HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 April 2008

Sediakah KDN benarkan Harakah terbit dua kali seminggu semula?
Mat Zain Mat Isa

Tahniah kepada akhbar tabloid Suara Keadilan yang akhirnya berjaya mendapat permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jaminan kelulusan permit akhbar diterbitkan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) itu dikatakan dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, kelmarin.

Dalam satu wawancara disiarkan akhbar berbahasa Inggeris The Sunday Times, semalam (20 April), Syed Hamid dipetik sebagai berkata, kerajaan sudah pun meluluskan permohonan PKR mendapatkan permit bagi menerbitkan akhbar itu.

Akhbar lidah rasmi KeADILan itu diterbitkan dua minggu sekali. Ia mula menemui para pembaca sejak Jun 2005. Bagaimana pun permohonan permit penerbitannya tidak pernah diluluskan KDN.

Keputusan KDN meluluskan permit untuknya adalah satu perkembangan positif dalam hasrat rakyat melihat kebebasan media di negara ini. Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, dalam reaksi awalnya menganggap kelulusan itu akan membuka lebih banyak ruang untuk kritikan serta penyebaran idea-idea reformasi KeADILan dengan lebih meluas dan berkesan.

Di dalam wawancara sama, Syed Hamid turut dipetik sebagai mencadangkan agar syarat-syarat mendapatkan permit penerbitan akhbar dilonggarkan. Antaranya, pihak yang menerbitkan akhbar hanya perlu memohon permit sekali sahaja dan ia tidak perlu diperbaharui setiap tahun sepertimana menjadi amalan sekarang.

Menteri itu berkata, cadangan itu akan dikemukakannya kepada Kabinet tidak lama lagi.
Institut Akhbar Malaysia (MPI) dalam reaksinya memuji hasrat Syed Hamid itu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPI, Dato' Azman Ujang, menganggap cadangan itu amat tepat bagi memperkukuhkan kebebasan media arus perdana yang selama ini dilihat berada di bawah kongkongan kerajaan atau parti-parti yang memerintah.

"Sekarang ini, majoriti akhbar arus perdana dimiliki oleh parti-parti politik yang memerintah, menyebabkan terdapat pandangan serong bahawa tidak wujud kebebasan akhbar," katanya, sebagaimana dipetik akhbar hari ini (21 April).

Beliau berharap langkah kerajaan itu akan mendorong kelahiran lebih banyak akhbar yang dimiliki secara bebas, sekali gus menyuburkan lagi demokrasi di negara ini.

Azman turut mencadangkan agar suatu masa nanti kerajaan menghapuskan sama sekali permit menerbitkan akhbar. Baginya, negara ini sudah ada berbagai akta dan peraturan yang cukup untuk mengawasi dan memantau syarikat-syarikat akhbar.

Sebetulnya, pandangan Azman itu telah sekian lama dikongsi pelbagai pihak. Bukan sahaja di atas alasan kepelbagai peraturan dan akta, kongkongan permit terhadap akhbar bercetak juga dilihat sudah tidak relevan dengan dunia langit terbuka dan teknologi maklumat tanpa sempadan masa kini.

Mengambil kira perkembangan positif di KDN itu, barangkali masa sekarang ini agak sesuai untuk PAS mengemukakan kembali rayuan kepada KDN agar permit penerbitan akhbar rasminya, Harakah dikembalikan semula kepada dua kali seminggu.

Akhbar lidah rasmi PAS itu pernah diterbitkan sekerap itu bermula 1990 lalu. Permit itu bagaimana pun dibatalkan KDN sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 1999 lalu. Kekerapannya dikurangkan kepada hanya dua kali sebulan.

PAS pernah mengemukakan rayuan agar kebenaran menerbitkan akhbar itu dikembalikan semula kepada dua kali seminggu. Alasannya amat munasabah. Selain ia mencabar kerajaan membuktikan kebebasan media dan amalan demokrasi yang subur, penyaluran maklumat dua kali sebulan juga sudah sangat ketinggalan.

Dalam dunia serba maju ini masyarakat amat memerlukan maklumat yang tepat dan cepat.
Dalam Pilihan Raya Umum 1999 lalu, Umno didapati kehilangan sokongan orang-orang Melayu. Maka seruan dan desakan agar Umno dan PAS kembali bersatu demi kepentingan bangsa dan mempertahankan ketuanan Melayu kedengaran di sana-sini.

Bagi menguji sejauh mana Umno ikhlas menghulurkan tangan perpaduan, PAS mengemukakan tiga tuntutan. Tiga prasyarat pertemuan Umno-PAS itu ialah agar Umno meminta kerajaan Pusat memulangkan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu pimpinan PAS ketika itu, sekali gus menghapuskan tindakan menyogokkan wang ehsan kepada Umno Terengganu.

Kedua, mengembalikan kelulusan penerbitan Harakah kepada dua kali seminggu dan bukannya dua kali sebulan sebagaimana yang dikekalkan hingga sekarang.

Ketiga, Umno hendaklah menentang sebarang usaha menghapuskan perkataan Islam pada nama Parti Islam SeMalaysia (PAS). Ketiga-tiga tuntutan itu sebenarnya lebih bersifat simbolik untuk menguji tahap keikhlasan Umno di samping mengukur tahap amalan demokrasi dalam negara.

Ia juga sebagai menguji kerelaan Umno menggunakan kuasa yang ada padanya bagi mempertimbangkan permintaan pihak yang diajaknya untuk bersatu. Apa yang berlaku membuktikan bahawa, meski pun dalam keadaan terdesak dan didesak pelbagai pihak itu pun, Umno masih tidak bersedia berkompromi. Wang royalti untuk kerajaan Terengganu tidak dikembalikan sehingga jatuh kerajaan PAS. Permit penerbitan Harakah kekal dengan dua minggu sekali, beserta segala kongkongan lain diterimanya masa ke masa.

Adapun pengekalan perkataan Islam pada nama PAS itu bukan kerana Umno yang mempertahankannya. Jangan silap faham, ia sebenarnya antara perkara diputuskan pihak Majlis Raja-Raja Melayu dan bukan atas restu Umno.

Kini, Umno kelihatannya sekali lagi menghadapi suasana serupa. Kepimpinan parti itu sedang menghadapi krisis keyakinan sangat dahsyat daripada orang-orang Melayu.

Laungan mengenai ketuanan Melayu semakin terhakis kedengaran semula. Serentak itu, suara-suara agar Umno dan PAS kembali bersatu dan berpadu juga berkumandang di sana-sini.

Di kesempatan sebegini, mungkin agak tidak manis bagi PAS untuk memanipulasi keadaan tersepit Umno bagi menuntut permit penerbitan Harakah dikembalikan kepada dua kali seminggu atau lebih kerap.

Bagaimanapun, jika Umno ikhlas untuk menghulurkan tangan perdamaian dengan PAS, tuntutan itu tidak sepatutnya menjadi suatu yang sangat sukar untuk dipertimbangkannya. - mns

Tiada ulasan: