HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 April 2008

Presiden BAM beri amaran rasuah


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Nadzmi Mohd Salleh hari ini memberi amaran kepada pemain badminton negara supaya tidak terbabit dengan rasuah.

Beliau berkata BAM memandang serius perkara itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap sesiapa yang didapati terbabit dengan kegiatan tesebut.

"Sekiranya kami syak mana-mana pemain terbabit dengan rasuah, kami akan lapor kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk tindakan lanjut," katanya ketika mengulas laporan berita mengenai tuduhan rasuah yang membabitkan pemain bola sepak Sarawak.

Lima pemain negeri dan seorang pemain dari Liga Super Sarawak ditahan BPR berhubung siasatan terhadap perbuatan mengatur perlawanan, dan seorang pegawai Persatuan Bola sepak Sarawak mengesahkan bahawa BPR menyoal siasat keseluruhan pasukan Sarawak semalam sebelum menahan lima dari mereka.

Seorang bekas pemain pasukan itu dipercayai menjadi orang tengah bagi bookie bola sepak.

Bagaimanapun langkah 'mengatur' perlawanan pernah berlaku dalam arena badminton sebelum ini, semasa pemain nombor satu dunia Lin Dan dari China memberi laluan kepada rakan sepasukannya, pemain nombor empat dunia Chen Jin, dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (ABC) minggu lepas.

Untuk berada dalam kelompok empat pemain terbaik dunia, Chen Jin perlu mara ke peringkat akhir dan beliau berjaya melakukannya dengan bantuan Lin Dan yang sudah melayakkan diri.

Strategi ini menjamin tiga pemain China ke Sukan Olimpik, dengan pemain ketiga adalah pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai.

Sekiranya Chen Jin kalah, beliau tidak akan layak melangkah ke Sukan Olimpik, dan tempatnya mungkin akan digantikan oleh pemain nombor empat dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark. BERNAMA

Tiada ulasan: