HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 April 2008

Karpal gesa kerajaan percepat bicara bunuh Altantuya


KUALA LUMPUR: DAP hari ini menggesa kerajaan menentukan perbicaraan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, diteruskan tanpa sebarang penangguhan lagi.

Pengerusi kebangsaannya, Karpal Singh dalam satu kenyataan berkata, beliau telah menulis kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengenai perkara itu.

"Saya amat memahami kemarahan Dr Setev Shaariibuu, bapa kepada Altantuya Shaariibuu yang dibunuh, semasa sidang akhbar semalam," kata Karpal.

Beliau berkata perbicaraan yang berjalan lembab begitu menjejas keluarga mangsa.

"Anak lelaki bongsu Altantuya, yang berusia 4 tahun, ketika ini berada di hospital menghidap paralisis saraf 'peripheral' dan tidak boleh berjalan.

Di samping itu, kata beliau, ibu Altantuya baru saja mengalamai serangan jantung.

Karpal berkata kerajaan Mongolia juga belum menerima sebarang jawapan terhadap dua pucuk surat yang dihantar menerusi Perdana Menterinya kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya harap Datuk Seri Abdullah akan memberikan perhatiannya terhadap perkara ini dan menjawab surat-surat yang dihantar kepadanya oleh rakan sejawatannya dari Mongolia," kata beliau.

Karpal berkata Dr Setev Shaariibuu malah bercakap hingga ke tahap untuk memutuskan hubungan diplomatik antara kerajaan Mongolia dan Malaysia jika perbicaraan sekarang tidak berjalan dengan adil, bebas dan telus. BERNAMA

Tiada ulasan: