HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 April 2008

Selangor umum Adun Sungai Pinang sebagai calon Speaker DUN
Oleh Bernama


Shah Alam: Pakatan Rakyat yang memerintah kerajaan negeri Selangor hari ini mengumumkan pencalonan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang Teng Chang Khim dari DAP sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Adun Taman Medan Haniza Talha dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Timbalan Speaker.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Pakatan Rakyat percaya pilihan mereka kali ini bakal mencipta lembaran sejarah di dalam politik Malaysia dan merupakan gandingan terbaik untuk Selangor.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi mengumumkan calon Speaker dan Timbalan Speaker DUN Selangor di sini hari ini.

Teng, 45, merupakan seorang peguam dan mempunyai firma guaman sendiri Teng Chang Kim & Co di Klang. Kerjaya politik beliau bermula sebagai Adun Bukit Gasing dari 1995-1999, Adun Bandar Klang 1999-2004 dan seterusnya Adun Sungai Pinang sejak tahun 2004 sehingga kini.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Pemuda Sosialis DAP dan kini adalah anggota Jawatankuasa Kerja Pusat DAP.

Haniza, 46, lulusan senireka dari University Sheffield United Kingdom dan pendidikan awal kanak- kanak merupakan Naib Ketua Wanita PKR Pusat dan Ketua Wanita PKR Selangor.

"Walaupun sebelum ini kami (sebagai pembangkang) sering mendakwa Speaker BN tidak berlaku adil dalam Dewan tetapi kami tidak akan berbuat perkara yang sama, mereka akan diberi layanan adil," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan membalas dendam terhadap layanan tidak adil yang didakwanya diberikan kepada pembangkang pada sidang DUN dahulu.

Beliau pertama kali menjadi Adun Taman Medan selepas memenangi kerusi berkenaan di dalam pilihan raya umum bulan lepas.

Abdul Khalid berkata antara faktor Teng dicalonkan ialah beliau telah faham tentang tatacara dan kehendak-kehendak perjalanan persidangan DUN manakala Haniza seorang profesional yang sentiasa berusaha mempertingkatkan syariat Islam.

Beliau berkata konsep Pakatan Rakyat ialah memberi peluang kepada mereka yang berkeupayaan dan sejarah bakal dicipta dengan pencalonan Haniza sebagai Timbalan Speaker wanita pertama di negeri ini.

"Saya percaya saya mendapat sokongan begitu hebat daripada anggota Dewan wanita dalam keputusan ini tapi mereka tidak menyertai dalam membuat keputusan awal pemilihan ini," katanya.

Abdul Khalid berkata beliau persidangan Dewan Undangan Negeri akan dilaksanakan secara profesional dan rakyat akan dapat maklumat yang sewajarnya mengenai perbincangan dasar dan undang-undang negeri.

Sementara itu, Teng berkata beliau berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat kerana memberikan keyakinan kepada beliau untuk mengendalikan persidangan Dewan.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati kerana dicalonkan bagi jawatan ini kerana sebelum ini beliau dikatakan akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, beliau berkata: "Ini adalah satu kepercayaan yang diberikan kepada beliau dan perkara yang lepas biarkanlah ia berlalu dan jangan diungkit lagi."

Teng berkata jika dipilih pada persidangan DUN yang dijadualkan Selasa ini, beliau bakal menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri pertama daripada kalangan bukan Melayu di dalam negeri-negeri Melayu (yang mempunyai Sultan).

Katanya selain itu beliau juga terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai peguam seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan kerajaan Negeri Selangor.

Ditanya sama ada menjadi isu kepada beliau kerana perlu memakai songkok sepanjang mengendalikan persidangan Dewan, Teng berkata:"Ia bukan satu isu".

Ditanya mengenai layanan yang akan diberikan kepada anggota Barisan Nasional yang kini adalah pembangkang, Teng berkata beliau akan memberikan layanan yang adil kepada semua anggota DUN.

"Walaupun sebelum ini kami (sebagai pembangkang) sering mendakwa Speaker BN tidak berlaku adil dalam Dewan tetapi kami tidak akan berbuat perkara yang sama, mereka akan diberi layanan adil," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan membalas dendam terhadap layanan tidak adil yang didakwanya diberikan kepada pembangkang pada sidang DUN dahulu.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan yang baru, Pakatan Rakyat perlu menunjukkan contoh yang baik bagaimana mentadbir kerajaan dan bagaimana sidang dewan dijalankan.

Haniza yang turut berterima kasih kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rayat bagi pemilihan beliau berkata ia adalah satu penghormatan kepada wanita kerana beliau dicalonkan berdasarkan keupayaan.

"Jadi saya akan cuba sebaik mungkin dalam jawatan saya sebagai Timbalan Speaker dan akan memastikan perbahasan di dalam Dewan Undangan Negeri adalah perbahasan yang bermutu...bukan perbahasan yang retorik tetapi lebih kepada menangani isu sebenarnya," katanya.

Tiada ulasan: