HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 April 2008

Ku Li: Wakil BN lompat boleh berlaku
Nash Rahman

Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan dakwaan PKR bahawa 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat menyertai Pakatan Rakyat, boleh menjadi kenyataan.

"Saya kenal banyak ahli parlimen (BN) yang terpilih baru-baru ini adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sewaktu beliau masih berkuasa dahulu dan mereka masih rapat dengan beliau.

"Kemungkinan mereka akan berpihak kepada PKR jika kita tidak mengambil tindakan tegas untuk mengawal perasaan mereka," kata ketika menjawab soalan dalam pertemuan dengan kira-kira 500 ahli Umno di sekitar Subang Jaya di sebuah hotel terkemuka hari ini.

Sebelum ini, bekas menteri kewangan itu menyampaikan ucapan bertajuk 'Halatuju umno selepas pilihanraya umum ke-12' di wacana perubahan dan pemikiran anjuran pemimpin veteran Umno, Datuk Mazlan Harun di tempat yang sama.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan hadirin berhubung kenyataan ketua umum PKR itu bahawa ahli-ahli parlimen BN di Sabah itu telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

"Kita tahu PKR begitu serius hendak kalah kita, bukan di peringkat negeri sahaja tetapi juga di peringkat persekutuan.

Perasaan pada Umno

"Hingga sekarang pun PKR hendak tumbangkan kita. Dia sudah dedahkan cita-citanya itu seperti yang dilaporkan dalam akhbar.

"Dia sudah kata dia ada cukup bilangan kerusi parlimen untuk tubuhkan kerajaan, kalau tidak pada 31 Ogos, mungkin pada 16 Ogos," tambah Tengku Razaleigh.

"Ini bukan cakap main-main. Perasaan orang Sabah terhadap Umno tidak seperti kita di sini. Kita di sini dilahir dan dibesarkan dalam suasana Umno.

"Segala yang kita sentuh ada kaitan dengan perjuangan Umno. (Tetapi) perasaan orang Sabah tidak seperti perasaan orang Umno di sini, tidak tebal," tegasnya.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau bimbang dengan sikap pemimpin Umno yang tidak mengambil serius tentang perkara tersebut.

Di samping itu, katanya, isu-isu yang membabitkan Sabah sepertimana yang dibangkitkan oleh pemimpin Umno di negeri tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.

PKR serius

"Walaupun pemimpin kita telah melawat Sabah untuk menyelesaikannya, tetapi saya diberitahu bahawa tidak ada penyelesaian yang dicapai," tambahnya.

"Jangan fikir kita akan terus berkuasa...hanya 30 kerusi boleh ubah pemerintahan negara ini. Ini bukan sesuatu yang susah hendak dibuat," tegasnya lagi.

Tengku Razaleigh berkata beliau terserempak dengan Anwar dalam penerbangan dari Kota Baru hari ini dan bertanyakan soalan itu kepada bekas timbalan perdana itu.

"Saya tanya beliau (mengenai perkara itu), jawabnya dia serius. Itu jawapan beliau kepada saya.

"Tidak terjamin kita boleh kekal, tidak terjamin, itulah sebabnya saya sendiri risau dengan sikap pemimpin kita (mengenai dakwaan tersebut)," tambah Tengku Razaleigh

Tiada ulasan: