HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 April 2008

PERTIS perkenal al-Quran braille pertama di Malaysia
Anis Nazri


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Bagi memberi peluang kepada mereka yang cacat penglihatan membaca serta menghayati kandungan al-Quran, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) akan memperkenalkan al-Quran braille kepada ahli-ahli khususnya dan yang bukan ahli, amnya.

Menurut Yang di-Pertua Pertis, Mohamed Ismail, al-Quran braille ini yang diusahakan oleh ahli jawatankuasa Pertis sendiri dengan kerjasama dan nasihat Jakim, merupakan yang pertama diperkenalkan di Malaysia.

Katanya, al-Quran ini akan diperkenalkan pada majlis makan malam yang dinamakan 'Malam Jalinan Kasih - Pertis' yang diadakan pada 26 April 2008, di Hotel The Legend, Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam.

Mohamed berkata, majlis ini adalah kemuncak kepada semua program yang dijalankan Pertis, bagi merapatkan silaturahim orang kurang upaya (OKU) penglihatan, terutamanya ahli Pertis dan orang ramai, sekali gus bagi mengisi Tabung Kebajikan dan Pendidikan Pertis.

Dalam pada itu, Pertis turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Setiausaha Dewan negara, Dato' Zamani Sulaiman, di atas daya usaha beliau memberikan pandangan dan nasihat demi kebaikan ahli Pertis.

"Keprihatinan beliau terhadap OKU penglihatan begitu tinggi, di mana beliau sanggup mengorbankan masa lapangnya untuk membantu Pertis menghidupkan program keilmuan dan pengetahuan di kalangan ahli Pertis," kata beliau. - mns

Tiada ulasan: