HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 April 2008

Saman Eric Chia terhadap Guan Eng disebut 28 Ogos
Oleh AMIRUDDIN HARUN


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Ogos ini untuk lanjutan pengurusan kes saman fitnah oleh bekas Pengarah Urusan Perwaja Terengganu Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Patail menetapkan tarikh berkenaan semasa pengurusan kes tersebut di hadapan beliau hari ini.

Menurut peguam Karpal Singh yang mewakili Guan Eng, hakim tersebut memberi tempoh selama dua bulan untuk kedua-dua pihak mengenal pasti isu-isu yang berkaitan dengan tuntutan itu sebelum menentukan tarikh perbicaraan.

Dalam saman yang difailkan pada tahun 2001, Eric Chia selaku plaintif mendakwa Guan Eng telah memfitnah beliau dalam laporan polis yang dibuat oleh ahli politik itu pada 11 April 1996.

Laporan polis itu bertajuk First report on financial malpractises, abuse of power, corruption and fraud in Perwaja Terengganu Sdn. Bhd. (Laporan pertama berhubung penyelewengan kewangan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penipuan dalam Perwaja Terengganu Sdn. Bhd.)

Laporan itu didakwa mengandungi empat muka surat bertaip dan mempunyai kepala surat (letter head) Parti Tindakan Demokrasi (DAP) serta dialamatkan kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, Datuk Shafee Yahya.

Eric Chia mendakwa, laporan itu membawa tafsiran atau makna bahawa beliau tidak jujur, melakukan rasuah, mementingkan diri sendiri dan penipu.

Plaintif mendakwa, beliau melalui peguam caranya ada meminta Guan Eng memohon maaf tetapi ahli politik itu enggan berbuat demikian.

Selain ganti rugi am dan ganti rugi teladan serta faedah bagi gantirugi, Eric Chia menuntut perintah injunksi melarang defendan, pekerja atau ejennya menulis, menerbit atau mengeluarkan kandungan laporan itu.

Sementara itu, Guan Eng dalam pernyataan pembelaannya menyatakan bahawa sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu, beliau akan bergantung kepada perlindungan bersyarat (qualified privilege).

Defendan juga menyatakan bahawa laporan itu adalah saksama, berasas, tanpa sebarang niat jahat dan demi kepentingan awam.

Tiada ulasan: