbeza. Mana laporan nak kita percaya, saya lebih percaya kepada laporan yang lebih positif," katanya.

Lim menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memberikan kerjasama dan sokongan yang penuh terhadap apa-apa juga projek yang boleh memanfaatkan rakyat di negeri itu.

Sementara itu, Lim juga menafikan kenyataan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bahawa kerajaan negeri telah memberikan kontrak monorel itu kepada syarikat Melewar Group.

"Kami hanya menerima dan melihat cadangan itu. Saya ingat satu dua minggu lagi, kita akan menunggu taklimat yang diberikan oleh Malaysian Reources Corporation Bhd (MRCB).

"Kerajaan negeri belum membuat apaapa keputusan lagi, kalau ada apaapa keputusan atau kontrak yang nak ditawarkan, kita akan buat secara `open tender' (tender terbuka) dan bukan seperti yang dinyatakan oleh beliau bahawa kita dah putuskan dan buat `open tender'," katanya. BERNAMA
Kelantan tuntut kerajaan pusat pohon maaf, bayar pampasan


KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berpendapat kerajaan pusat sepatutnya menyalurkan bantuan tertentu kepada negeri itu mengikut amalan sistem demokrasi dan oleh itu harus memohon maaf dan membayar pampasan atas kegagalan berbuat demikian, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini.

Katanya, sejak PAS memerintah negeri itu selepas pilihan raya umum 1990, kerajaan pusat gagal menyalurkan peruntukan untuk program perumahan kos rendah dan bantuan kelengkapan peralatan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Terengganu sekarang ini pun minta kembali royalti minyak negeri itu. Kita ada hak untuk minta (peruntukan dan bantuan) kerana ia bayaran yang sepatutnya kami terima.

"Negeri lain dapat, kenapa Kelantan tidak dapat, sedangkan ini negara demokrasi," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, beliau membuat desakan itu memandangkan kerajaan pusat kini sudah sedar dengan kesilapan-kesilapan lampau dan sanggup membuat permohonan maaf.

Katanya ini termasuk kesediaan kerajaan pusat pimpinan Umno baru-baru ini memutuskan untuk membuat bayaran exgratia kepada bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas dan beberapa hakim lain yang dipecat berikutan krisis kehakiman pada 1988. BERNAMA
Cadangan maklum keluarga untuk peluk Islam tidak perlu


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil kali ke-18 hari ini sebulat suara berpendapat tidak perlu bagi seseorang individu yang ingin memeluk Islam memaklumkan hasratnya itu terlebih dahulu kepada keluarga mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dalam kenyataannya hari ini berkata tiada nas yang mensyaratkan supaya pemakluman kepada keluarga dibuat sebelum seseorang itu memeluk agama Islam.

"Peruntukan undang-undang sedia ada mengenai kemasukan Islam dan perkara berkaitan dengannya adalah mencukupi dan amalan sedia ada diteruskan. Kaedah pendaftaran, penjagaan dan pengajaran mualaf perlu digubal dengan mantap dan berkesan.

"Berdasarkan Hukum Syarak juga, kewajipan dan tanggungjawab terhadap ibu dan bapa yang tidak memeluk agama Islam adalah tidak terhenti meskipun seseorang itu telah memeluk Islam," kata Wan Mohamad yang mempengerusikan persidangan tersebut, di sini, hari ini.

Katanya, ahli-ahli persidangan yang terdiri daripada Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Mufti-mufti Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Hakim Syarie Negeri serta Pengarah Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri-negeri juga berpendapat bahawa pemakluman ini perlu diserahkan kepada kebijaksanaan orang yang ingin memeluk Islam.

Langkah itu bertujuan memberikan ruang kepada individu yang memeluk agama Islam menentukan cara dan masa yang sesuai untuk memaklumkan kepada keluarga masing-masing.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan bercadang melaksanakan peraturan mewajibkan orang bukan Islam yang ingin memeluk Islam memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai status agama mereka.

Perdana Menteri berkata langkah itu bertujuan mengelak berbangkitnya masalah apabila mereka yang telah memeluk Islam itu meninggal dunia kelak.

Dengan adanya peraturan baru itu, kata beliau, orang bukan Islam yang memeluk Islam perlu mempunyai dokumen yang menunjukkan keluarganya telah dimaklumkan mengenai agama barunya. BERNAMA
KENYATAAN MEDIA

Tindakan menteri benarkan rakyat Israel masuk Malaysia dibantah keras


Kami membantah dengan keras keputusan Menteri Dalam Negeri untuk membenarkan rakyat Israel dalam pasukan bolasepak Chelsea masuk ke Malaysia atasan alasan sukan dan politik tidak bercampur.

Ini adalah suatu pendirian yang tidak konsisten yang jelas ditunjukkan oleh kerajaan padahal Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sejak kemerdekaan negara ini lagi.

Petisyen bantahan oleh 21 NGO yang telah dihantar kepada KDN Jumaat lalu ( 25 hb April 2008 ) di Putrajaya telah menunjukkan dengan jelas kezaliman dan perlanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin.

Oleh itu alasan Menteri KDN bahawa sukan tidak bercampur dengan politik adalah pendirian yang sangat mengecewakan dan tidak sepatutnya datang dari bekas Menteri Luar Negara yang tahu kedudukan dan penderitaan rakyat Palestin.

Jika hujah ini dipakai bahawa sukan dan politik tidak bercampur maka apakah budaya , hubungan diplomasi , perdagangan , pendidikan dan pertahanan serta perjanjian antarabangsa juga tidak bercampur dengan politik.

Adalah keterlaluan untuk membuat keputusan tersebut selepas Malaysia selama ini dikenali bersikap tegas ke atas Israel dan perjuangan Palestin.

Menteri KDN itu tidak sepatutnya berpendirian sedemikian rendah sehingga mengutamakan permaianan bolasepak di atas nasib dan nyawa serta penderitaan rakyat Palestin.

TERAS membantah dengan keras kebenaran KDN untuk rakyat Israel itu masuk ke Malaysia dan mendesak supaya kebenaran itu ditarik balik.

Mohd Azmi Abdul Hamid
President TERAS
BERITA TERKINI
Ketua Pemuda MIC Kota Raja mati disamun
Oleh ABDUL YAZID ALIAS


SHAH ALAM – Ketua Pemuda MIC Bahagian Kota Raja, S. Selvadhurai, 42, ditemui mati dipercayai dibelasah oleh sekumpulan penjenayah dalam kejadian samun di Seksyen 25, Taman Seri Muda, di sini malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa yang difahamkan bekerja sebagai ejen insurans baru mengeluarkan wang daripada mesin ATM di sebuah bank berhampiran pejabat isterinya di kawasan itu.

Ketua Pemuda MIC Pusat, S. A. Vigneswaran, ketika dihubungi malam ini, mengesahkan mangsa tersebut ialah Selvadhurai.

Ketika kejadian, mangsa yang ditemani isterinya pergi ke bank itu untuk mengeluarkan wang sebelum ke pejabat isterinya selepas itu.

Utusan Malaysia difahamkan, sekumpulan penjenayah mengekori pasangan itu apabila kedua-dua mereka meninggalkan bank tersebut.

Mangsa kemudiannya dibelasah penjenayah terbabit, manakala isterinya sempat melarikan diri dan meminta bantuan orang ramai yang berada di situ.

Bagaimanapun, mangsa yang dibelasah teruk ditemui sudah meninggal dunia oleh orang ramai dengan kesan kecederaan di muka selain dipercayai dijerut.

Penjenayah pula dipercayai melarikan diri dengan menggunakan kenderaan yang diletakkan tidak jauh dari situ.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan jumlah wang tunai yang disamun, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Nor Azam Jamaluddin yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan, polis menerima laporan sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam dan siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki.

“Gerakan memburu penjenayah sudah dijalankan.” katanya ketika dihubungi malam ini.
Hindraf:Ini kata Syed Hamid…


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar membayangkan kerajaan tidak akan layan desakan supaya membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan dibawah ISA.

Katanya orangramai harus lihat dulu pada apa yang telah mereka lakukan.

"Kita tidak boleh menunggu sesuatu perkara buruk dan keganasan berlaku. Sebab itulah kita adakan akta ini. Yang penting bagi sesebuah negara itu ialah keselamatan dan kestabilan negara demi rakyat perlulah diutamakan," katanya.

Selain pembangkang dan beberapa pertubuhan,Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu turut meminta kerajaan membebaskan mereka yang ditahan tiak lama lepas perhimpunan haram anjuran Hindraf di Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Bercakap kepada para wartawan di Kota Tinggi Sabtu beliau juga menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan dalam negeri (ISA) demi menjamin kestabilan dan keselamatan negara.

Menurut Syed Hamid akta ini ditubuhkan untuk mengelakkan sesuatu perkara yang boleh mengancam kestabilan, keselamatan dan kemakmuran negara yang pelbagai kaum ini.

"Banyak perkara buruk boleh berlaku jika akta ini dimansuhkan kerana ia berkait rapat dengan sensitiviti kaum dan agama di mana individu atau pihak tertentu akan ditangkap kerana telah melanggar undang-undang.

"Contohnya Hindraf dan Jemaah Islamiah. Kita tidak suka ambil tindakan terhadap sesiapa, tetapi bila keadaan memaksa, kita terpaksa menangkap mereka demi keselamatan orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menghapuskan kedua-dua akta ini jika beliau menjadi Perdana Menteri.

Menteri itu berkata adalah mudah bagi pembangkang menabur janji dari melaksanakannya.

Syed Hamid berkata rakyat memang mempunyai hak untuk untuk menyuarakan pandangan atau ketidakpuasan hati mereka terhadap sesuatu perkara, tetapi ia perlu dibuat melalui cara yang betul yang tidak bertentangan dengan undang-undang.
Melayu bersatu hanya di perut!
Hishamuddin Rais


Slogan 'Melayu Bersatu' semakin bising dan hingar-bingar kedengaran. Apa sebenarnya makna dan tanda slogan ini? Pada hakikatnya slogan 'Melayu Bersatu' tidak memiliki apa-apa makna - ia hanyalah slogan dan laungan yang kosong, sifar, zero dan zilch.

Slogan Melayu bersatu ini samalah tarafnya dengan agenda Melayu dan agenda ketuanan Melayu.

Kalau perkataan b-o-t-o-l keluar dari mulut, maka kita dapat mengenali dan memahami benda itu. Kalau bunyi t-e-l-o-r yang keluar, maka kita dapat membayangkan benda itu.

Tetapi M-e-l-a-y-u B-e-r-s-a-t-u apakah bendanya yang dapat kita fahami daripada bunyi ini? Kalau slogan ini satu konsep, ia wajib memiliki asas.

Konsep ialah perkataan yang memiliki makna tetapi tidak dapat dipegang dan dilihat (kecuali dalam akal). Konsep bukan botol. Konsep seperti berbudi bahasa, kita dapat menggambarkan makna dan kelakuan – berbudi bahasa - yang dicakupi oleh konsep ini.

Melayu Bersatu pasti bukan konsep. Melayu Bersatu hanyalah suatu ilusi, suatu mimpi, suatu khayalan, suatu angan-angan dan suatu karut yang terlalu carut. Kalau melihat kerja ilusi David Copperfield, dapatlah juga kita dihairankannya dan ditakjubkannya.

Slogan Melayu Bersatu tidak menghairankan langsung. Tidak ada yang menakjubkan. Hanya, kita berkemungkinan dapat terhibur dengan kumpulan-kumpulan lawak yang datang bersama sosok-sosok yang sedang mengheboh-hebohkan slogan ini.

Melayu Bersatu bukan konsep kerana ia tidak memiliki asas. Ia menjadi karut lagi carut kerana Melayu tidak pernah bersatu. Melayu tidak bersatu. Dan Melayu tidak akan bersatu. Melayu Bersatu hanyalah satu cerita dongeng yang sengaja dijaja oleh United Malays National Organisation.

Manusia bersatu bukan kerana bahasa. Manusia bersatu bukan kerana agama. Manusia bersatu bukan kerana warna kulit. Manusia bersatu bukan kerana negara. Manusia bersatu kerana kepentingan ekonomi.

Kenapa susah sangat perkara ini difahami?

Memang betul, pada awalnya manusia akan berkumpul dengan orang-orang yang sama bahasa, yang sama kulit, yang sama setempat atau sama agama. Perkumpulan ini menjadi asas awal untuk mereka mengenali dan berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Apa tujuan mereka berkumpul? Mereka berkumpul untuk mencari makan. Mencari makan adalah asas ekonomi.

Kenapa susah sangat perkara ini difahami?

Ekonomilah yang menjadi asas untuk manusia berkumpul, berpasukan, berpersatuan, berparti atau bernegara. Manusia juga bertengkar, bertelagah, bergaduh dan berperang kerana ekonomi.

Punca ekonomi ialah hakikat sejarah perjalanan tamadun manusia dari semenjak manusia mula merangkak, bangun, berjalan dan meninggalkan gua-gua batu di Kenya hingga ke hari ini. Sejarah manusia ialah sejarah mencari dan merebut peluang punca-punca ekonomi.

Kenapa susah sangat perkara ini difahami?

Orang Portugis, orang Belanda dan British datang ke Tanah Melayu dahulu bukan kerana gian hendak makan petai atau tempoyak. Mereka datang untuk mendapatkan bijih, emas, rempah-rampai yang boleh mereka bawa pulang ke Eropah. Barang ini untuk diniagakan. Untuk mendapat untung - ini ekonomi.

George W Bush menyerang Iraq bukan kerana hendak melawat Makam Abu Nawas di Baghdad tetapi untuk mengambil telaga dan loji-loji minyak. Serangan ini perebutan punca ekonomi.

Kalau masih ada yang tidak yakin bahawa seluruh hidup dan tamadun manusia hari ini berpunca daripada ekonomi, maka cuba tanya diri sendiri - kenapa selalu sangat timbul cakap-cakap tentang orang Cina di Malaysia lebih kaya daripada orang Melayu.

Atau orang India di Malaysia lebih banyak yang menjadi doktor dan peguam. Atau bangunan di bandar dan di pekan Malaysia majoritinya dimiliki oleh orang Cina.

Semua kenyataan ini sering dianggap dan dilihat sebagai kenyataan ‘politik’ tetapi asas kenyataan ini ialah perebutan ekonomi.

Semua parti politik yang wujud dalam dunia ini ditubuhkan untuk tujuan ekonomi. Individu-individu berkumpul dan berpayung di bawah parti politik kerana mahu mendapat dan memiliki sumber-sumber ekonomi.

Parti-parti politik mungkin berselindung di belakang warna kulit, di belakang bahasa atau di belakang agama. Semua ini bohong!

Bahasa, warna kulit dan agama tidak dapat membeli beras. Yang dapat membeli beras hanyalah duit. Duit ialah ekonomi.

Bahasa, bangsa dan warna kulit digunakan kerana senang untuk dijadikan asas awal untuk berkumpul dan berpersatuan.

Agama? Agama digunakan sebagai asas parti politik kerana ia senang untuk dijadikan payung luas untuk berkumpul.

Yahwe, Buddha, Jesus atau Allah direkrut oleh parti-parti yang berasaskan agama bukan bermakna parti itu suci dan dapat berurus secara peribadi dengan Yang Maha Esa. Yahwe, Buddha, Jesus atau Allah tidak pernah mengiakan atau memberi endorsement kepada iklan parti-parti politik ini.

Nama-nama tuhan ini digunakan bertujuan merebut peluang ekonomi.
Yang membuat dasar parti politik ini bukan Yang Maha Esa tetapi manusia dan ahli-ahli parti politik. Yang Maha Esa tidak pernah mengiakan atau menidakkan manifesto dan program parti-parti ini.

Justeru, bolehkah Melayu bersatu? Jawabnya, tidak mungkin malah mustahil. Kemustahilan ini muncul kerana manusia Melayu walaupun kesemuanya bercakap Melayu, berkulit sawo matang dan menganut agama yang sama tetapi memiliki asas ekonomi yang berbeza-beza.

United Malays National Organisation adalah parti yang mewakili kelas feudal, kelas komprador, kelas birokrat kapitalis dan kelas borjuis nasional Melayu. Kelas-kelas kapitalis inilah yang menjadi teras ekonomi parti politik ini.

(Komprador adalah peniaga perantaraan di antara rakyat tempatan dengan kapitalis antarabangsa. Borjuis nasional adalah kaum pemodal tempatan. Birokrat kapitalis adalah individu yang menjadi pemodal melalui badan-badan kerajaan i.e. Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri atau SEDC)

Parti PAS pula diwakili oleh borjuis kecil, tuan tanah kecil, peniaga kecil, kaum tani, tuan punya warung, nelayan, tok peraih, guru-guru sekolah, pensyarah kolej dan universiti, intelektual lokal dan agamawan lokal. Mereka berasa selesa dengan PAS kerana kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka akan dijaga dengan baik oleh parti ini.

Parti Keadilan Rakyat pula mewakili kumpulan yang seakan-akan sama asas ekonominya dengan PAS tetapi mereka tidak selesa dengan gaya hidup yang dibawa oleh PAS. Mereka lebih urban, lebih kosmopolitan dan memiliki pandangan dunia dan nafsu ekonomi yang luas berbanding dengan pengikut PAS.

Ada satu lagi kumpulan yang berpayung bawah PKR – mereka ini adalah kumpulan peniaga yang memiliki nafsu besar tetapi telah dipinggirkan oleh United Malays National Organisation, atau perniagaan besar mereka terpelocok ketika berlakunya krisis ekonomi 1997.

Mereka ingin mencari payung baru agar nafsu dan kepentingan ekonomi mereka dapat berkembang.

Lihatlah ketiga-tiga kumpulan Melayu ini - mereka tidak memiliki asas ekonomi yang sama. Malah kepentingan ekonomi mereka bertentangan sesama sendiri. Bangsa, bahasa dan agama hanyalah kulitan untuk mencari sokongan dan mengolah persetujuan.

Masih tidak yakin lagi?

Kalau tidak yakin tentang asas-asas ekonomi parti-parti itu, mari kita lihat ke dalam United Malays National Organisation sendiri - parti politik yang 1,000% berahlikan manusia Melayu tetapi tidak pernah bersatu malah sesudah pilihanraya 2008, mereka kelihatan sedang beramuk sesama sendiri. Amukan yang sedang berlaku hari ini berpunca daripada perebutan punca-punca ekonomi.

Mahathir Mohamad mewakili komprador dan borjuis nasional yang selama 22 tahun dulu telah kenyang dan montok. Apabila Abdullah Ahmada Badawi masuk, maka para komprador dan borjuis ini sedang diketepikan kerana Abdullah sedang membawa sosok-sosok baru untuk menggantikan mereka.

Dalam bahasa pasar, Abdullah Ahmad Badawi ada kroni baru dan kroni Mahathir dipinggirkan.

Amat jelas, perebutan punca-punca ekonomi inilah yang menjadikan Mahathir melawan Abdullah dan hasilnya United Malays National Organisation bergaduh.

Lima negeri yang diheboh-hebohkan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat bermakna lima punca ekonomi hilang - ini tidak ada sangkut-paut dengan agenda Melayu, ketuanan Melayu atau slogan Bersatulah Melayu.

Orang Melayu di lima negeri ini tetap Melayu. Air sungai Perak tetap mengalir ke laut di muara Bagan Datuk. Air Sungai Gombak tetap sampai ke Klang. Melayu di mana pun mereka berada akan terpaksa juga membayar tol kalau menggunakan Lebuh Raya PLUS.

Justeru, ada kumpulan yang menuduh Abdullah Ahmad Badawi lembik - hanyalah sebagai alasan atas kehilangan punca-punca ekonomi mereka. Mereka mahu seorang pemimpin yang ‘keras’ untuk menjaga kepentingan ekonomi mereka agar terus berkembang i.e. untuk mereka terus mendapat kontrak.

Kalau begitu, siapa pula Tengku Razaleigh Hamzah?

Ku Li mewakili kelas birokrat lama dan kelas feudal Melayu. Kelas birokrat ini muncul ketika Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Ketika itu kelas ini berenang dan berpesta dengan harta kekayaan negara. Kelas feudal Melayu juga dapat menumpang semangkuk.

Apabila Mahathir masuk, kelas-kelas ini hampir pupus kerana banyak daripada perbadanan negeri ini diswastakan oleh Mahathir untuk menjadikan mereka borjuis nasional dan komprador. Ada kelas feudal Melayu yang berubah wajah seperti keluarga feudal Negeri Sembilan, mereka bersalin kulit untuk menjadi borjuis nasional agar tidak tercicir.

Adakah saya ini anti Melayu? Jawabnya tidak. Saya bukan anti Melayu. Saya hanya anti perkara yang karut-marut.

Saya yakin hanya kepentingan ekonomi sahaja yang menyatukan umat manusia. Manusia berkumpul untuk kepentingan kelas ekonomi mereka. Pertembungan kepentingan kelas inilah yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang.

Perebutan punca ekonomi ini sedang dikaburkan dan dipropagandakan sebagai kepentingan bangsa, bahasa dan agama.

Saya anti sesiapa sahaja yang menjajakan perkara yang karut-marut.

Isnin, 28 April 2008

Kelab Penyokong PAS India Kedah serah 160 borang keahlian
Mazelan Harron


Kulim (Hrkh) - Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Haji Hassan Abdul Razak menerima 160 borang ahli Kelab Penyokong PAS Kaum India sempena ceramah perdana yang diadakan di Taman Kenari, Kulim baru-baru ini.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kulim, Vickram a/l Jayaraman mewakili rakan-rakan ahli Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), dan Makkal Shakti menyerahkan borang berkenaan.

"Kami ingin bersama-sama kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak menyokong dan mendukung aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat," ujar beliau ketika ditemu bual oleh wakil Harakah.

Turut hadir memberi ceramah pada malam itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Perak, Ustaz Drs Khalili Idham Lim Abdullah dan Pengerusi Hindraf Kulim, Sathia Seelan .

Majlis yang berjaya mengumpulkan para penyokong PAS, KeADILan, Hindraf dan Makkal Shakti itu merupakan satu sejarah selepas terciptanya kemenangan besar Pakatan Rakyat yang berjaya memerintah Kedah selepas memenangi Pilihan raya Umum Ke-12 yang lalu

Ketua PAS Cawangan Taman Kenari, Sulaiman Ibrahim berkata, gerak kerja pilihan raya sudah selesai, tapi gerak kerja untuk merealisasikan manifesto yang dijanjikan perlu diteruskan.
Imej Buruk SPR Di Sabah
Oleh: Mohd Hakim Hakimi


Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR1) mencatat sejarah buruk dalam politik Sabah melalui kewujudan pengundi hantu dan amalan rasuah politik, kini satu lagi SPR (2) iaitu Suruhanjaya Pencegah Rasuah mengikuti jejak langkah SPR1. Imej buruk SPR2 bermula apabila Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Said Hamdan menutup kes rasuah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman setelah mendapat pingat kebesaran negeri Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K).

Ahmad Said, secara rasionalnya gagal memberikan alasan yang melampaui keraguan munasabah kenapa beliau tidak boleh menangguhkan penerimaan pingat berkenaan sehingga kes siasatan BPR terhadap Musa Aman selesai.

Tidak cukup dengan itu, Ahmad Said gagal memberikan penjelasan kenapa kes pembalakan haram di Keningau ditutup begitu sahaja atas alasan Ketua Menteri Sabah tidak terlibat, sedangkan siasatan yang dijalankan oleh Pengarah BPR Selangor, Mohd Jamidan yang mengetuai serbuan ke kilang dan lori balak di Keningau, bukanlah untuk mencari kayu balak yang tertulis nama Musa Aman?

Kehadiran seorang lelaki yang dikenali sebagai Henry Voon telah mensirnakan nama baik Ahmad Said kerana sehingga ke hari ini berita yang mengatakan Jamidan telah dibayar RM750,000 gagal ditepis dengan baik.

Sehingga kelmarin seorang lelaki yang dikenali sebagai Admund Looi mengaku di hadapan Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Sam Singh telah membayar RM1.4 juta melalui Henry Voon agar tindakan tidak diambil ke atasnya kerana melakukan kesalahan menebang 10,000 batang balak di bawah saiz dan membalak secara haram di kawasan konsesi yang diberikan kepada pihak lain.

Bagaimanakah Ahmad Said mahu membersihkan imej buruk BPR yang terpalit dengan pelbagai skandal di Sabah jika BPR Sabah bagaikan 'Virgin Prostitute'?

Penangkapan Mohd Daud Tampokong dan kroni Musa Aman seperti Michael Chia, Dinasour Chong oleh BPR Sabah untuk siasatan memberikan impak begitu ketara apabila Daud yang memiliki lebih RM130 juta dalam akaun peribadi di Singapura, Brunei, Hong Kong lepas bebas tanpa didakwa sekalipun kertas siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara.

Imej Pengarah BPR Sabah bagaikan dipalit najis apabila semua ikan besar yang ditangkap terlepas kembali ke laut dan hanya mampu mendaratkan bilis yang tidak mampu membela diri kerana menjadi mangsa birokrasi.

Lebih memalukan apabila Skandal Diesel Subsidi melibatkan ramai pihak penguatkuasa termasuk Pengerusi dan Pengurus Besar Ko-Nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan kroni mereka sehingga para nelayan menderita kerana terpaksa menanggung kerugian akibat tidak menikmati kemudahan tersebut.

Pegawai Kanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula bukan sahaja mendalangi kegiatan VCD haram, malah penyeludupan minyak diesel dan kegiatan yang menyalahi undang-undang sehingga ada yang mempunyai lebih RM500,000 dalam akaun peribadi.

Kegagalan BPR Sabah begitu ketara terutama menjalankan siasatan sambil lewa dan gagal menjalankan siasatan terperinci berhubung kegiatan pembalakan haram, penyeludupan subsidi, tuntutan palsu dan sebagainya sehingga semakin banyak kes terlepas dan BPR dimalukan di mahkamah.

Kes rasuah Mantan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas Sabah, Datuk Haji Hasbollah Taha dan Pegawai Suhakam yang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri memberikan impak yang ketara kepada kredibiliti BPR.

Pak Lah terkesima apabila mendapat tahu dua orang calon UMNO pada pilihanraya umum lalu terpalit dengan skandal seks dan jenayah. Seorang yang bergelar Datuk telah ditangkap dan dipenjara di Tarakan apabila memasuki Indonesia secara haram kerana melanggani pelacur.

Manakala Datuk dengan dua nama datuk pula terlibat dengan skandal seks songsang iaitu dengan isteri pengikutnya, namun kes berkenaan ditutup apabila mangsa dirasuah dan BPR hanya menutup mata sekalipun abang mangsa adalah salah seorang pegawai BPR!

Mampukah BPR melepaskan badi SPR1 yang semakin hilang maruah apabila penipuan dijalankan secara terang-terangan.

Walaupun umum mengetahui Ahmad Said satu-satunya Ketua Pengarah yang dilahirkan oleh BPR kerana semua Ketua Pengarah sebelum ini dipinjam dari jabatan lain, namun tidak cekap untuk melestari hasrat Mr Clean yang kini mendapat gelaran 'Mr Vacuum Cleaner!'

Penjenamaan semula BPR dengan penambah baikan tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya pegawai kanan seperti Jamidan boleh menerima komisyen di atas perkhidmatannya memberi perlindungan kepada penjenayah!
Nasuruddin akhiri teka-teki Speker NasDUN Kelantan


KOTA BAHARU: Teka-teki siapa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang baru akhirnya terjawab apabila bekas timbalan speaker, Mohd Nassuruddin Daud hari ini dipilih memegang jawatan itu.

Mohd Nassuruddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti dipilih menggantikan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang kini anggota Parlimen Kota Baharu.

Nama Mohd Nassuruddin itu telah dicadangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum bermulanya majlis angkat sumpah kesemua ADUN di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Cadangan itu disokong Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan selepas itu Setiausaha DUN, Imran Mansor mengumumkan secara rasmi pelantikan Mohd Nassuruddin.

Mohd Nassuruddin selepas itu telah dipakaikan songkok dan selendang oleh Nik Aziz sebagai tanda pelantikannya.

Sebelum ini pelantikan speaker menjadi isu apabila dikatakan beberapa ADUN PAS enggan hadir mengangkat sumpah sekiranya Mohd Nassuruddin dipilih memegang jawatan itu.

PAS Pusat dikatakan telah bersetuju agar Datuk Ahmad Rusli Ibrahim iaitu calon PAS yang tewas di kerusi DUN Kok Lanas sebagai speaker.

Ahmad Rusli sebelum menyertai PAS adalah Ketua Penerangan Umno Kelantan.

Bagaimanapun pada majlis pelantikan speaker dan ADUN hari ini kesemua 38 ADUN PAS dan seorang ADUN yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan enam ADUN Barisan Nasional (BN) turut hadir mengangkat sumpah.

Ketika Imran mengumumkan pelantikan Mohd Nassuruddin itu, tiada berlaku sebarang insiden dan majlis angkat sumpah Nassuruddin dan ADUN yang lain berlangsung dalam suasana aman.

Kerajaan Kelantan kini diterajui PAS untuk penggal kelima berturut-turut sejak 1990.

Pada majlis angkat sumpah itu, Nik Aziz yang memegang jawatan Menteri Besar untuk penggal kelima mengetuai majlis tersebut sebelum diikuti semua ADUN.

ADUN Kelaboran yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim kemudiannya dilantik memegang jawatan timbalan speaker yang baru bagi menggantikan tempat Mohd Nassuruddin sebelum ini.

Bagi BN, mereka telah memilih ADUN Kok Lanas, Datuk Alwi Che Ahmad sebagai ketua pembangkang menggantikan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Annuar Musa.

Sebelum ini Alwi adalah anggota Parlimen Ketereh.

Pada pilihan raya 8 Mac lalu, BN hanya menang enam kerusi DUN iaitu selain Kok Lanas adalah Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Paloh, Bukit Bunga dan Nenggiri berbanding sebelum itu BN menguasai 22 kerusi.

Persidangan DUN bersambung esok. BERNAMA
Apa jadi setelah BPR siasat Azalina?
Roslan SMS


Apa jadi kes BPR yang sepatutnya mengumpul maklumat berkenaan kaitan bekas Menteri Sukan Azalina Othman dengan Womens Sports and Fitness Foundation Malaysia (Yayasan Sukan dan Kecerdasan Wanita Malaysia)? WSFFM dikatakan telah menerima lebih RM11 juta peruntukkan dari pihak kerajaan ketika Azalina Menteri Sukan, apa istimewanya WSFFM berbanding badan-badan sukan yang lain?

Menurut akhbar THE SUN Rabu lepas ketika ditanya berkenaan isu ini Azalina memberi respon yang tidak meyakinkan. Menurut akhbar berkenaan:

Former youth and sports minister Datuk Seri Azalina Othman Said has distanced herself from the million ringgit fiasco that is WSFFM’s National Womens Games by saying that she does not get involved with the foundations management and funding.

The present tourism minister was reported as saying on Wednesday that as the mere patron of the foundation, she “just cut ribbons”.

Bekas menteri belia dan sukan Datuk Seri Azalina Othman Said telah menjauhkan diri beliau dari kemelut jutaan ringgit yang melibatkan WSFFM ketika menganjurkan Sukan Wanita Kebangsaan dengan mengatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam pengurusan dan hal kewangan yayasan berkenaan.

Menteri pelancongna itu dilaporkan sebagai berkata, sebagai penaung (Azalina adalah Penaung WSFFM) yayasan berkenaan beliau sekadar memotong riben sahaja.

Tetapi apa dan mengapa yang Azalina minat dan prihatin sangat pada WSFFM ini berbanding dengan badan sukan lain? Benar beliau mungkin tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan yayasan itu, tetapi ketika yayasan itu yang diketuai kawan rapatnya memohon peruntukkan dari kementerian beliau, pasti beliau terlibat dalam memberikan kelulusan, bukankah itu kerja menteri, bukan sekadar potong riben?!

Menurut THE SUN semasa menganjurkan Sukan Wanita Kebangsaan itu WSFFM telah mengundang penari-penari (“aerial dancers”) dari Australia untuk majlis perasmiannya. Untuk mengundang penari-penari Australia itu sahaja mereka berbelanja RM800,000!

Dalam PM Dollah Badawi sedang tekun mahu memperkasakan BPR ini, diharapkan usaha-usaha itu termasuklah menyaisat jerung-jerung yang meluluskan RM11juta wang rakyat kepada kenalan Azalina ini. Siasat kerana rakyat mahu tahu, jangan kerana ia melibatkan menteri maka rakyat tak perlu tahu.
Jurugambar Harakah dilarang masuk Parlimen
Anis Nazri


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Belum pun bermula sidang Parlimen,episod larangan ke atas jurugambar mencemari majlis angkat sumpah Ahli-ahli Parlimen pada pagi tadi.

Dalam kejadian pagi tadi, jurugambar Harakah tidak dibenarkan masuk ke Parlimen untuk merakamkan upacara mengangkat sumpah, walaupun telah membuat rayuan kepada pegawai bertugas di parlimen.

Ketua Jurugambar Harakah, Mohd Nasir Sudin, ketika dihubungi, berkata pegawai parlimen melarang beliau dan seorang lagi jurugambar Harakah, Wan Zahari Wan Salleh serta beberapa jurugambar lain untuk merakam detik-detik bersejarah itu.

Bagaimanapun, beliau dan rakan-rakan jurugambar lain dibenarkan mengambil gambar selama lima minit sebelum bermula upacara angkat sumpah berlangsung.

Menurut Nasir, hanya jurugambar rasmi media kerajaan seperti Bernama dan RTM dibenarkan merakam upacara berkenaan.

Ketika ini, berpuluh-puluh jurugambar termasuk dari media antarabangsa berkumpul di hadapan pintu masuk media, sambil menantikan kemunculan MP-MP untuk merakamkan gambar dan aksi mereka.

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mendahului 222 ahli Parlimen mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pukul 10.15 pagi tadi. - mks.
Keris tidak lagi dijulang tapi keangkuhan masih ada pada Umno – Anwar
Salmiyah Harun


SHAH ALAM (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata Ketua Pemuda Umno Dato' Hishamuddin Tun Hussien tidak perlu mengulangi kesilapan mengangkat keris yang memberi gambaran keangkuhan bangsa Melayu.

Katanya, kesilapan beliau bukan soal keris yang dijulangnya tetapi di sebaliknya iaitu sikap keangkuhan kuasa yang terus-menerus membuatkan rakyat negara ini mengubah

"Umno telah mempermainkan isu bangsa, etnik dan kaum dalam politik negara kita dan ini masih diteruskan oleh Umno," katanya dalam sidang media selepas melancarkan dua buah buku Allahyarham Rustam A. Sani di Perpustakaan Raja Tun Uda.

Misalnya kata beliau, dalam ulasan isu ternakan babi di Selangor dan ulasan mengenai ketuanan Melayu kononya orang Melayu sudah bangkit dan marah.

Keadaan ini katanya memberi makna sentimen keangkuhan masih kukuh dalam Umno yang tidak boleh lagi diterima oleh rakyat negara ini.

"Langkah menyatakan minta maaf itu amat kita alu-alukan tetapi perkara ini harus diambil serius terutama sentimen dalam Umno iaitu menjulang keris," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Hishamuddin yang meminta maaf dan mengakui perbuatan menjulang keris Panca Warisan dalam Perhimpunan Agung Umno telah menjejaskan undi BN dalam pilihan raya lalu.

"Saya minta maaf pada orang bukan Melayu kerana telah menakut-nakutkan mereka dan kepada orang Melayu kerana gagal mempertahankan simbol warisan orang Melayu.

"Saya bukan angkuh dan sombong yang tidak boleh memohon maaf dari orang lain," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Pemuda BN di ibu negara hari ini.

Sebelum itu, Anwar turut melancarkan dua buah buku tulisan Allahyarham Rustam 'Failed Nation?' dan 'Concerns Of a Malaysian Nationalist' yang diterbitkan oleh Strategik Information and Research Development Oganized (SIRD).

Program yang bermula jam tiga petang itu turut memberi ruang kepada sahabat-sahabat yang rapat dengan Allahyarham Rustam untuk memberi ucapan antaranya, Dr Syed Hussein Ali, A Samad Said, Hishamuddin Rais dan Noraini Othman.

Mereka masing-masing menceritakan pengalaman dan detik-detik manis sepanjang mengenali Allahyarham Rustam bermula sewal beliau masih kanak-kanak hingga dewasa ketika bersama-sama arwah ayahnya iaitu Ahmad Boestaman.

Majlis bertambah sayu apabila, kedua anak Allahyarham iaitu Azrani dan Aryani diberi kesempatan berucap di hadapan kira-kira 500 hadirin yang terdiri daripada rakan taulan serta peminat Allahyarham.

Bacaan al-Fatihah disedekahkan kepada Allahyarham oleh mereka yang hadir dan diikuti bacaan doa buat beliau agar rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang soleh. - mns
Kem PLKN ditutup demi keselamatan pelatih


GUA MUSANG: Tindakan menutup sementara Kem Kubena, Sipitang di Sabah Rabu lepas berikutan tanah runtuh, dibuat demi keselamatan 343 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem itu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata tindakan yang dikenakan terhadap kem itu, boleh diambil terhadap kem-kem lain yang didapati membahayakan pelatih.

Kem itu diberi arahan tutup sementara bagi memberi peluang kepada pengurusan untuk membaik pulih kejadian tanah runtuh sebelum dibenar beroperasi semula bagi penempatan pelatih untuk kumpulan ketiga nanti, katanya.

"Walaupun masih diberi peluang, kami mesti membuat penelitian terlebih dahulu setakat mana tahap keselamatan yang dijaminkan dan sekiranya belum berpuas hati kami kekalkan penutupan itu," katanya ketika melawat dan bermesra dengan pelatih PLKN di Kem Etonobotani, di sini, Ahad.

Berikutan penutupan itu, kesemua pelatih kem berkenaan iaitu 270 yang berasal dari Sabah dan 73 lagi dari Semenanjung, dipindah ke tujuh kem lain di Sabah dan Semenanjung.

"Kita menggunakan khidmat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mengangkut 73 pelatih ke tiga kem di Selangor termasuk 30 pelatih di Kem Kuala Kubu Baru, 23 di Rawang dan 20 di Sepang," katanya.

Rabu lepas, Kem Kubena, Sipitang terpaksa diarah tutup sementara kerana berlaku kejadian tanah runtuh pada pukul 10 malam tidak jauh dari asrama pelatih. BERNAMA
Tajol Rosli didesak letak jawatan


Umno bahagian Kampar telah menghantar petisyen kepada pengerusi badan perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali meminta beliau meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugas sebagai ketua.

Petisyen berkenaan ditandatangani 111 wakil jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri serta ketua-ketua cawangan dalam satu mesyuarat khas baru-baru ini.

Setiausaha Umno bahagian itu, Abdul Rahman Md Som berkata salinan petisyen itu telah dihantar kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku presiden Umno.

Dipimpin oleh ketua yang lebih bersemangat.

Abdul Rahman berkata petisyen itu turut menyatakan Umno Kampar kesal kerana bekas menteri besar Perak itu tidak mengambil inisiatif selaku pemimpin untuk merangsang semangat ahli parti selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) di Perak dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Dalam keadaan yang amat meruncing pada masa ini, semua ahli kini tertekan kerana ketiadaan hala tuju dan pelan tindakan yang tegas supaya Umno Perak bangkit semula dalam masa yang terdekat," katanya dalam sidang akhbar selepas satu majlis perjumpaan kira-kira 500 pemimpin pelbagai peringkat Umno bahagian Kampar di Changkat Tin hari ini.
Pemindahan wang Balkis ke dalam akaun Bakti tidak sah
Saidah Hairan


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Pemindahan wang Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) ke dalam akaun Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) tidak sah di sisi undang-undang.

Peguam, Mohamad Khairuddin Othman menegaskan perpindahan wang itu tidak sah disebabkan ia dilakukan selepas Umno-BN mengalami kekalahan dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Menurut beliau, antara syarat perlembagaan Balkis isteri Menteri Besar mesti mempengerusikan persatuan itu.

Sehubungan itu katanya, bekas isteri Menteri Besar Datin Seri Zaharah Kechik secara outamatik tidak mempunyai kuasa untuk memindahkan wang tersebut ke dalam akaun Bakti.

Katanya, pemindahan wang Balkis ke dalam akaun Bakti itu dianggap sebagai suatu kes jenayah atau penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

"Zaharah tidak ada kuasa untuk memindahkan wang tersebut apatah lagi menutup persatuan itu," katanya.

Beliau menasihatkan supaya wang tersebut dipulangkan semula ke dalam akaun Balkis.

Bakti terbabit dalam kontroversi penyaluran wang RM9.9 juta daripada Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) selepas ia cuba dibubarkan pada 13 Mac.

Ketika Umno-BN berkuasa di Selangor, Balkis dipengerusikan oleh isteri bekas menteri besar Dato' Mohd Khir Toyo. - mns
Muhd Taib didakwa sabotaj pertemuan Ku Li
Nash Rahman


Seorang pemimpin veteran Umno Selangor mendakwa ketua penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib mensabotaj majlis pertemuan ahli parlimen Gua Musang dengan pemimpin Umno sekitar Subang Jaya petang semalam.

Datuk Mazlan Harun berkata, beliau telah memaklumkan hasratnya untuk mengadakan perjumpaan tersebut kepada Muhammad serta turut menjemputnya hadir.

Bagaimanapun, katanya, Muhammad sebaliknya membawa ketua-ketua cawangan Umno dalam bahagian Kelana Jaya, yang meliputi kawasan Subang Jaya, ke Sarawak dan Melaka.

"Sebenarnya mereka sabotaj. Muhd Taib kalau datang boleh beri pandangan, cerdik pandai boleh menilai," katanya ketika berucap di majlis tersebut di sebuah hotel di Subang Jaya semalam.

"Sebagai ketua bahagian, beliau harus hadir beri pendapatnya jika pandangan kita tidak sesuai dengan kehendak pucuk pimpinan parti.

"Tapi apa yang dibuat (ialah) dia angkut ketua cawangan Kelana Jaya ke Sarawak, ketua Wanita pergi Melaka, inilah jadi masalah kita. Inilah penindasan dari pihak atasan," kata beliau yang juga bekas exco Pemuda Umno, disambut tepukan kira-kira 500 hadirin.

Keadaan seumpama itu, katanya, menyebabkan ahli-ahli tiada tempat untuk meluahkan perasaan tidak puas hati mereka.

Sayangkan Umno

"Dalam pilihanraya lalu, pemilih Barisan Nasional berpaling tadah (mengundi pembangkang)," katanya lagi.

Menurutnya, jika dikaji pada tahun-tahun kebelakangan ini, boleh dilihat keangkuhan pucuk pimpinan Umno sehingga mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membuat teguran.

"Di kawasan ini (parlimen Kelana Jaya) kita kalah kepada calon PKR. Kalau dulu BN letak kayu pun menang… sekarang pembangkang letak kayu pun menang," katanya.

Selangor adalah antara empat negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Negeri-negeri lain: Kedah, Pulau Pinang dan Perak. PAS pula berjaya mengekalkan Kelantan. Di Parlimen, BN hanya memperolehi 140 kerusi dan gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga.

"Kita bukan marah pada Pak Lah, tapi nak selamatkan Umno. Bukan kita sahaja, di kalangan pucuk pimpinan Umno juga mereka berbelah bagi mengenai soal kepimpinan (Umno)," tambahnya.

Menurut beliau, Umno tidak boleh menang dalam pilihanraya jika bergantung kepada ahli-ahlinya sahaja, tetapi parti itu memerlukan sokongan semua orang Melayu dan bangsa lain.

"(Oleh itu), bila kita tengok pokok nak reput dari akar umbi, kita kena bertindak, jika tidak kita akan hadapi satu bencana paling besar pada pilihanraya umum akan datang.

“(Naib presiden Umno), Tan Sri Muhyiddin Yakin dah sebut dalam wawancara dalam Utusan Malaysia minggu lalu, bahawa Umno hari ini dalam zon bahaya, kerana kuasa Melayu dan habis.

"Kerusi parlimen Umno sebanyak 78, PAS pula 23 kerusi, jumlahnya 101 – tidak sampai separuh daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi parlimen. Itupun jika PAS dan Umno bersatu,” katanya.
Apabila pemilik Panca Warisan Sudah Lemah
Sayuti Omar


SEBELUM ini acap kali juga saya dengar orang mengatakan Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein pondan. Dia tidak layak dan sesuai jadi Ketua Pemuda? Azalina Othman Said yang ketika itu menjadi Ketua Puteri dikatakan lebih layak untuk menjadi Ketua Pemuda.

Sepatutnya Umno meminda perlembagaan menyediakan ruang membolehkan pertukaran antara ketua pemuda dengan ketua puteri apabila keadaanya memerlukan berbuat begitu.

Bila mana ketua pemuda didapati lemah dan lembut maka ia bertukar secara automatik dengan ketua puteri. Begitu juga bila didapati ketua puteri keras dan ganas ia boleh bertukar secara automatik ke jawatan ketua pemuda.

Kalau Azalina menjadi Ketua Pemuda tentu Pemuda akan jadi bersemangat, kuat dan tidak mudah dicabar oleh mana-mana pihak. Tidaklah pemuda kena memohon maaf ke atas sesuatu yang bukan haq dan mutlak.

Kini saya sudah mulai hendak percaya kalau Hishamuddin seorang yang pondan. Kesediaannya akur kepada tekanan untuk memohon maaf kerana mencium keris Panca Warisan yang dikatakan menjadi punca kekalahan BN, mengesahkan bahawa Hishamuddin pondon atau tidak ada telor.

Semasa beliau menjulang dan mengucup keris Panca Warisan semasa Persidangan Perwakilan Pergerakan pemuda 2005 dan menghentam Anwar Ibrahim sebagai penderhaka dulu nampak sikit yang beliau sebagai jejaka, walaupun tidak perkasa. Ketika itu beliau macam ketua pemuda yang mewarisi semangat Harun Idris dan Jaafar Albar.

Tetapi sifat dan tabii itu berubah. Ia hanya menjadi jantan ketika disuruh dan diasak menghentam Anwar. Tetapi bila bersendirian dan berhadapan dengan musuh sejati dia jadi pengecut dan tiba-tiba nalurinya bertukar menjadi pondan.

Tindan anak Hussein Onn itu memalukan orang Melayu seluruhnya. Kerana semasa beliau mengjulang kersis dan mencium keris Panca Warisan dan menghentam Anwar beliau mewakili orang Melayu. Apabila beliau memohon maaf dan menarik balik apa yang dia buat bermakna orang Melayu seluruhnya juga bertanggungjawawab atas kebaculan Hishamuddin itu.

Diingatkan lain kali kalau Hishamuddin atau sesiapa saja nak bercakap atas nama Melayu perlulah berfikir banyak kali. Jangan berfikir sekali dan terus buat. Sebab apa yang dilakukan itu mewakili oleh Melayu seluruhnya termasuklah Melayu di negeri Pasir Berdengung dan juga di negeri Pasir Dua Butir!

Jangan cakap sewenang dan menggunakan nama Melayu mengikut sedap rasa. Ataupun dijadikan umpan politik untuk meraih sokongan Melayu. Kalau orang seperti Hishamuddin hendak bercakap guna saja nama Umno. Umno walaupun asalnya Melayu namun ia sudah bukan Melayu tulen yang bersifat terpacak langkah keris pun sampai. Umno adalah warisan penjajah dan dibibitkan oleh Malay Union. Umno ditubuhkan untuk berhadapan dengan para hubaya-hubaya dari gunung!

Anihnya yang penakut dan mengaku kalah bukan saja orang-orang yang lemah gumalai seperti Hishamuddin itu, tetapi pemimpin Umno lain juga turut kehilangan batu apabila bersetuju dan mengalu-alukan langkah Hishamuddin itu seperti mana Samy Vellu. Sikap Samy dalam hal ini tidak patut ditiru kerana beliau bertindak membubuh batu atas beban!

Ada yang kata langkah Hishamuddin itu sebagai berjiwa besar kerana memohon maaf. Jiwa besar kepala hotak apa, kalau meminta maaf ke atas perkara yang tidak haq? Orang yang macam itu bukan berjiwa besar, tetapi berjiwa kecil, menikus. Mungkin juga orang memberi sokongan demikian dia bukan dari keturunan Demang Lebar Daun dan Sang Sepurba yang berasal dari Bukit Siguntang di mana padinya berbuahkan emas.

Ada yang yang mengatakan sifat Hishamuddin itu harus dipuji! Terpuji apa kalau akur kepada tekanan dan desakan. Itu bukan terpuji tetapi sifat yang perlu dikeji dan dimaki.

Menariknya ulasan abang sepupu Hishamuddin, Mohd Najib Razak. Katanya permohonan maaf tidak jatuhkan maruah Melayu. Sebalik katanya maruah Melayu akan jatuh kalau Melayu tercicir dalam semua bidang. Ini pandangan orang yang ingin menjadikan Melayu sebagai glokal?

Apakah Najib sedar dan faham dengan apa yang beliau utarakan itu? Usaha untuk mengalihkan isu dan mengurangkan kemarahan dengan turut sama apologitik bukan sifat yang baik dan berani. Ia bukan bijaksana dan handalan terbilang.

Fahamkah Najib mengenai warisan, budaya dan syiar dan simbol? Apabila Melayu tidak boleh menggunakan simbolnya lagi, di manakah maruah dan kehebatan Melayu? Dengan apakah Melayu hendak menunjukkan jatidirinya kalau simbol dan warisannya dilarang di gunakan didalam rumahnya sendiri?

Sebenarnya orang telah mencampuri urusan kita terlalu jauh.Tetamu yang kita tanakkan pulut hamparkan tikar kini sudah mahu tidur dalam kamar kita.

Najib juga berkata-kata seperti burung kakak tua yang disuruh oleh gembalanya. Siapa gembalanya? Apakah Najib boleh membaca di sebalik tentangan kepada aksi mencium keris itu oleh pihak tertentu itu? Najib perlu belajar menyelami makrifat politik lebih jauh lagi.

Kenapa orang membenci kepada warisan dan syiar Melayu itu? Sebabnya mereka tidak mahu simbol-simbol itu terpamir dan kekal menjadi pembakar semangat. Mereka mahu buangkan simbol Melayu dan digantikan dengan simbol yang lebih liberal demi membunuh semangat Melayu. Usaha penghakisan simbil dan syiar Melayu ini bukan saja kepada keris tetapi kepada hal-hal lain juga. Ia akan dilakukan seperti mana berlaku ke atas simbol-simbol Islam seperti bulan bintang atau pun menara masjid!

Mereka menghitung apabila simbol atau syiar sudah tidak ada maka semangat juga akan hilang. Bila semangat hilang Melayu akan jadi lemah. Bila Melayu lemah maka senanglah Melayu untuk ditawan!

Tidak mustahil 10, atau 20 tahun lagi, perkataan Malay (Melayu) di dalam nama Umno itu juga akan diminta dihapuskan. Sesiapa yang menyebut Melayu dalam perhimpunan agung Umno akan ditentang dan dikecam. Akan diadakan demonstrasi agar jangan sebut nama Melayu lagi. Penggunaan nama Melayu hendaklah ditukar kepada nama Malaysia.

Tindakan dan nawaitu di sebalik tentangan dan meletakkan sebab kekalahan kerana si pondan cium keris adalah alasan saja. Mereka juga tahu apalah yang si pondan dapat lalukan dengan keris melainkan untuk digunakan sebagai alat (prop) dalam drama dan bangasawan saja. Si pondan tidak akan bermandi darah sebab dia suka bermandikan sabun.

Seperti dikatakan tadi niat mereka ialah untuk tidak mahu melihat warisan Melayu. Hujung jatuhnya untuk tidak mahu mendengar perkataan Melayu dan akhirnya untuk tidak melihat Melayu berkuasa atau menjadi latar kepada sesebuah kekuasaan. Itu sebenarnya!

Layu sudah dayu keladi,
Tertikam duri terkena isi,
Melayu suka berbudi
Hatta diri sanggup dikasi.