HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 April 2008

Pakatan Rakyat cadang tubuh jawatankuasa khas di Dewan Rakyat
Oleh Bernama

PETALING JAYA: Lapan anggota Parlimen dalam gabungan yang digelar sebagai Pakatan Rakyat akan mencadangkan agar sebuah jawatankuasa khas kebebasan media ditubuhkan di peringkat Dewan Rakyat.

Pakatan itu merasakan sudah tiba masanya jawatankuasa berkenaan ditubuhkan terutama berikutan tindakan Kementerian Dalam Negeri tidak memperbaharui permit akhbar berbahasa Tamil Makkal Osai minggu lepas.

"Kami mahu sebuah Kaukus Kebebasan Maklumat dan Bersuara dalam sidang dewan yang akan berlangsung mulai 28 April depan," kata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Phua Liam Wee kepada pemberita di Pusat Khidmat Awam Parti Tindakan Demokratik DAP Cawangan Damansara di sini, hari ini.

Mereka juga mahu berjumpa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai mengapa permit akhbar itu tidak diperbaharui.

"Kami cadangkan perjumpaan diadakan dalam tempoh dua minggu pertama sesi pertama Parlimen yang akan bermula minggu depan dan Yang Berhormat Menteri boleh memilih tarikh yang sesuai untuk perjumpaan itu," katanya.

Anggota-anggota Parlimen berkenaan turut mengalu-alukan kenyataan Syed Hamid semalam yang bercadang melonggarkan syarat permit penerbitan akhbar yang kini wajib diperbaharui setiap tahun.

Syed Hamid berkata cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Tiada ulasan: