Angkat sumpah tahanan ISA akan diatur secepat mungkin
SHAH ALAM: Upacara mengangkat sumpah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, M.Manoharan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Kota Alam Shah, akan diatur secepat mungkin, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim.
Katanya beliau tidak melihat sebarang masalah untuk mengadakan upacara mengangkat sumpah berkenaan yang perlu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan dari tempoh seseorang itu dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya.
"Saya akan aturkan tetapi belum tahu masanya. Kini sudah sebulan setengah berlalu. Jadi saya mengikut peraturan tetap dalam Dewan yang tidak menetapkan angkat sumpah itu dijalankan dalam dewan.
"Kalau mengikut apa yang diamalkan terdahulu, Speaker Parlimen (allahyarham) Tun Syed Nasir Ismail pergi ke kem tahanan untuk mengadakan istiadat mengangkat sumpah dua bekas anggota Parlimen DAP yang ditahan ISA," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah 55 Anggota Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Teng berkata sekiranya upacara mengangkat sumpah itu tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh menang pilihan raya, kerusi negeri itu akan dikosongkan dan pilihan raya kecil perlu diadakan.
"Kemungkinan besar saya akan pergi ke dalam kem untuk menjalankan istiadat tersebut. Ia boleh diaturkan, tahanan boleh menerima lawatan daripada tetamu. Dalam keadaan sekarang saya percaya kerajaan memberi kelonggaran untuk saya jalankan tugas sedemikian," katanya.
Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, tahanan ISA, M.Manoharan yang mewakili DAP menewaskan Ching Su Chen daripada Barisan Nasional dengan majoriti 7,184 undi.
Pada pilihan raya umum 1978, dua calon daripada DAP yang sedang menjalani tempoh tahanan mengikut ISA, Chan Kok Kit dan Chian Heng Kai, masing-masing menang kerusi Parlimen Sungai Besi dan Batu Gajah.
Manoharan, seorang peguam, ditahan pada 13 Disember tahun lalu kerana didakwa terbabit dalam penganjuran perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 25 Nov lepas dan membuat kenyataan menghasut terhadap kerajaan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan