Isu Pengganti Abdullah Badawi:
Mahathir Betul Atau Najib Salah?
Ruhanie Ahmad
Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak harus jadi Perdana Menteri kerana tidak berani mendedahkan sebab sebenar kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini.
Soalnya di sini ialah: adakah pendapat Mahathir menerusi kenyataan seperti di atas itu salah?
Sebagai reaksi, Najib pula dipetik oleh media perdana sebagai berkata, beliau bukannya pak turut, tidak berani, atau penakut. Sebaliknya, beliau “berpegang kepada prinsip bahawa cara yang terbaik ialah beliau melalui proses penyerahan kuasa yang tersusun dan terhormat.”
Maka, adakah pendirian Najib seperti yang tercermin menerusi kenyataan di atas itu benar?
Berasaskan dua persoalan di atas, rungkailah senario politik Malaysia di era pasca PRU12. Tanyalah diri sendiri soalan-soalan berikut:
Luar Biasa
Satu: Adakah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri pada ketika ini didukung sepenuhnya oleh aspirasi rakyat menerusi PRU12?
Dua: Tidakkah keputusan PRU12 membawa maksud bahawa sokongan majoriti rakyat terhadap Abdullah ketika ini tidak sama seperti di era sesudah PRU11 dan sebelum PRU12?
Tiga: Adakah siasah BN ketika ini berada dalam keadaan biasa atau luar biasa?
Empat: Adakah status quo kekuasaan BN sesudah PRU12 masih tetap sama seperti di era sebelum PRU12?
Lima: Adakah BN dalam tempoh pasca PRU12 ini masih menguasai seluruh kerajaan negeri, melainkan Kelantan, seperti sesudah PRU11?
Enam: Bukankah BN dalam Dewan Rakyat pada ketika ini tidak lagi mempunyai majoriti yang besar, sebaliknya hanya memperolehi majoriti yang amat tipis?
Tujuh: Bukankah undi popular yang diperolehi BN menerusi PRU12 merosot secara drastik kepada 48 peratus sahaja sesudah 8 Mac 2008?
Darurat
Daripada rungkaian kepada seluruh persoalan di atas, terbuktilah BN hari ini bukannya BN semalam, senario politik hari ini bukannya senario empat tahun lalu, Abdullah hari ini tidak lagi menikmati keyakinan penuh rakyat jelata seperti di era sebelum dan sesudah PRU11.
Ini ertinya BN adalah dalam keadaan kritikal, terkepung, lemas dan perlu diperkasakan semula dengan seberapa segera.
Lebih tepat lagi, ini bererti BN yang seolah-olah berada dalam situasi darurat pada ketika ini mestilah segera diselamatkan. Dan, Najib adalah pemimpin yang dituntut mengetuai tugas dan tanggungjawab ini.
Jadi, jika kehadiran Abdullah selaku Perdana Menteri terbukti lebih menyukarkan usaha-usaha menyelamat dan memperkasakan BN, tidakkah sudah sampai masa dan ketikanya untuk Najib bertindak secara tegas, berani, decisive dan fokus untuk menggagaskan arah dan bentuk perjuangan yang pragmatik, menyeluruh, berkesan dan memanfaatkan agama, bangsa dan tanahair?
Prinsip
Lantas, Najib perlu tepuk dada dan tanya selera, kenapakah beliau enggan bertindak? Najib juga mesti bertanyakan dirinya sendiri, perlukah beliau terus berselindung di sebalik retorika yang beliau “berpegang kepada prinsip bahawa cara yang terbaik ialah untuk beliau melalui proses penyerahan kuasa yang tersusun dan terhormat”?
Rakyat jelata memang tidak pernah mempersoalkan sama ada Najib seorang pak turut, penakut atau tidak berani. Rakyat cuma menuntut Najib selaku orang nombor dua dalam kerajaan, BN dan UMNO, segera bertindak memberikan kepimpinan dalam situasi darurat pada ketika ini.
Keengganan Najib untuk bertindak bererti Najib memang memilih untuk “play safe.” Ini boleh juga ditakrifkan yang Najib seolah-olah tergamak membiarkan kerajaan, BN dan UMNO terus berada dalam keadaan lemah dan terumbang-ambing.
Jadi, bagaimana agaknya jika Najib yang dilihat sebagai asyik memilih jalan selamat dalam mencaturkan politik dirinya ini dijadikan penyebab rakyat jelata, khususnya warga UMNO, untuk menolak beliau bersama-sama dengan Abdullah keluar daripada gelanggang perjuangan siasah perdana tanahair?
Tidakkah Malaysia, BN dan UMNO akan kerugian? Tidakkah Najib sendiri akan tertutup peluang untuk jadi Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO?
Peralihan
Lantaran itu, Najib semestinya tergugah daripada mimpinya. Najib semestinya insaf bahawa kerajaan, BN dan UMNO memerlukan kepimpinannya untuk menyelamatkan segala-galanya demi agama, bangsa dan tanahair.
Lantaran itu juga, apa yang telah disuarakan oleh Mahathir adalah benar. Dan, Najib tersilap besar senandainya beliau terus beranggapan bahawa proses peralihan kuasa yang dijanjikan oleh Abdullah adalah cepat dan singkat.
Najib mempunyai pilihan dan Najib mempunyai peluang untuk menyelamatkan kerajaan, BN dan UMNO. Jika beliau enggan bertindak sekarang, peluang itu tidak akan menanti beliau buat selama-lamanya.
Insaflah. Kepimpinan Najib dinanti-nantikan oleh rakyat jelata pada ketika ini. Insaflah. Keberanian Najib menyelamatkan suasana pastinya akan disokong penuh oleh rakyat jelata yang kini memang terbukti sudah hilang keyakinan terhadap Abdullah.
Dalam keadaan darurat kita memerlukan seorang “Jebat” untuk memimpin perjuangan yang berhemah, bersopan-santun dan bijaksana. Tetapi, keadaan darurat juga mesti ditangani dengan mindset yang berlandaskan kepentingan serta survival agama, bangsa dan tanahair. Bukannya mindset dalam keadaan selesa demi kepentingan diri yang singkat dan sempit!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan