Nasuruddin akhiri teka-teki Speker NasDUN Kelantan
KOTA BAHARU: Teka-teki siapa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang baru akhirnya terjawab apabila bekas timbalan speaker, Mohd Nassuruddin Daud hari ini dipilih memegang jawatan itu.
Mohd Nassuruddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti dipilih menggantikan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang kini anggota Parlimen Kota Baharu.
Nama Mohd Nassuruddin itu telah dicadangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum bermulanya majlis angkat sumpah kesemua ADUN di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Cadangan itu disokong Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan selepas itu Setiausaha DUN, Imran Mansor mengumumkan secara rasmi pelantikan Mohd Nassuruddin.
Mohd Nassuruddin selepas itu telah dipakaikan songkok dan selendang oleh Nik Aziz sebagai tanda pelantikannya.
Sebelum ini pelantikan speaker menjadi isu apabila dikatakan beberapa ADUN PAS enggan hadir mengangkat sumpah sekiranya Mohd Nassuruddin dipilih memegang jawatan itu.
PAS Pusat dikatakan telah bersetuju agar Datuk Ahmad Rusli Ibrahim iaitu calon PAS yang tewas di kerusi DUN Kok Lanas sebagai speaker.
Ahmad Rusli sebelum menyertai PAS adalah Ketua Penerangan Umno Kelantan.
Bagaimanapun pada majlis pelantikan speaker dan ADUN hari ini kesemua 38 ADUN PAS dan seorang ADUN yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan enam ADUN Barisan Nasional (BN) turut hadir mengangkat sumpah.
Ketika Imran mengumumkan pelantikan Mohd Nassuruddin itu, tiada berlaku sebarang insiden dan majlis angkat sumpah Nassuruddin dan ADUN yang lain berlangsung dalam suasana aman.
Kerajaan Kelantan kini diterajui PAS untuk penggal kelima berturut-turut sejak 1990.
Pada majlis angkat sumpah itu, Nik Aziz yang memegang jawatan Menteri Besar untuk penggal kelima mengetuai majlis tersebut sebelum diikuti semua ADUN.
ADUN Kelaboran yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim kemudiannya dilantik memegang jawatan timbalan speaker yang baru bagi menggantikan tempat Mohd Nassuruddin sebelum ini.
Bagi BN, mereka telah memilih ADUN Kok Lanas, Datuk Alwi Che Ahmad sebagai ketua pembangkang menggantikan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Annuar Musa.
Sebelum ini Alwi adalah anggota Parlimen Ketereh.
Pada pilihan raya 8 Mac lalu, BN hanya menang enam kerusi DUN iaitu selain Kok Lanas adalah Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Paloh, Bukit Bunga dan Nenggiri berbanding sebelum itu BN menguasai 22 kerusi.
Persidangan DUN bersambung esok. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan