HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 April 2008

Selamat bersidang YB
Oleh Hassan Mohd. Noor


ESOK, 28 April 2008 bermulalah mesyuarat pertama, penggal pertama Parlimen kedua belas. Mesyuarat ini diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 berlangsung pada 8 Mac lalu. Mesyuarat pertama ini akan berlangsung sehingga 27 Mei atau melibatkan 16 hari.
Mesyuarat kedua pula dijadualkan pada 23 Jun hingga 15 Julai selama 14 hari dan ketiga mulai 18 Ogos hingga 11 Disember melibatkan 41 hari. Setiap minggu mesyuarat akan berlangsung mulai hari Isnin hingga Khamis iaitu bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang dan disambung semula mulai pukul 2.30 hingga 5.30 petang.

Apakah istimewanya mesyuarat bagi Parlimen ke-12 ini?

Sebaik saja keputusan pilihan raya umum diketahui pada 8 Mac lalu, ramai yang sudah menjangkakan persidangan pada kali ini lebih panas berbanding sebelumnya. Bukan sekadar komposisi penyokong dan pembangkang tetapi mereka yang mempunyai latar belakang yang pelbagai yang selama ini hanya lantang bersuara atau 'berkokok' di luar kini akan berada di dalam Dewan.

Antara mereka termasuklah aktivis sosial dan masyarakat yang sebelum ini sering turun di jalan-jalan raya mengadakan demonstrasi terutama di Kuala Lumpur. Ada di antara mereka ini juga pernah 'menyerbu' Parlimen untuk membuat bantahan. Lebih mencabar lagi kali ini ialah kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti dua pertiga.

Keadaan ini tidak pernah berlaku dalam tempoh 50 tahun lalu. Begitu juga dengan kehadiran 99 muka baru daripada keseluruhan 222 wakil rakyat. Dan jumlah anggota pembangkang pula meningkat empat kali ganda iaitu seramai 82 orang berbanding pada penggal yang lalu hanya 20 orang.

Kali ini pembangkang membariskan hampir keseluruhan pemimpin utamanya - Presiden/pengerusi parti, timbalan presiden/timbalan pengerusi, naib-naib presiden/pengerusi serta setiausaha agung masing-masing. Begitu juga dengan barisan ketua-ketua pemuda dan wanita/muslimat parti pembangkang turut sama berada di dalam Parlimen.

Sementara BN pula kehilangan suara beberapa pemimpin utama parti komponennya seperti S.Samy Vellu (MIC), M. Kayveas (PPP) dan Dr. Koh Tsu Koon (Gerakan). Mereka semua tewas pada pilihan raya umum lalu.

Namun di pihak BN terdapat beberapa nama - muka baru - yang bakal menjadi tumpuan. Mereka termasuklah anak bekas Perdana Menteri, Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaludin, Dr. Mohd Puad Zarkashi, Razali Ibrahim dan Chua Tee Yong.

Sementara di pihak pembangkang pula, selain nama-nama baru seperti Tian Chua, Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar, beberapa muka lama akan turut memanaskan persidangan kali ini. Lebih-lebih lagi mereka yang pernah berada di dalam Dewan tetapi terkeluar pada penggal yang lalu dan kali ini kembali semula. Mereka sudah pasti akan menggunakan pengalaman yang ada untuk mengambil bahagian lebih aktif. Antara mereka termasuklah Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Timbalannya Nasharuddin Mat Isa, Ketua Penerangan Mahfuz Omar, dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Taib Azamuddin Mohd Taib. Kali ini buat kali pertama juga tiga muslimat Pas akan turut serta. Begitu juga dengan kehadiran semula bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas,Ibrahim Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Wee Choo Keong.

Jelaslah gandingan muka lama dan baru pada kali ini akan mencetuskan suasana yang lebih meriah di dalam Dewan Rakyat.

''Dengan muka baru dan jumlah anggota mereka yang ramai, sudah tentu pembangkang mempunyai semangat baru dalam sidang kali ini,'' kata Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz.

Beliau yang sudah tiga penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ini penggal ketiga sebagai Ahli Parlimen mengakui persidangan kali ini lebih mencabar dan menuntut perhatian yang lebih dari segi kehadiran serta perbahasan yang lebih bermutu.

Mohamad Aziz yang pada penggal lalu berjaya mencuri perhatian ramai bersama rakan-rakannya seperti Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan) dan Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (kini ADUN di Perak) bagaimanapun yakin anggota BN juga mempunyai semangat yang sama.

Percaya''BN juga mempunyai orang muda yang bersemangat tinggi dan saya percaya mereka ini mampu mengambil bahagian yang lebih aktif dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini,'' katanya.

Menariknya kali ini, Bung Mokhtar menjadi Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong BN yang diketuai oleh Tiong King Sing. Dan jika tidak ada perubahan tempat duduk, Mohamad Aziz diapit oleh King Sing dan Bung Mokhtar. Pastinya mereka ada strategi untuk 'mematahkan' serangan pihak pembangkang.

Dengan suasana yang dianggap tidak pernah berlaku dalam sejarah Dewan Rakyat sebelum ini, cabaran besar juga terletak di bahu Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker yang baru dilantik, Pandikar Amin Mulia.

Walaupun orang baru tetapi, ahli politik veteran ini pernah berada di dalam Dewan Rakyat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1999 hingga 2002). Beliau juga seorang yang lantang dan lucu dan berpengalaman sebagai Speaker DUN Sabah. Pandikar Amin juga pernah menyandang beberapa jawatan dalam Kabinet Sabah.

Pandikar Amin, 53, bagaimanapun meminta kerjasama semua anggota Parlimen supaya mematuhi peraturan ketika mengambil bahagian dalam perbahasan.

''Saya mahu bersikap adil kepada semua orang tetapi semua wakil rakyat sepatutnya tahu apa yang perlu mereka lakukan. Jika mereka mematuhi peraturan, semua orang akan gembira,'' katanya semasa mengulas pelantikannya baru-baru ini.

Turut menarik perhatian kali ini ialah ketua pembangkang yang baru iaitu Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang pada penggal yang lalu 'keseorangan'. Pada pilihan raya umum 2004, beliau adalah satu-satunya wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dan kali ini bersamanya adalah anak perempuannya serta 'panglima-panglima' PKR.

Inilah kali pertama wanita diberi tanggungjawab sebagai ketua pembangkang. Mungkin ini secara kebetulan kerana beliau adalah Presiden PKR, parti yang menang lebih banyak kerusi berbanding parti-parti lain.

Sebelum ini parti politik yang memenangi lebih banyak kerusi dilantik sebagai ketua pembangkang seperti yang dapat dilihat pada penggal lalu apabila Lim Kit Siang yang juga Setiausaha Agung DAP ketika itu mengetuai barisan pembangkang. Pas juga pernah mengetuai barisan pembangkang melalui Presiden Pas ketika itu, Fadzil Noor (1999) apabila parti itu menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum.

Dewan Rakyat kali ini juga menyaksikan jumlah Menteri Kabinet yang berkurangan menyebabkan kehadiran setiap orang Ahli Parlimen terutama di kalangan penyokong kerajaan BN amat penting. Menyedari kepentingan itu juga, mesyuarat Kabinet yang biasanya berlangsung pada hari Rabu ditukarkan pada hari Jumaat sepanjang persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Menyentuh tentang anggota Kabinet, Mohamad Aziz juga berharap, Menteri dan Timbalan Menteri dapat memberi jawapan yang meyakinkan terhadap setiap persoalan yang dibangkitkan.

Beliau percaya dengan jawapan-jawapan yang tepat dan meyakinkan, suasana perbahasan akan lebih menarik.

Mesyuarat hari pertama esok akan bermula dengan upacara mengangkat sumpah jawatan Speaker serta ahli-ahli yang berhormat (YB) yang memenangi kerusi pada pilihan raya umum lalu.

Apakah akan ada kejutan seperti yang pernah berlaku pada majlis angkat sumpah pada tahun 1999?

Ketika itu, semua 43 ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan selepas berlaku kekecohan kerana mempertikaikan kesahihan mesyuarat.

Bagaimana pula dengan kejutan-kejutan lain yang sebelum ini menjadi bualan ramai selepas BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga? Sama-samalah kita ikuti persidangan itu nanti yang buat kali pertama juga akan disiarkan secara langsung selama setengah jam oleh RTM bagi sesi soal jawab.

Kita akan melihat sejauh mana tingkah laku dan keupayaan wakil-wakil rakyat yang kita pilih pada 8 Mac lalu bertindak. Begitu juga dengan Menteri Kabinet dan timbalan mereka mengambil bahagian setelah mereka tidak lagi dibantu oleh setiausaha Parlimen.

Seperti kata Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Chik, apabila sidang Dewan Rakyat disiarkan secara langsung walaupun sekadar setengah jam, tetapi ia ibarat seperti membuka pintu air.

''Ia seperti membuka pintu air, sudah tentu ada sampah yang keluar bersama-sama. Namun pada akhirnya penonton yang menapis baik buruknya,'' kata beliau yang dilantik sebagai menteri penuh kali ini.

Apa yang diharapkan, persidangan kali ini lebih fokus kepada isu tanpa ahli-ahli YB terbawa-bawa dengan isu-isu yang boleh menjejaskan imej institusi Parlimen. Pada masa yang sama, elakkan daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang enak didengar, insiden memulaukan sidang, serta berucap dalam keadaan yang marah. Ikutlah peraturan dan hormatilah Speaker.

Seperti yang pernah dikatakan oleh Allahyarham Zahir Ismail: ''Kalau berucap hendaklah dengan nada tenang, jangan marah-marah. Ini kerana kalau marah, nanti tertinggal, lupa atau hilanglah fakta atau hujah bernas yang telah dihimpunkan sebelumnya.''

Satu lagi pesanan Allahyarham kepada Ahli-ahli Dewan ialah: ''Kita datang hendak bermesyuarat bukan bergaduh. Ini tugas negara. Kalau kita bergaduh, kita tidak menjalankan tugas.''

Justeru, ambillah bahagian sebaik mungkin. Buatlah penyelidikan sebelum bercakap supaya hujah yang hendak disampaikan tidak meleret-leret atau tidak berfaedah.

Akhirnya banyak masa terbuang. Memang masa mesyuarat boleh ditambah tetapi setiap orang ada tugas masing-masing. Menteri-menteri mempunyai tugas mereka di kementerian yang perlu dibereskan dan tidak boleh bersidang untuk tempoh lama sehingga mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Ahli-ahli YB, hargailah masa persidangan!

Tiada ulasan: