Bila Teng Chang Khim bersongkok
Roslan SMS
Dari Ketua Pembangkang DUN Selangor, kini beliau menjadi Speaker Dewan, suatu perubahan status yang tidak terfikir oleh kawan dan lawan sebelum ini. Kalau dahulu beliau dihalau dari Dewan, kini beliaulah memutuskan samada menghalau atau tidak mana-mana ahli Dewan.
Sekali lagi saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada rakan saya YB Teng yang cekal dan sangat konsisten dalam perjuangan.
Dalam akhbar The Star hari ini, Teng menerangkan mengapa dahulu semasa duduk dibangku pembangkang beliau enggan hadir ke majlis dimana pemakaian songkok ini diwajibkan.Kata beliau ketika itu para pemimpin diberikan opsyen atau pilihan, samada hadir bersongkok atau tidak. Beliau memilih untuk tidak hadir. Tetapi sekarang memandangkan beliau sebahagian dari kerajaan, maka kod pakaian itu terpaksa dipatuhi dan diraikan.
Malahan di Selangor, Teng bukannya pimpinan negeri bukan Melayu yang pertama menggunakan songkok dalam majlis rasmi, semasa majlis angkat sumpah ahli-ahli EXCO Selangor di Istana Alam Shah baru-baru ini, kesemua EXCO lelaki bukan Melayu termasuklah dari DAP dan PKR telah menggunakan songkok kerana menghormati adat dan budaya pihak Istana.
Tolak-ansur dan toleransi seperti inilah penting bagi menambat hati seluruh rakyat khasnya di Selangor ini. YB Teng dan seorang lagi rakan saya YB Ng (Sekinchan) adalah antara tokoh DAP yang telah sekian lama menjalin hubungan akrab dengan masyarakat Melayu di Selangor. Mereka berdua adalah antara pemimpin DAP Selangor yang paling awal menjalin hubungan dengan PAS, dan tidak keberatan berceramah atas pentas PAS dan menghadiri majlis dan program anjuran PAS.
Inilah bentuk persefahaman yang penting bagi menjana kerjasama yang positif. Kalau pemimpin PAS pun sudah bersikap terbuka, hadir dalam majlis dan keraian masyarakat bukan Melayu, berceramah di tokong, kuil dan gereja, mengapa perkara-perkara kecil seperti pakaian dan budaya Melayu terus menjadi momokkan sesama kita.
Bergeraklah terus ke hadapan, Pakatan Rakyat perlukan pimpinan yang seperti ini demi perpaduan dan kesatuan bersama. Biar ia menjadi contoh kepada semua, kita tidak menyerang dan menghiris hati dan perasaan sesama kita, tetapi kita faham-memahami dan sangat mesra dan toleran serta memelihara sensitiviti sesama kita.
Tahniah sekali lagi YB Teng !.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan