Menara kecemasan TNB tumbang, seorang maut dan empat cedera
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) meninggal dunia dan empat lagi cedera apabila menara kecemasan sementara (ERS) yang terletak antara Kayu Madang dan Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu tumbang, pagi tadi.
TNB dalam kenyataannya hari ini, berkata kemalangan itu berlaku pada pukul 10.30 pagi ketika semua pekerja terbabit sedang menjalankan ujian di menara itu setelah menamatkan pemasangan talian penghantaran 132kV yang baru dibaiki.
"Ketika ujian sedang dijalankan, salah satu kabel penyokong telah tercabut dan menyebabkan menara ERS menjadi tidak stabil sebelum tiga lagi kabel penyokong turut tercabut.
"Ini menyebabkan ERS tumbang dan kemalangan berlaku. Tiga daripada yang cedera kini dirawat di Hospital Likas, Kota Kinabalu dan seorang lagi yang dalam keadaan kritikal dirawat di Hospital Queen Elizabeth juga di Kota Kinabalu," katanya.
Menurut kenyataan itu seramai 30 pekerja daripada pasukan tindakan kecemasan TNB telah berada di tapak berkenaan sejak Rabu lalu untuk membaiki menara talian penghantaran yang tumbang pada 21 April lepas. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan