HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 April 2008

PAS Tanjung beri bantuan kerusi roda kepada ibu Ketua Pemuda Umno Cawangan
Mohd Sabri Said


GEORGERTOWN (Hrkh) - Usaha murni PAS Tanjung melancarkan 'Minggu Kebajikan' bermula Isnin lalu ibarat 'orang mengantuk disorong bantal' kepada keluarga Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Makam, Amir, kerana sepanjang penglibatanya mengerak parti itu ibunya sendiri tidak pernah diberikan kerusi roda walaupun permohonan dibuat.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Tanjung, Rasidi Salim menyifatkan, kejayaan itu sekaligus menambah koleksi PAS Tanjung setelah berjaya membuka mata masyarakat ekoran desakan supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan Reckha ke pusat asuhan tajaan JKM.

Cuma satu lagi harapan PAS Tanjung agar JKM mencari penempatan yang lebih selesa seperti rumah pangsa bagi menempatkan keluarga miskin itu.

"Pelaksanaan tugas kita bukan sekadar menyampaikan maklumat menerusi ceramah penerangan tetapi apa yang penting ialah jalan kebajikan. Tambahan lagi, PAS kini terserlah dengan slogan 'Negara Berkebajikan', " ujarnya.

Semalam kempen mereka berjaya membantu dua lagi keluarga yang menimpa musibah iaitu bantuan kewangan kepada anak bendahari PAS Jelutong, Mohd Saiful Mohd Noor yang cedera ketika jatuh di padang sekolah.

Manakala keluarga kedua ialah bantuan kerusi roda kepada Puan Jaleha Bee Pak Wan Teh yang terlantar akibat penyakit buah pinggang, jantung dan separa lumpuh.

Amir ketika mengucapkan ribuan terima kasih kepada rombongan PAS terharu dengan bantuan seumpama itu kerana selama bergiat aktif dalam Umno tiada sebarang bantuan diperolehi.

"Sekarang ini baru saya tahu yang mana intan dan yang mana kaca. Saya bertugas siang malam untuk Barisan Nasional (BN) tapi bila pohon bantuan bagi kemudahan ibunya tidak pernah dilayan, " katanya sebak.

Menurutnya, biarlah pengorbananya dalam pilihanraya ke 12 lalu menjadi perjuangan terakhirnya bersama parti itu dan bertekad akan beralih angin setelah kecewa dengan tindakan rakan seperjuangan yang tidak prihatin melihat penderitaanya sekeluarga.

Menurut Rasidi, mereka menerima sesiapa sahaja untuk bersama parti berteraskan Islam asalkan mereka Islam dan dapat menerima isipati atau pahit maung dalam perjuangan.

"Pemberian kita bukan membeli ahli sebaliknya sebagai tanggungjawab melaksanakan kehendak parti yang mahukan kecemerlangan pada masa depan, " tegasnya.

Bersama rombongan meluangkan masa meninjau keadaan masyarakat sekitar Tanjung ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Tanjung, Jamaludin Ali dan aktivis parti Saudara Mohd Fadzil Yahya. - mr

Tiada ulasan: