HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 April 2008

54 Adun BN belanja kilat RM27 juta wang rakyat
Oleh Azamin Amin


KUALA LUMPUR: Perbelanjaan 'kilat' berjumlah RM27 juta dalam tempoh 50 hari oleh semua 54 Adun BN Selangor menimbulkan keraguan dan perlu diberi penjelasan sama ada ia disalurkan mengikut prosedur yang betul.

Adun Hulu Klang, Saari Sungib menjelaskan jika ia membabitkan salah laku, maka mereka yang terlibat perlu dikenakan tindakan.

Katanya, peruntukan tahunan RM500,000 bagi setiap Adun BN itu sepatutnya disalurkan untuk projek kecil seperti memperbaiki jalan raya, paip pecah dan longkang.

Bagaimanapun ia telah habis digunakan dan disahkan sendiri oleh Timbalan Pengarah Kewangan negeri Selangor dalam pertemuan dengan semua Adun Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Menurut Saari, RM200,000 daripada peruntukan itu sepatutnya digunakan untuk memberi bantuan kepada penduduk miskin, orang kurang upaya, bantuan kecemasan dan bencana alam manakala selebihnya untuk projek kecil yang setiap satunya mestilah sekitar RM10,000.

"Kalau mengikut prosedur biasa dan ketat, agak mustahil untuk mengagihkan jumlah peruntukan itu dengan cepat dan boleh dihabiskan dalam jangka masa singkat," katanya ketika dihubungi Harakah.

Bagi projek pembangunan dan membaik pulih infrastruktur, wang agihan atau tuntutan kewangan mestilah dibuat menerusi pejabat daerah kawasan masing-masing oleh Adun-Adun terbabit.

"Namun hasil kajian dan siasatan yang tidak rasmi, jumlah peruntukan yang besar tidak pernah dibuat beberapa Adun tersebut. Jadi ke mana wang itu disalurkan?

"Kita akan soal mereka dalam sidang Dun nanti dan kita harap mereka boleh memberi penjelasan yang telus, tetapi jika ada kepincangan, tindakan mestilah diambil," katanya.

Isu ini turut dibangkitkan Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu. Katanya, kerajaan negeri akan meminta penjelasan daripada 36 bekas Adun BN dan 18 yang lain yang masih mengekalkan kerusinya tentang bagaimana peruntukan tersebut digunakan.

"Semua surat kepada Adun terbabit akan dihantar dalam masa seminggu dan mereka perlu menjelaskan dengan terperinci bagaimana wang tersebut digunakan dan siapa kontraktor yang terbabit melakukan kerja-kerja berkenaan.

"Kami tidak berpuas hati dengan cara peruntukan itu digunakan. Kami ingin tahu bagaimana wang pembayar cukai itu dihabiskan," katanya.

Tiada ulasan: