HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 April 2008

Polis temui sub-mesingan, 180 peluru


IPOH - Polis menemui sepucuk revolver palsu dan selaras submesingan bersama 180 butir peluru pelbagai jenis di dalam sebuah kereta Proton Wira di Kampung Simee di sini, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner II Ismail Yatim berkata, tiga suspek termasuk seorang wanita berumur 20-an turut ditahan pada kira-kira pukul 3.30 petang, hari yang sama.

''Seorang suspek ditahan di sebuah rumah di kampung itu berhampiran kereta berkenaan diletakkan dan dua lagi diberkas juga di kawasan berdekatan.

''Kami akan memohon kepada mahkamah supaya tempoh reman mereka yang berakhir hari ini dilanjutkan beberapa hari lagi bagi membantu siasatan," katanya di sini hari ini.

Ismail berkata, pistol palsu bersama sarung dan dua butir peluru bersaiz .38 milimeter itu ditemui di tempat duduk sebelah pemandu kereta berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan, kereta berwarna putih itu didapati menggunakan plat palsu yang dilaporkan hilang di Cheras, Kuala Lumpur pada 2007.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui selaras submesingan buatan Perancis bersama 178 butir peluru pelbagai saiz di bahagian but kereta tersebut.

''Turut ditemui di bahagian yang sama ialah sebungkus dadah dipercayai jenis heroin seberat kira-kira 100 gram bersama satu alat penimbang elektronik.

''Sehingga kini polis percaya ketiga-tiga suspek itu terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah tetapi kita belum dapat kaitkan mereka dengan mana-mana kegiatan jenayah," katanya.

Katanya lagi, mereka yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan akan disiasat mengikut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan: